Isu SemasaPolitikTempatan

Adakah “Sejarah” Akan Berulang Di Sandakan?

Selepas dua dekad berdiam diri, Parti Bersatu Sabah (PBS) membuat ‘comeback’ apabila ia mengumumkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.

PRK kali ini menyaksikan pertempuran lima penjuru di antara PBS, DAP dan tiga orang calon Bebas.

Kali terakhir PBS bertanding adalah dalam Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada tahun 1999, di mana ia berada dalam blok pembangkang pada waktu itu.

Difahamkan, PBS mula ditubuhkan pada tahun 1985 untuk menentang Berjaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang kelima pada waktu itu.

Berjaya merupakan sebuah parti komponen di bawah Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah Sabah sejak tahun 1976, di mana ia turut disifatkan sebagai  ‘autokratik’ (kuku besi).

“Rakyat pada masa itu, khususnya Kadazandusun dan Cina, mahu menggulingkan rejim Berjaya, yang mereka lihat melayan mereka secara tidak adil,” kata Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun.

Beberapa hari sebelum PRN tersebut, Perdana Menteri Malaysia, Tun (Datuk Seri pada ketika itu) Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan: “Kita akan tenggelam atau berenang bersama Berjaya.”

Dalam PRN tersebut, PBS melakukan keajaiban apabila ia berjaya menewaskan Berjaya dengan memenangi 25 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun baru sahaja ditubuhkan 47 hari sebelum pilihan raya berkenaan.

Namun, dua parti yang tewas iaitu Berjaya dan USNO melancankan plot untuk memastikan Tun Mustapha Harun dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah.

Pada waktu itu, Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan juga mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, sekali gus menyebabkan Sabah mempunyai dua Ketua Menteri.

Kemudian, mahkamah mengisytiharkan Pairin sebagai Ketua Menteri Sabah yang sebenar.

Pada bulan Mac 1986, sebuah rusuhan telah tercetus, di mana beberapa bahan letupan diletupkan di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

Ramai pihak mempercayai bahawa serangan itu dilancarkan oleh pendatang asing yang memasuki negara secara haram.

Terdapat juga dakwaan bahawa wujud ‘tangan ghaib’ dari pihak Kerajaan Persekutuan yang dikatakan mahu menggugat kestabilan kerajaan negeri Sabah pimpinan PBS.

Dua bulan kemudian, Pairin mengadakan pilihan raya mengejut. PBS meraih kemenangan besar – 34 daripada 48 kerusi DUN.

Tidak lama selepas itu, PBS menyertai BN.

“Kami mahu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan kerana kami memmerlukan dana untuk membangunkan negeri.

“Kami juga mahu memperjuangkan hak-hak Sabah dalam kerajaan Barisan,” ujar Mositun.

Namun, PBS kemudian telah  meninggalkan BN dan menyertai Semangat 46, sekali gus menjadikannya sebagai pembangkang.

Dr Mahathir menyifatkan tindakan PBS tersebut sebagai ‘menikam’ BN daripada belakang.

“Kami meninggalkan Barisan kerana Dr Mahathir tidak bertindak adil terhadap kerajaan PBS. Apabila ketua menteri Pairin meminta dana persekutuan, perdana menteri mengabaikan permintaannya,” jelas Mositun.

Walaupun PBS dan DAP merupakan parti-parti dalam blok pembangkang, mereka berdua masih menentang antara satu sama lain.

Kali terakhir PBS bertanding di Parlimen Sandakan adalah pada tahun 1990 di mana ia menewaskan DAP yang telah mendominasi kerusi tersebut selama tiga penggal sejak 1987 lagi.

Bagi PRK Sandakan yang berlangsung tidak lama lagi, UMNO dan PAS yang kini menjadi pembangkang memutuskan untuk tidak bertanding dan memberi laluan kepada PBS.

Jadi dalam PRK Sandakan yang akan datang ini, mampukah PBS mengulangi kemenangannya ke atas DAP seperti yang berlaku pada 1990?

Walaupun sudah lama tidak ‘beraksi’, PBS dilihat masih berpotensi untuk merebut kerusi tersebut daripada DAP.

Tetapi, DAP pula kini mempunyai kelebihan kerana sudah menjadi sebahagian besar daripada kerajaan pemerintah berikutan kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14 pada tahun lepas.

Ini sekali gus memberi peluang yang lebih besar kepada DAP untuk menang kerana kerajaan pemerintah mempunyai kapasiti yang sewajarnya dari segi dana dan pelbagai perkara lain untuk membangunkan kawasan tersebut.

Seperti yang dikatakan di atas, DAP juga pernah mendominasi kerusi itu selama tiga penggal sejak tahun 1987 lagi sebelum tewas di tangan PBS.

Tetapi, kegagalan PH untuk menunaikan manifesto-manifestonya dalam PRU14 yang lalu juga boleh menjadi ‘beban’ kepada DAP.

Jadi, siapa yang akan menang? Kita tunggu dan lihat.

Sumber: The Star – “Will history repeat itself in Sandakan?”

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker