MalaysiaPolitik

Ulang Tahun Malaysia Baharu: 39% Janji Dipenuhi

Tanggal 9 Mei hari ini menandakan genap setahun pemerintahan kerajaan Malaysia Baharu, Pakatan Harapan yang berjaya menghasilkan tsunami rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini membentangkan “kad laporan” Pakatan Harapan dengan menonjolkan apa yang telah dicapai kerajaan setakat ini.

Perdana Menteri berkata 39% daripada janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-14 telah dipenuhi.

“Prestasi ini diukur berdasarkan status 464 inisiatif yang sedang dilaksanakan, yang merupakan dasar dan tindakan tertentu yang dinyatakan dalam setiap janji pilihan raya,” kata Dr Mahathir dalam ucapan istimewanya sempena ulang tahun pertama kerajaan.

Dr Mahathir berkata bahawa janji untuk memperbaharui undang-undang yang zalim dan menindas sedang dijalankan.

“Kami telah meletakkan moratorium kepada hukuman mati dan kini sedang mengkaji pandangan orang ramai kerana tidak semua orang bersetuju untuk memansuhkan hukuman ini.

“Mengenai Akta Anti-Kesalahan, kami telah menghentikan penguatkuasaannya sementara menunggu undang-undang itu dimansuhkan.

“Media telah diberikan kebebasan dalam penulisan dan mereka tidak perlu menunggu arahan daripada pemimpin di Putrajaya seperti sebelum ini,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata ekonomi terus berkembang, dengan tanda-tanda peningkatan keyakinan daripada pelabur luar.

“Kami juga telah memenuhi janji kami untuk mengiktiraf status rakan kongsi antara Sabah dan Sarawak di Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata kerajaan Pakatan telah memastikan kedaulatan undang-undang dikuatkuasakan, dengan pemisahan kuasa yang jelas antara eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman.

Inisiatif khusus telah dilaksanakan ke arah pemulihan Felda, dengan kerajaan menyuntik dana RM6.23 bilion untuk membantu Felda dan penerokanya.

Dr Mahathir juga menekankan usaha kerajaan dalam memperkasakan wanita, menegaskan bahawa buat kali pertama dalam sejarah, Malaysia melantik seorang wanita sebagai timbalan perdana menteri.

Selain daripada beberapa jawatan penting di dalam Kabinet, Malaysia juga melantik Ketua Hakim wanita untuk kali pertama, Bank Negara Malaysia sekali lagi diketui oleh wanita, manakala syarikat berkaitan kerajaan dan jabatan kerajaan juga diketuai oleh wanita,”  katanya.

Golongan belia juga telah diberi keutamaan di mana beliau memetik contoh pelantikan menteri Kabinet yang termuda (Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman).

Mengenai perumahan, Dr Mahathir berkata kerajaan telah menubuhkan Majlis Perumahan Mampu Milik Nasional untuk memudahkan pembinaan satu juta rumah mampu milik dalam masa dua penggal.

“Kami yakin bahawa untuk 2019, kira-kira 100,000 rumah mampu milik boleh disiapkan. Semua pencapaian ini mencerminkan komitmen kami untuk membangunkan negara dan memenuhi aspirasi rakyat,” katanya.

Dr Mahathir turut menolak dakwaan bahawa Pakatan hanya mengguna semula idea-idea kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

“Kami melakukan perkara yang betul. Kami melakukan apa yang perlu dan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai kerajaan, tanpa rasuah dan kronisme,” ujarnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker