AntarabangsaIsu Semasa

5 Kes Pembunuhan Berprofil Tinggi Melibatkan Racun

Sejak zaman purba, racun telah menjadi satu kaedah popular untuk membunuh musuh-musuh politik.

Sehingga kini, para ahli sejarah masih berdebat jika Cleopatra, Napoleon dan Alexander the Great dibunuh dengan cara ini.

Salah satu kes ialah pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, yang disimbah toksik VX di wajahnya ketika menunggu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pada 3 Mei 2019, pihak berkuasa Malaysia membebaskan seorang wanita Vietnam yang didakwa terlibat dalam kes pembunuhan tersebut, beberapa minggu selepas seorang suspek warga Indonesia dibebaskan.

Dan kini tiada seorang pun yang ditahan atas pembunuhan itu.

Wanita itu mendakwa mereka diperdaya untuk melakukan pembunuhan tersebut oleh ejen Korea Utara yang melarikan diri selepas pembunuhan dilakukan.

Kaedah, toksik yang digunakan dan hasil akhirnya adalah berbeza dalam setiap kes tetapi ini ialah lima kes percubaan dan pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan toksik:

1. Sergei Skripal

Kiri: Rakaman CCTV pada tahun 2004 yang memperlihatkan Sergei Skripal pernah ditahan oleh pihak keselamatan Rusia, Kanan: Sergei berjalan dengan anak perempuannya di Salisbury, UK sebelum dijumpai tidak sedarkan diri. Sumber Imej: TheTimes

Seorang ejen perisik Rusia yang berpengalaman, Sergei Skripal hidup aman di bandar katedral Inggeris, Salisbury ketika dia dan anak perempuannya, Yulia disasarkan dalam serangan toksik saraf.

Mereka ditemui tidak sedarkan diri di bangku taman pada Mac tahun lepas selepas diracun dengan agen saraf yang sangat toksik.

Britain menuduh kerajaan Rusia cuba membunuh Skripal kerana kerja kerasnya dengan agensi-agensi perisikan Eropah, tetapi pertuduhan itu ditolak oleh Moscow.

London menamakan dua rakyat Rusia sebagai suspek atas serangan itu, dan kumpulan penyiasat Bellingcat mengatakan mereka adalah pegawai perkhidmatan risikan tentera GRU Moscow.

 

2. Alexander Litvinenko

Kronologi Alexander Litvinenko diracun. Sumber Imej: DailyMail

Serangan lain yang melibatkan seorang bekas ejen Rusia berlaku pada November 2006, ketika Alexander Litvinenko bertemu dua kenalan Rusia untuk minum di hotel London bagi membincangkan kemungkinan peluang perniagaan.

Lelaki berusia 43 tahun itu jatuh sakit selepas itu dan didapati meminum teh beracun yang dicampur dengan Polonium-210 – isotop radioaktif yang mahal dan jarang ditemui dan dihasilkan di Rusia.

Beliau meninggal dunia selepas tiga minggu yang menyeksakan dan akhirnya dikebumikan di utara London dalam keranda khas untuk mencegah kebocoran radiasi.

Siasatan British mendapati bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin mungkin telah “meluluskan” pembunuhan bekas perisik itu, suatu tuduhan yang ditolak oleh Moscow.

Pembunuhan Litvinenko menyebabkan kemarahan awam yang meluas di Britain selepas kesan radioaktif ditemui di pelbagai lokasi di sekitar London, dengan media mengisytiharkan tindakan pertama di dunia itu sebagai “keganasan nuklear.”

 

3. Khaled Meshaal

Khaled Meshaal. Sumber Imej: TRT World

Menyamar sebagai pelancong Kanada, ejen dari perkhidmatan rahsia Israel, Mossad menyasarkan Khaled Meshaal, bekas ketua biro politik Hamas, dengan menyuntikkan racun misteri ke telinganya di sebuah jalan di ibu kota Jordan, Amman.

Ketika Meshaal jatuh koma, polis Jordan menangkap dua penyerang dan Raja Hussein menuntut agar Israel menyerahkan penawar jika mahu ejennya dikembalikan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akhirnya memberikan penawar dan juga melepaskan pemimpin Hamas, Sheikh Ahmad Yassin dari penjara Israel.

 

4. Georgi Markov

Senjata yang digunakan untuk membunuh Georgi Markov. Sumber Imej: Daily Express

Pada tahun 1978, pemberontak Bulgaria, Georgi Markov menunggu bas untuk pulang ke rumah selepas tamat waktu kerja di BBC World Service.

Dia merasakan tusukan tajam di paha dan melihat seorang lelaki sedang memungut payung berhampiran dengannya.

Tiga hari kemudian, Markov telah mati, dibunuh oleh apa yang dipercayai racun yang ditembak dari payung itu.

Pemeriksaan bedah siasat mengesahkan Georgi telah dibunuh oleh pelet kecil yang mengandungi dos 0.2-miligram ricin.

Ricin adalah 6,000 kali lebih kuat daripada sianida dan dengan saiz sebesar sebatian garam, ia sudah cukup untuk mematikan. Kes ini tidak pernah diselesaikan.

 

5. Viktor Yushchenko

Perubahan wajah Viktor Yushchenko. Sumber Imej: NBC News

Viktor Yushchenko adalah calon presiden Ukraine tetapi pada September 2004, dia jatuh sakit ketika kempen pemilihan melawan calon pro-Rusia, Viktor Yanukovich.

Setelah beberapa bulan ujian di klinik Austria, doktor mengesahkan bahawa Yushchenko telah menelan sejumlah besar dioksin, di mana jumlahnya 1,000 kali lebih tinggi daripada jumlah normal.

Walaupun terselamat, muka Yushchenko bengkak dan berparut sehingga terpaksa menjalani rawatan tetap di Switzerland untuk membuang toksin dari tubuhnya.

Yushchenko kemudian mendakwa bahawa dia percaya bahawa dioksin itu berasal dari sebuah kilang di Rusia.

Show More

Related Articles

Back to top button