AntarabangsaIsu Semasa

Adakah Gerakan Ikhwanul Muslimin Sebuah Organisasi “Pengganas”?

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pernah dilaporkan mahu mengisytihar gerakan Islam antarabangsa, Ikhwanul Muslimin atau “Muslim Brotherhood” sebagai kumpulan pengganas.

Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah gerakan yang ditubuhkan pada tahun 1928 di Mesir oleh Hassan al-Banna, seorang ulama’ yang terkenal di negara itu.

Pada waktu itu, ia ditubuhkan sebagai badan kebajikan Islam dan pergerakan politik, dan Ikhwanul Muslimin kemudian berkembang dengan pantas bukan sahaja di Mesir, tetapi juga di negara-negara Islam yang lain.

 

Jabatan Amerika Syarikat Membantah Cadangan Trump

Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai di Pentagon dan Jabatan Negara AS membantah cadangan Trump itu kerana Ikhwanul Muslimin tidak memenuhi ‘kriteria’ atau definisi sesebuah kumpulan pengganas.

Peletakan gerakan itu dalam senarai pertubuhan pengganas asing (FTO) juga boleh mendatangkan akibat yang tidak diingini di negara-negara sekutu  AS, di mana Ikhwanul Muslimin mempunyai pengaruh besar dalam parti-parti politik terkemuka di sana.

Antara negara sekutu AS yang memiliki parti politik berkaitan Ikhwanul Muslimin termasuk Iraq, Jordan Kuwait, Bahrain, Turki dan Tunisia.

Bukan itu sahaja, malah Ikhwanul Muslimin selama ini juga aktif dalam menolak dan mengutuk sebarang bentuk perbuatan terorisme serta keganasan.

 

Adakah Ikhwanul Muslimin Berkaitan Dengan Militan?

Memetik laporan NY Times, ramai pihak yang tidak berpuas hati dengan pendekatan Ikhwanul Muslimin yang “tidak berunsurkan keganasan” telah meninggalkan kumpulan itu untuk menyertai organisasi militan lain seperti Al-Qaeda.

Difahamkan, Ayman al-Zawahiri, seorang rakyat Mesir yang membantu mengasaskan Al-Qaeda dan kini memimpin kumpulan itu, merupakan bekas anggota Ikhwanul Muslimin.

Al-Zawahiri juga ada menulis ‘rintihan’ yang panjang berjudul “The Bitter Harvest”, di mana dia mengecam pendekatan aman Ikhwanul Muslimin, dan juga kritikan konsisten gerakan itu terhadap Al-Qaeda.

 

Adakah Benar Ikhwanul Muslimin Sebuah Kumpulan Pengganas?

Tidak. Malah, golongan pakar yang bersikap kritikal terhadapnya juga bersetuju bahawa Ikhwanul Muslimin tidak memenuhi ‘kriteria’ sebuah kumpulan pengganas.

Gerakan tersebut sebelum ini dikatakan pernah menubuhkan cabang/sayap paramiliter. Pada tahun 1948, seorang pelajar berusia 23 tahun yang tergolong dalam sayap itu telah membunuh Perdana Menteri Mesir pada waktu itu.

Dua minggu selepas itu pula,  seorang lagi anggota ditahan kerana cuba untuk mengebom mahkamah.

Walau bagaimanapun, al-Banna mengecam sekeras-kerasnya kedua-dua pesalah berkenaan serta tindakan mereka.

“Mereka (pesalah) bukan Saudara kami mahupun orang Islam,” tegas beliau.

 

Mengapa Pihak Tertentu Mahu Label Mereka Sebagai Pengganas?

Presiden Mesir pada masa ini, Abdel Fattah el-Sisi telah mengklasifikasikan Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas dan kerap menuduh gerakan itu sebagai dalang di sebalik pelbagai serangan keganasan.

Namun, Ikhwanul Muslimin secara konsisten menafikan sebarang penglibatan dalam serangan-serangan yang telah berlaku.

Kini, Mesir, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilihat menjadi pemain utama yang bertegas bahawa Ikhwanul Muslimin adalah kumpulan pengganas.

Akibat bimbang dengan kemungkinan Ikhwanul Muslimin boleh meraih kuasa menerusi pilihan raya, ketiga-tiga negara itu telah memberi tekanan hebat kepada gerakan itu.

Dalam pada itu, AS di bawah pentadbiran Trump pada tahun 2017 juga pernah mempertimbang untuk mengisytihar gerakan itu sebagai pengganas, namun menarik semula idea tersebut.

Namun dalam satu pertemuan di Rumah Putih beberapa minggu lalu, el-Sisi menggesa Trump untuk melaksanakannya dan presiden berkontroversi itu bersetuju dengan pandangan el-Sisi.

Britain yang turut ditekan oleh sekutu-sekutu Teluk Parsinya juga melakukan penyiasatan untuk menentukan sama ada Ikhwanul Muslimin patut diisytihar sebagai pengganas atau tidak.

Walau bagaimanapun, Britain memutuskan bahawa kumpulan itu “tidak layak” digelar sebagai pengganas.

 

Boleh Ke Trump Isytihar Ikhwanul Muslimin Sebagai “Pengganas” Dengan Sewenang-Wenangnya?

Jawapannya adalah tidak. Jika mahu melakukan sedemikian, pentadbiran Trump perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa Ikhwanul Muslimin benar-benar terlibat dalam kegiatan pengganas yang mengancam AS atau kepentingan-kepentingannya.

Prosesnya adalah seperti berikut:

1. Agensi-agensi anti-keganasan perlu menyediakan bukti bertulis

2. Setiausaha Negara perlu berbincang dengan peguam negara dan Setiausaha Perbendaharaan sebelum melakukan sebarang pengisytiharan.

3. Kongres mempunyai 7 hari untuk memutuskannya, dan selepas itu Ikhwanul Muslimin akan diberi tempoh 30 hari untuk membuat rayuan kepada mahkamah persekutuan di Washington.

Namun begitu, pakar-pakar, termasuk mereka yang “tidak sehaluan” dengan Ikhwanul Muslimin semuanya berkata bahawa mereka tidak mendapati bukti yang cukup untuk meyakinkan mahkamah bahawa gerakan itu adalah kumpulan pengganas.

“Arab Saudi, UAE, dan Mesir tidak memahami dalam dan luar sistem AS,” kata Jonathan Schanzer daripada Foundation for the Defense of Democracies.

Bekas pegawai Mesir di bawah pentadbiran kerajaan Morsi, Amr Darrag yang kini hidup dalam buangan di Istanbul, Turki pula meramalkan bahawa sebarang kes mahkamah berhubung perkara ini akan membawa kepada kekalahan Trump.

“Pengisytiharan itu (Ikhwanul Muslimin sebagai pengganas) mungkin tidak baik untuk Timur Tengah, tetapi ia akan menjadi kemenangan besar bagi Ikhwanul Muslimin,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button