AntarabangsaIsu Semasa

Brunei Tak Jadi Laksana Hukuman Rejam Pesalah Seks Sejenis?

Pada Ahad 5 Mei 2019, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah telah melanjutkan moratorium hukuman mati bagi undang-undang yang melarang seks sejenis berikutan tentangan yang diterima termasuk daripada selebriti terkenal Hollywood seperti George Clooney dan Elton John.

Negara terkecil di Asia Tenggara itu dilaporkan telah mencetuskan “kemarahan global” apabila ia melaksanakan undang-undang syariah pada 3 April lalu, termasuk memperkenalkan hukuman rejam sampai mati atas kesalahan meliwat, hubungan seks luar nikah dan juga rogol.

Namun, Brunei secara konsisten telah mempertahankan haknya untuk menguatkuasakan undang-undang berkenaan yang mula diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2014.

Walau bagaimanapun, Sultan Hassanal memaklumkan bahawa hukuman mati akan ditangguhkan dalam Perintah Kanun Keseksaan Syariah (SPCO).

Terdapat beberapa jenayah yang membawa kepada hukuman mati di Brunei, termasuk membunuh dan pengedaran dadah, tetapi tiada sebarang hukuman mati yang dilaksanakan sejak tahun 1990an.

“Beta adalah menyedari terdapat bermacam-macam persoalan dan salah tanggapan berikutan dengan perlaksanaan undang-undang berkenaan.

Untuk itu kita telah memberikan penjelasan mengenainya. Kita juga sedia menyedari salah tanggapan memang boleh sahaja menimbulkan pelbagai kegusaran.

Namun kita juga yakin apabila salah tanggapan itu bertukar menjadi kefahaman yang betul, maka yang mulanya dianggap buruk baru akan akan nampak pula kebaikan,” titah Sultan Hassanal Bolkiah semasa ucapannya sempena sambutan bulan Ramadhan.

Sultan Hassanal Bolkiah menjelaskan lagi dengan berkata,”Sejak lebih daripada dua dekad lalu, kami telah melaksanakan de facto moratorium iaitu penangguhan pelaksanaan hukuman mati bagi kes-kes di bawah undang-undang ‘common law.’ Ini akan dilaratkan bagi kes-kes SPCO yang sememangnya menyediakan ruang yang lebih luas bagi pengampunan hukuman mati.”

Sultan Brunei kerap berdepan kritikan daripada golongan aktivis yang menganggap pemerintahan monarki mutlaknya sebagai “kuku besi”.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengecam pelaksanaan undang-undang syariah tersebut, dan ramai selebriti serta kumpulan hak asasi melancarkan gerakan untuk memboikot hotel-hotel yang dimiliki oleh Sultan, termasuk Dorchester di London dan Beverly Hills Hotel di Los Angeles.

Beberapa syarikat multi-nasional juga telah melarang kakitangan mereka daripada menginap di hotel-hotel milik baginda, dan sesetengah syarikat pelancongan pula berhenti mempromosikan Brunei sebagai destinasi pelancong.

Dalam pada itu, amat jarang untuk melihat baginda memberi respon ke atas kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadapnya.

Namun, pejabat baginda telah menerbitkan ucapan baginda yang sudah diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris, dan ini juga adalah satu perkara yang jarang berlaku.

“Kedua-dua common law dan undang-undang syariah bertujuan untuk memastikan keamanan dan keharmonian negara.

“Ia juga penting dalam melindungi moral dan kesopanan negara serta privasi individu-individu,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times.

Show More

Related Articles

Back to top button