AntarabangsaIsu Semasa

Hujung Minggu Jadi Doktor, Hari Bekerja Jadi Perdana Menteri

Lotay Tshering adalah seorang individu yang luar biasa. Pada setiap Sabtu, beliau bekerja sebagai seorang doktor. Pada hari bekerja pula, Tshering memikul tugas yang amat besar, iaitu mentadbir negara Bhutan sebagai Perdana Menteri.

Ahad adalah waktu beliau berehat dan meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

“Bagi saya, ia (menjadi seorang doktor) adalah penghilang stres.

Sesetengah orang bermain golf, sesetengah memanah, dan saya suka membedah. Saya meluangkan hari minggu saya di sini (hospital),” kata Tshering yang dilantik menjadi pemimpin negara pada tahun lepas.

“Saya akan meneruskannya (menjadi seorang doktor) sehingga saya meninggal dunia dan saya berasa rindu kerana tidak boleh berada di sini (hospital) setiap hari,” ujarnya.

Buthan merupakan sebuah negara kecil dengan populasi 750,000 orang penduduk. Ia juga merupakan satu-satunya negara di dunia yang menetapkan penanda aras kejayaannya pada kebahagiaan dan bukan pertumbuhan ekonomi.

Walaupun Bhutan telah menyaksikan peningkatan yang memberangsangkan dari aspek jangka hayat penduduk dan berjaya menghapuskan pelbagai penyakit berjangkit, penyakit-penyakit berkaitan gaya hidup termasuk kencing manis dilaporkan semakin meningkat.

“Kita perlu memberi fokus yang lebih terhadap penjagaan kesihatan,” jelas beliau.

Sebagai salah seorang doktor yang terbaik dan pemimpin tertinggi di Bhutan, Tshering meletakkan reformasi penjagaan kesihatan sebagai agenda politik utamanya.

Bukan itu sahaja, malah ramai pesakit di bawah jagaan beliau berpuas hati dengan rawatan yang diberikan olehnya.

Salah seorang pesakitnya bernama Bumthap telah menjalani pembedahan pundi kencing dan dia amat berbesar hati dan berasa lega kerana mendapat peluang dibedah oleh Perdana Menteri sendiri.

“Oleh kerana saya telah dibedah oleh perdana menteri, yang dianggap sebagai salah seorang doktor yang terbaik di negara ini, saya merasa lebih lega,” kata Bumthap.

Menurut Tshering, politik mempunyai banyak persamaan seperti menjadi seorang doktor.

“Di hospital, saya memeriksa dan merawat pesakit. Dalam kerajaan, Saya memeriksa dasar-dasar kesihatan dan cuba mengubahnya menjadi lebih baik,” ujarnya.

Sumber: NST

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button