AntarabangsaIsu Semasa

Skuad Anti-Keganasan Indonesia Gagalkan Plot Serangan Militan JAD

Skuad anti-keganasan polis Indonesia dilaporkan telah berjaya menahan sekumpulan anggota militan daripada kumpulan Jamaah Anshurat Daulah (JAD) yang merancang plot untuk melancarkan serangan bom berani mati pada hari pengumuman keputusan akhir pilihan raya dalam bulan ini.

Memetik laporan Straits Times, skuad berkenaan telah menahan lapan suspek pengganas di antara Khamis dan Ahad minggu lepas.

Menurut jurucakap polis Dedi Prasetyo, sesetengah daripada suspek-suspek yang ditahan merupakan pembuat bom yang berpangkalan di pinggir Jakarta serta wilayah Lampung dan Sulawesi Utara.

Difahamkan, kumpulan JAD telah bersumpah taat setia dengan militan IS.

“Sel-sel (pengganas) akan ‘memanfaatkan’ (pengumuman keputusan pilihan raya) dengan melancarkan serangan bom berani mati,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.

Ujar Prasetyo, militan-militan tersebut juga merancang untuk menggunakan sebuah perhimpunan besar-besaran, sebahagian daripada hari pengumuman keputusan pilihan raya pada 22 Mei ini, sebagai ‘peluang’ untuk mencetuskan huru-hara.

Suspek-suspek dikatakan mempunyai rancangan untuk menyamar sebagai penunjuk perasaan.

Tambah beliau, kakitangan-kakitangan polis yang bertugas pada hari berkenaan menjadi sasaran kumpulan militan tersebut yang sudah dilengkapi dengan bom.

Dalam operasi berdekatan Jakarta pada Ahad, skuad anti-keganasan polis menembak mati seorang militan dan bom yang dipasang pada badannya telah meletup sekali gus membunuhnya.

Kumpulan JAD tidak asing lagi dalam melancarkan pelbagai siri serangan pengganas di Indonesia.

Ini termasuk serangan bom berani mati di Jawa Timur dan wilayah Riau pada Mei tahun lepas, dan serangan ke atas sebuah balai polis dan kedai kopi Starbucks Cafe di Jakarta yang mengorbankan nyawa lapan orang mangsa pada tahun 2016.

Sumber: Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button