Isu SemasaTempatan

RM237 Juta Duit 1MDB Telah Dikembalikan Kepada Malaysia

Kerajaan Amerika Syarikat telah membuat pembayaran pertama dana yang diperolehi daripada penyitaan aset yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi Jabatan Keadilan (DoJ).

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata pemindahan pertama dana bernilai AS$57,036,688.68 (RM236,56 juta) dikreditkan ke akaun pemulihan aset 1MDB, akaun amanah yang dibuka khusus untuk tujuan itu.

“Jumlah itu telah ditarik balik daripada Red Granite Pictures, sebuah syarikat penerbitan filem berpangkalan di AS yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri (Datuk Seri) Najib Razak dan anak tirinya, Riza Aziz,” Katanya dalam satu kenyataan.

Thomas berkata potongan sebanyak AS$3 juta telah dibuat untuk membayar balik kos yang dikenakan oleh DoJ dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam menyiasat, merampas, memfail dan mendapatkan penyelesaian untuk dana Red Granite.

“Termasuk dalam potongan ini adalah kos yang ditanggung oleh DoJ dan FBI dalam menyiasat, merampas dan menguruskan Equanimity ketika berada di perairan Indonesia sebelum tiba di perairan Malaysia.

“DoJ juga sedang dalam proses menyerahkan sejumlah wang bernilai AS$139 juta, hasil daripada penjualan saham Low Taek Jho atau Jho Low dalam Park Lane Hotel di Manhattan.

“Semua kos yang ditanggung oleh DoJ dan FBI dalam menyiasat, merampas, memfailkan saman dan mendapatkan penyelesaian untuk aset Park Lane akan ditolak daripada jumlah penyelesaian ini dan baki dijangka dikreditkan ke akaun pemulihan aset 1MDB tidak lama lagi.”

Thomas berkata Malaysia setakat ini telah memperolehi aset bernilai AS$322 juta (kira-kira RM1.3 bilion) aset 1MDB sejak penyiasatan ke atas 1MDB bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun lepas.

Baru-baru ini DoJ melaporkan bahawa nilai aset 1MDB dianggarkan bernilai US$1.7 bilion, termasuk Equanimity yang dijual oleh Mahkamah Admiralty Malaysia berjumlah AS$126 juta.

“Sejumlah dana S$50 juta (RM152.3 juta) yang berasingan yang dapat dikesan berkaitan 1MDB telah diperintahkan oleh Mahkamah Singapura untuk dihantar pulang.

“Sebanyak S$15 juta dikreditkan ke akaun pemulihan aset 1MDB antara September tahun lepas dan Mac tahun ini. Baki akan dikreditkan tidak lama lagi.

“Pemulihan sedemikian tidak dapat dicapai tanpa bantuan dan kerjasama yang sangat baik oleh pihak berkuasa Malaysia dengan rakan-rakan kami di AS dan Singapura.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada mereka. Usaha pemulihan aset 1MDB di seluruh dunia masih berterusan dan Malaysia yakin akan dapat menerima lebih banyak wang dalam beberapa bulan akan datang.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button