Bisnes & Ekonomi

MITI: Ekonomi Negara Dijangka Terus Kukuh

Ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh pada tahun ini. Ini kerana asas makroekonomi negara masih kukuh meskipun terdapat cabaran domestik dan luaran, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.

Ditanya mengenai prospek ekonomi Malaysia berikutan aliran keluar pelaburan yang konsisten dalam pasaran modal, beliau berkata aliran keluar itu dikurangkan oleh pelaburan langsung masuk ke negara ini.

“Walaupun tiada apa yang dapat dilakukan untuk menghentikan aliran keluar dana yang bergantung kepada sentimen pasaran, tetapi apa yang orang tidak lihat adalah pelaburan sebenar yang kami bawa.

“Kami sudah menyambut ulang tahun pertama. Tetapi, banyak berita yang bercanggah di mana kadang-kadang baik dan kadang-kadang tidak begitu baik. Contohnya berita oleh Bloomberg yang sangat spesifik.

“Saya tidak akan menolak apa yang dikatakan Bloomberg, tetapi saya ingin tahu mengapa Malaysia menjadi tumpuan. Mengapa Malaysia menjadi tumpuan mereka?

“Jika mereka mahu memperbaiki kita, itu bagus. Tetapi jika mereka mahu membandingkan negara-negara lain lebih bagus daripada kita, maka itu tidak baik.”

Darell merujuk kepada laporan yang diterbitkan oleh Bloomberg pada 16 April mengenai pelabur asing yang membuang saham Malaysia bernilai lebih AS$500 juta (RM2.066 bilion) tahun ini.

Darell juga menekankan bahawa sektor elektrik dan elektronik serta industri kimia dijangka menyumbang kepada potensi pelaburan bernilai RM6.6 bilion dari Amerika Syarikat.

Darell menafikan dakwaan bahawa pelaburan di Malaysia semakin berkurang dan pelabur tidak datang ke negara ini.

Sebaliknya, katanya, banyak syarikat Amerika telah menyatakan minat untuk melabur di Malaysia. Walau bagaimanapun, Darell tidak menamakan mana-mana syarikat Amerika itu.

Mengenai prestasi perdagangan, beliau berkata pertumbuhan Malaysia dijangka hampir sama dengan tahun sebelumnya.

“Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak sedikit dan menjangka momentum itu akan berterusan,” katanya.

“Saya tidak melihatnya (prestasi perdagangan) turun dengan teruk kerana fundamental kami masih agak baik.

“Rakyat kita berdaya tahan dan kerajaan ini akan bertindak balas terhadap pasaran apabila perlu.” Darell berkata Malaysia dilihat sebagai hab zon perdagangan bebas digital oleh banyak syarikat antarabangsa.

Mengenai perdagangan minyak sawit, Darell menjangkakan prospek yang suram tetapi beliau menegaskan bahawa cabaran-cabaran itu bukanlah sesuatu yang baru bagi Malaysia.

Darell berkata pertumbuhan dalam jumlah dagangan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, dari Mei hingga Nov tahun lepas, berada pada paras tujuh peratus lebih tinggi daripada tempoh Januari hingga April 2017, yang berada pada 4.7 peratus.

Sebanyak RM115.6 bilion pelaburan telah diluluskan untuk tempoh Julai hingga Disember 2018.

Sehingga Mac tahun ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) mempunyai 399 projek pembuatan dan perkhidmatan dengan pelaburan berjumlah RM23.7 bilion dalam saluran paip, termasuk Sabah dan Sarawak.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker