AntarabangsaIsu Semasa

Taliban: “Jangan Minta Kami Letak Senjata, Amerika Yang Perlu Melakukannya”

Kumpulan Taliban baru-baru ini menggesa wakil khas keamanan Amerika Syarikat (AS) supaya berhenti mendesaknya untuk “meletakkan senjata”, dan sebaliknya meminta agar AS menghentikan penggunaan kekerasan.

Kumpulan pemberontak tersebut merujuk kepada Zalmay Khalilzad, diplomat AS kelahiran Afghanistan.

Difahamkan Khalilzad sudah memasuki rundingan pusingan keenam bersama Taliban di Qatar pada minggu ini dalam usaha menamatkan konflik di antara Amerika dan kumpulan itu, yang juga merupakan “peperangan yang paling lama.”

“Dalam sesi pembukaan, saya menegaskan kepada Taliban bahawa rakyat Afghan, yang merupakan saudara mereka, mahu peperangan ini berakhir.

“Sudah tiba masanya untuk kita meletakkan senjata, menamatkan keganasan dan menerima keamanan,” kata Khalilzad menerusi akaun Twitternya yang menggunakan nama @US4AfghanPeace.

Namun, kenyataan beliau dibidas oleh jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.

“@US4AfghanPeace harus melupakan idea yang mahukan kami meletakkan senjata.

“Daripada mempunyai fantasi seperti itu, beliau sepatutnya mengemukakan idea tersebut kepada AS, mengenai menghentikan penggunaan kekerasan dan menyebabkan kerugian manusia dan kewangan yang lebih lanjut ke atas pentadbiran Kabul (Afghanistan) yang semakin merosot,” tegas Mujahid.

Katanya lagi, AS juga perlu berhenti menggunakan strategi yang gagal secara berulang kali sementara berharap hasil yang berbeza.

Difahamkan, pertempuran sengit masih berterusan di seluruh Afghanistan, di mana Taliban dilaporkan kini mengawal atau mempengaruhi lebih banyak wilayah berbanding pengusiran mereka di tangan tentera yang diketuai AS susulan tragedi 9/11 pada tahun 2001.

AS mempunyai kira-kira 14,000 tentera di Afghanistan sebagai sebahagian daripada misi yang diketuai oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), yang dikenali sebagai “Resolute Support”.

Misi tersebut bertujuan untuk melatih dan membantu pasukan keselamatan kerajaan Afghanistan dalam perjuangan mereka menentang pejuang Taliban dan kumpulan ekstremis lain seperti IS dan Al-Qaeda.

Selepas pusingan kelima perundingan, Khalilzad berkata bahawa terdapat perkembangan ke arah perjanjian pengundran tentera AS dari Afghanistan dan bagaimana Taliban akan menghalang kumpulan ekstremis daripada menggunakan negaranya untuk melancarkan serangan.

Taliban yang enggan berunding dengan kerajaan Afghan, menegaskan bahawa perundingan tidak boleh diteruskan selagi tentera asing tidak meninggalkan negara itu.

“Keamanan akan tercapai jika kita bersetuju dengan empat isu yang berkaitan: pengunduran tentera, jaminan anti-keganasan, dialog dan perundingan dalaman Afghan, pengurangan keganasan yang membawa kepada gencatan senjata secara keseluruhan.

“Tiada apa (sebarang perjanjian) yang akan dimuktamadkan sehinggalah kita bersetuju terhadap kesemua empat isu tersebut,” kata Khalilzad.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button