AntarabangsaIsu Semasa

Jepun Berjaya Temui Serpihan Jet Pejuang F-35 Yang Terhempas Pada April

Jepun telah berjaya memperoleh beberapa serpihan daripada jet pejuang ‘halimunan’ F-35A miliknya yang terhempas pada bulan April lalu, tetapi masih sedang mencari memori-memori “penting” yang boleh memberi petunjuk kepada bagaimana berlakunya nahas itu.

Menteri Pertahanan, Takeshi Iwaya berkata, walaupun sudah hampir sebulan insiden nahas itu berlaku di Lautan Pasifik berhampiran utara negara tersebut, mayat juruterbang serta bangkai badan utama jet tersebut masih belum ditemui.

Menurut pakar, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) mahu menghalang serpihan-serpihan F-35 berkenaan daripada ditemui dan diperoleh oleh Rusia atau China, memandangkan Iwaya dalam satu kenyataan pada bulan lepas mengakui bahawa terdapat “banyak rahsia yang perlu dilindungi” berhubung pesawat itu.

Jelas Iwaya, beberapa serpihan, termasuk sebahagian daripada perakam data penerbangan (FDR) telah diperoleh “pada atau selepas 3 Mei”.

“Kementerian Pertahanan sedang mengkaji (bahagian-bahagian pesawat itu), tetapi setakat ini, memori (yang terkandung dalam perakam data penerbangan) itu masih belum diperoleh,” jelas beliau.

Difahamkan, jet tersebut mula dilaporkan hilang pada 9 April 2019 ketika sedang terbang kira-kira 135 kilometer timur dari pangkalan udara Misawa di Aomori Prefecture dalam satu latihan penerbangan pada jam kira-kira 7.27 pm waktu tempatan.

Bahagian ekor pesawat telah dijumpai oleh pasukan pencari Jepun dan AS.

Pasukan Pertahanan Diri Udara Jepun (ASDF) berkata, ini merupakan kes nahas pertama membabitkan pesawat berkenaan.

Tambah Iwaya, tentera AS dan Jepun telah menggunakan data daripada sebuah kapal penyelidikan dasar laut milik Jepun serta kapal khas “sokongan menyelam” operasi dasar laut milik AS untuk memperoleh bahagian-bahagian pesawat yang baru ditemui.

Jepun membeli F-35A daripada AS bagi menggantikan pesawat F-4 miliknya yang sudah “tua.”

Pesawat canggih generasi kelima itu bernilai lebih daripada 10 bilion yen (RM376.2 juta) setiap satu unit.

Pembelian jet ini adalah sebahagian daripada usaha Perdana Menteri, Shinzo Abe untuk menaiktaraf keupayaan ketenteraan Jepun bagi memenuhi perubahan kuasa dinamik di Asia Timur, lebih-lebih lagi kerana pemodenan ketenteraan China turut berkembang dengan pesat.

Sumber: Channel News Asia

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button