AntarabangsaIsu Semasa

“Jangan Pandang Remeh Peluru Berpandu Baru Korea Utara” – Pakar Senjata

Korea Utara telah melancarkan ujian peluru berpandu sebanyak dua kali dalam tempoh kurang daripada seminggu.

Menurut penganalisis, ujian kedua yang dilancarkan pada Khamis, 9 Mei baru-baru ini memberi isyarat bahawa rejim itu serius untuk membangunkan senjata jarak dekat yang boleh digunakan secara berkesan dalam sebarang peperangan dengan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Peluru berpandu tersebut disifatkan sebagai senjata yang “kecil dan laju”, di mana pakar-pakar senjata mempercayai bahawa ia mudah untuk disembunyikan, dilancarkan, dan bergerak ketika penerbangan.

Ujian senjata itu turut meningkatkan ketegangan di antara Korea Utara dan AS selepas kegagalan kedua-dua pihak untuk mencapai sebarang perjanjian berhubung program senjata Pyongyang semasa sidang kemuncak kedua di Hanoi, Vietnam pada bulan Februari lalu.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berkata, pelancaran ujian peluru berpandu berkenaan dilihat sebagai ‘protes’ oleh Korea Utara terhadap kegagalan sidang kemuncak itu.

Sesetengah penganalisis berpandangan bahawa ujian-ujian yang telah dilancarkan baru-baru ini bukan hanya sandiwara politik.

“Ujian kedua itu menunjukkan bahawa pelancaran-pelancaran (peluru berpandu) ini bukan sekadar hanya untuk menimbulkan ketegangan dan mencetuskan tindak balas AS untuk menyambung rundingan.

“Mereka sedang membangunkan peluru berpandu yang boleh memintas pertahanan peluru berpandu dan melancarkan serangan tepat ke atas Korea Selatan,”  kata Grace Liu, salah seorang pakar peluru berpandu di James Martin Centre for Nonproliferation Studies (CNS) di California.

Walau bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump dan pegawai-pegawai lain kerap menyatakan bahawa senjata milik Pyongyang itu bukanlah peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) besaiz besar yang mampu sampai ke AS.

Tetapi tegas penganalisis, peluru berpandu baru itu tidak patut dipandang remeh.

“Pentadbiran Trump kerap memandang rendah terhadap peluru berpandu ini kerana ia bukan ICBM, tetapi walaupun ia tidak boleh mencapai AS, peluru berpandu seperti ini yang akan memulakan peperangan.

“Ia kecil, mudah disembunyikan, mudah untuk bergerak dan anda tidak tahu kepala peledak apa yang dibawa. Ia boleh membawa senjata nuklear,” ujar Melissa Hannam, pakar senjata di Datayo.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker