AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Pilihan Raya Thailand: Keputusan Rasmi Berpihak Kepada Tentera

Pada Rabu, 8 Mei 2019, keputusan rasmi pilihan raya Thailand akhirnya diumumkan, di mana junta (tentera) Thailand dilihat akan terus kekal berkuasa sebagai kerajaan pemerintah.

Thailand telah berada dalam kebuntuan politik selama 6 minggu kerana Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu menangguhkan pengumuman keputusan rasmi pilihan raya yang diadakan pada 24 Mac lalu.

Ini sekali gus menyebabkan pelbagai pihak mempersoalkan cara dan formula rumit yang dilaksanakan oleh suruhanjaya tersebut untuk mengira undi.

 

SISTEM YANG TERLALU RUMIT

Keputusan rasmi yang dikeluarkan pada petang Rabu itu menunjukkan bahawa Pheu Thai, parti pro-demokrasi yang berkaitan dengan bekas perdana menteri Thai, Thaksin Shinawatra yang kini hidup dalam buangan, telah memenangi kerusi yang paling banyak dalam Dewan Rakyat, iaitu 136.

Namun, Pheu Thai tidak boleh membentuk kerajaan kerana minimum kerusi yang diperlukan di Dewan Rakyat adalah 250 daripada 500 kerusi. 

Seminggu selepas pilihan raya, Pheu Thai dan enam parti lain mendakwa bahawa mereka telah bergabung, dan kerusi yang diraih menerusi gabungan itu adalah 255, cukup untuk membentuk kerajaan.

Berdasarkan keputusan rasmi pula, gabungan demokratik itu hanya memenangi 245 kerusi.

Tetapi, apa yang lebih merumitkan keadaan adalah sesuatu parti atau gabungan perlu memperoleh 376 daripada keseluruhan 750 kerusi di Parlimen (500 Dewan Rakyat dan 250 Dewan Senat) untuk membentuk kerajaan yang stabil dan melantik perdana menteri. 

Walau bagaimanapun, pindaan perlembagaan yang dilakukan oleh tentera memberi kuasa kepada mereka untuk melantik kesemua 250 orang Senator di Dewan Senat.

Senator-senator tersebut pula dibenarkan, seperti Ahli-Ahli Dewan Rakyat (MP) yang lain, untuk memilih calon Perdana Menteri.

Ini bermakna bahawa tentera secara jelas sudah mempunyai jaminan sokongan 250 kerusi di Dewan Senat, dan hanya memerlukan 126 kerusi di Dewan Rakyat.

Semua Senator sudah tentu akan memilih Jeneral Prayuth Chan-o-cha sebagai Perdana Menteri, lebih-lebih lagi kerana beliau adalah calon tunggal yang mewakili tentera.

Memandangkan kesemua kerusi Senat sudah diperuntukkan untuk Senator lantikan tentera, parti-parti demokrasi akan mengalami kesukaran kerana perlu meraih 376 kerusi di Dewan Rakyat. 

Jadi, sekiranya gabungan parti demokrasi mencapai minimum 250 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan sekali pun, ia masih tidak cukup dalam mewujudkan kerajaan yang stabil kerana tidak boleh melantik perdana menteri pilihan mereka.

Sesiapa yang menjadi Perdana Menteri akan menjadi ketua kerajaan dan mempunyai kuasa untuk membentuk Kabinetnya.

Dalam erti kata lain, Prayuth akan tetap mengetuai kerajaan walaupun gabungan parti demokrasi sudah memperoleh 250 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Parti politik proksi tentera, Phalang Pracharat yang bertanding dalam pilihan raya tersebut menjadi parti kedua yang meraih paling banyak kerusi selepas Pheu Thai, iaitu 115.

Mereka kini perlu mendapatkan sokongan daripada 11 lagi MP untuk mencukupkan 126 kerusi di Dewan Rakyat.

Jumlah tambahan 126 kerusi Dewan Rakyat dengan 250 Senat akan mencukupkan 376 kerusi yang diperlukan untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan melantik perdana menteri.

Bagi gabungan demokrasi pula, mereka kini memegang 245 kerusi dan perlu mendapatkan sokongan 131 MP untuk mencukupkan 376 kerusi.

 

PHEU THAI AKAN CABAR KEPUTUSAN PILIHAN RAYA

Pheu Thai berikrar untuk menggunakan lunas undang-undang yang sedia ada bagi mencabar keputusan pilihan raya.

Mereka turut sebahagian daripada formula pengiraan undi yang rumit itu digunakan oleh pihak tertentu sebagai “penyalahgunaan undang-undang secara sengaja dan bercanggah dengan perlembagaan.”

Dalam pada itu, terdapat beberapa parti lain yang merupakan penyokong junta. Mereka ini boleh memberi undian yang cukup untuk memastikan pelantikan Prayuth sebagai Perdana Menteri.

Tentera juga akan mendapatkan bantuan parti-parti tersebut untuk membentuk gabungan pro-tentera dengan memperoleh 250 kerusi di Dewan Rakyat.

Jika gabungan Prayuth memegang 250 kerusi Dewan Rakyat dan 250 kerusi Dewan Senat, ia akan menjadi kerajaan majoriti yang amat kuat kerana mendominasi 500 daripada 750 kerusi di Parlimen secara keseluruhan.

Gabungan pro-demokrasi pula akan menjadi pembangkang yang lemah.

“Kami akan melakukan penyelarasan dengan parti-parti lain yang berkongsi ideologi kami dan berminat untuk membentuk kerajaan bersama,” kata ketua Phalang Pracharat, Uttama Savanayana.

 

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MEMANIPULASI KEPUTUSAN?

Kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya Thai dalam melakukan pengiraan undian turut dipersoalkan kerana pertubuhan itu juga dilantik oleh tentera.

Penangguhan pengumuman keputusan telah menimbulkan keraguan, di mana suruhanjaya itu didakwa mencari jalan untuk memanipulasi pengiraan undi bagi memastikan ia berpihak kepada tentera.

Namun, ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Somchai Sawaengkan menafikan bahawa kiraan undi telah dimanipulasi.

“Kami melakukan segala-galanya mengikut undang-undang,” katanya.

 

Sumber: The Guardian

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button