Isu SemasaTempatan

Selepas Cyberjaya, Perkhidmatan E-Skuter Kini Boleh Didapati Di Kuala Lumpur!

Neuron Mobility, sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura telah memperkenalkan perkhidmatan skuter elektrik atau “e-skuter” di Kuala Lumpur berikutan percubaan yang berjaya dijalankan di Cyberjaya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zachary Wang, perkembangan perkhidmatan e-skuter tersebut ke Kuala Lumpur bertujuan untuk menyediakan mobiliti bagi perjalanan jarak pendek yang selesa di bandar itu.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima respon dan sambutan yang positif di Cyberjaya, di mana ia digunakan oleh pengguna pelbagai latar belakang termasuk pelajar dan kakitangan.

“Saya rasa pasaran Malaysia sudah bersedia untuknya (e-skuter), terutamanya di bandar-bandar yang padat.

“E-skuter adalah ideal untuk perjalanan lebih daripada satu kilometer di kawasan bandar,” katanya.

Selain daripada Malaysia, Neuron Mobility juga telah meluaskan perkhidmatannya di Bangkok dan Chiang Mai di Thailand.

Di Kuala Lumpur, perkhidmatan ini boleh didapati di kawasan-kawasan seperti Masjid Jamek, Lot 10, KLCC Bukit Nanas, dan Berjaya Times Square.

“Fasa pertama adalah untuk melihat sama ada teknologi ini berkesan atau tidak di Malaysia dengan memperkenalkannya buat pertama kali di Cyberjaya, sementara fasa kedua pula adalah tentang menyediakan penyelesaian kepada masalah kepadatan di bandar.

“Sekarang, kami memfokuskan untuk meningkatkan kesedaran e-skuter ini dan mendidik pengguna untuk menggunakan mereka dengan cara yang betul, termasuk meletakkannya semula di tempat-tempat khusus yang telah disediakan.

“Menyediakan skuter-skuter ini di tempat dan masa yang betul akan menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakannya,” ujar Wang.

Difahamkan, sejumlah kecil e-skuter mula diperkenalkan di sini pada pertengahan bulan Mac.

Sehingga kini, sudah terdapat lebih daripada 15,000 pengguna dan 95% daripada mereka memberi rating empat dan lima bintang.

Ikon e-skuter di aplikasi Neuron – Sumber Imej: The Star

Harga permulaan penggunaan ditetapkan pada RM1, dan kadar itu akan meningkat 20 sen setiap minit. 

Kadar bagi penggunaan harian, mingguan, dan bulanan turut disediakan seperti berikut:

Harian: RM9

Mingguan: RM38

Bulanan: RM98

Jelas Wang, bagi tujuan keselamatan, had kelajuan skuter itu ditetapkan pada 15 kilometer sejam yang bersamaan dengan kelajuan ketika berlari.

“Kami berharap untuk mengembangkan lagi perkhidmatan ini agar penduduk di bandar-bandar lain di Malaysia boleh memanfaatkannya,” katanya.

Untuk mencari dan menggunakan e-skuter, pelanggan perlu memuat turun aplikasi telefon Neuron – Escooter Sharing.

Ikon e-skuter yang tertera dalam aplikasi tersebut menunjukkan lokasinya. Bayaran boleh dilakukan menerusi kad debit atau kredit.

Sumber: The Star

Show More

Related Articles

Back to top button