MalaysiaPolitik

Enam Sebab DAP Menang Besar di Sandakan

DAP berjaya menamatkan kemarau dalam pilihan raya kecil untuk Pakatan Harapan apabila memenangi PRK Sandakan dengan majoriti tinggi.

Calon DAP, Vivian Wong berjaya mengekalkan kerusi mendiang bapanya walaupun kebimbangan mengenai jumlah peratusan mengundi yang rendah, ekonomi yang lembab, serta ketidakpuasan umum terhadap prestasi PH.

Vivian memenangi kerusi itu dengan majoriti 11,521 undi daripada 21,595 orang atau 74 peratus undi, mengalahkan pesaing terdekatnya, Datuk Linda Tsen dari Parti Bersatu Sabah yang memperoleh 4,491 undi manakala calon bebas yang lain memperoleh jumlah tiga angka.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini memberikan enam sebab DAP menang dalam PRK Sandakan.

“Pertama, keyakinan dan sokongan penuh daripada pengundi Sandakan untuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, yang telah bersama-sama turun berkempen dari rumah ke rumah selama berhari-hari dan berucap di dalam banyak ceramah DAP, termasuk 45 minit di ceramah kemuncak (grand finale) di dalam hujan lebat tanpa berpayung.

“Ramai pengundi Sandakan, termasuk pengundi Melayu dan Muslim, tersentuh dengan semangat beliau untuk berkhidmat, membangunkan dan membawa perubahan untuk menjadikan Sabah lebih baik, lebih makmur dan bersih untuk semua tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya.

Sebab kedua yang diberikan oleh Guan Eng, yang juga Menteri Kewangan, ialah keyakinan dan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Mohd. Shafie sebagai pemimpin satu-satunya gabungan yang berkebolehan dan layak untuk menyatukan, mentadbir dan mewakili semua rakyat Malaysia secara geografi dan demografi.

“Seperti dibuktikan keputusan PRK Sandakan, pembangkang tidak mampu menandingi kombinasi Warisan, DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam mengutamakan kesederhanaan dan menyatukan rakyat Malaysia dengan mewakili semua kaum, agama, dan kawasan.

“Penolakan politik perkauman yang memecah-belah dan merosakkan, ekstremisme agama, dan korupsi pembangkang ini adalah hadiah terbaik sempena ulang tahun pertama Warisan dan PH memenangi kuasa di peringkat negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sebab ketiga ialah sokongan untuk pembangunan berpaksikan rakyat berbanding kapitalisme kroni untuk menjadikan ekonomi Sandakan dinamik semula, manakala sebab keempat ialah penolakan korupsi dan kerajaan kleptokrasi untuk diganti dengan pentadbiran secara baik dan bersih, kata Guan Eng.

Beliau berkata, rakyat sudah letih dan bosan dengan rasuah dan ini merupakan penolakan secara sepenuhnya anggota politik korup yang berkempen di Sandakan, seperti Ahli Parlimen Kinabatangan dan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Guan Eng berkata, sebab kelima kemenangan DAP itu ialah sokongan terhadap kerja baik yang dilakukan oleh mantan Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong iaitu bapa Vivian; idealisme dan keutuhan prinsip DAP; dan Vivian sebagai calon yang baik dan melambangkan masa depan dan pemerkasaan wanita dan golongan muda.

Sebab keenam yang diberikannya ialah jentera pilihan raya DAP dan mobilisasi pemimpin dan anggota, yang mendapat sokongan kuat daripada Warisan dan PH, membenarkan kempen yang menyeluruh diisi dengan tenaga, kepantasan, dan capaian pengundi yang meliputi keseluruhan kawasan Parlimen.

“DAP ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan anggota Warisan, PH, dan DAP yang telah meluangkan masa untuk memberi sokongan dan memungkinkan kemenangan besar yang bersejarah ini berlaku,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker