Sukan

Mampukah Manchester City Merangkul Kejuaraan Dengan Kemenangan Pada Ahad Ini?

Dalam perlawanan pagi tadi, Vincent Kompany nyata muncul wira apabila memecah kebuntuan di Stadium Etihad dengan rembatan padu jarak jauhnya pada minit ke-70.

“Saya cakap jangan rembat, Vinnie, jangan rembat,” kata Guardiola merujuk kapten City itu yang kontrakya akan tamat hujung musim ini.

“Tapi dia bijak, dia tidak ikut arahan. Ia memang gol menakjubkan. Semua pemain ada naluri kemenangan. Kami berjaya melakukannya.

“Pemain yang kami miliki amat penting, satu dekad bersama kelab biarpun tidak banyak mana trofi dalam kabinet kami, tetapi merekalah yang membantu kami mencapai ke tahap ini sekarang. Joe Hart, Pablo Zabaleta, Vincent Kompany adalah sebahagian dari mereka.

“Vincent, 10 tahun, kami kerap berbual, malangnya kadangkala dia ditimpa kecederaan. Semasa dia cergas, dialah pertahanan tengah terbaik.

“Hari ini, jaringan dia sangat menarik, dia memang seorang pertahanan hebat, memiliki personaliti hebat.

“Dia disayangi. Dia adalah pemimpin sejati. Saya sangat gembira kehadirannya bersama kelab ini, semua orang juga begitu.”

City kembali memintas Liverpool dengan kelebihan satu mata pagi tadi hasil kemenangan 1-0 ke atas Leicester City hasil rembatan padu, Vincent Kompany.

Perlawanan Man City Ahad Ini Penentu Kemenangan Pasukan

Guardiola kini perlu menunggu kunjungan terakhir menentang Brighton and Hove Albion untuk mengetahui sama ada mereka mampu merakam kemenangan ke-14 liga sekali gus mempertahankan gelaran pada Ahad ini.

“Tinggal satu perlawanan dan ia pasti sukar seperti hari ini, kami beraksi di gelanggang lawan dan kami lihat Brighton bermain baik menentang Arsenal,” kata pengurus City, Pep Guardiola.

“Tapi ia hampir berada dalam genggaman kami, jangan lupa kami mungkin ketinggalan 10 mata jika kami kalah di tangan Liverpool di sini. Kami ketinggalan tujuh mata, tapi kini kami berdepan perlawanan terakhir dan ia hampir menjadi milik kami. Kami akan bersiap sedia dengan rapi,” katanya.

“Kami akan lihat jika Brighton mengamalkan corak bertahan sepanjang perlawanan atau lebih menyerang. Ia pasti sukar, tapi harapnya kami akan mempamerkan persembahan selayaknya untuk menjadi juara.”

Kelebihan satu mata di depan Liverpool bermakna City akan merangkul kejuaraan keenam liga utama domestik Inggeris jika mereka menang di Brighton, Ahad ini – sekalipun jika anak buah Juergen Klopp menewaskan Wolverhampton Wanderers di Anfield.

Adakah Man City Mampu Mengalahkan Liverpool?

Setakat ini, Liverpool turut beraksi cemerlang dan berjaya menekan City dalam perebutan itu dengan merakam lapan kemenangan dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Guardiola dan Klopp juga saling menghormati satu sama lain namun bos City itu dilihat lebih terdesak menjelang aksi terakhir liga hujung minggu ini.

“Masalah kami ialah corak permainan,” kata Guardiola bagi menjawab soalan wartawan sama ada pemain City mengalami masalah mental sejak kebelakangan ini.

“Kami menang 1-0 ke atas Burnley tetapi kami terlepas satu sepakan sudut, satu sasaran ke gawang. Kami menguasai permainan. Kami lebih bagus berbanding lawan.

“Apa yang kami lakukan ialah cuba baiki persembahan berbanding pencabar, kami lebih baik berbanding lawan dalam dua atau tiga bulan lalu. Menang atau kalah, kita tunggu saja.

“Kadangkala kita perlukan jaringan seperti dilakukan Vinnie hari ini. Kadangkala menjadi. Begitu juga dengan penalti yang kadangkala kita terlepas. Dua kali kita tidak diberi penalti. Maka lawan dapat 2-0 untuk itu.

“Setakat ini, Liverpool beraksi tanpa tekanan kerana mereka tahu kedudukan bukan dalam tangan mereka. Jadi mereka beraksi dengan lebih mudah berbanding kami.

“Kami pula berada dalam tekanan kerana kami tidak boleh kalah, kerana nasib kami di tangan kami sendiri. Kami berhak berada di posisi ini. Satu lagi perlawanan dan kami akan cuba menang perlawanan itu.”

Jika City merangkul kejuaraan, Liverpool, dengan 94 mata sesudah hanya tewas sekali sepanjang musim, akan menamatkannya dengan mata tertinggi oleh pasukan naib juara dalam sejarah Liga Perdana.

City sudah menjaringkan 100 gol dalam semua pertandingan di Etihad musim ini – rekod bagi gol terbanyak di laman sendiri pasukan liga utama Inggeris dalam satu kempen.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker