Isu SemasaTempatan

Malaysia Milik Siapa Sebenarnya?

Malaysia milik siapa sebenarnya?

Ini adalah satu soalan yang bunyinya pendek dan mudah, namun membawa seribu satu makna, bergantung kepada interpretasi masing-masing.

Menurut kolumnis The Star, Jahaberdeen M. Yunoos menerusi penulisannya berjudul “Who does Malaysia belong to?”, terdapat pelbagai cara untuk menjawab soalan tersebut.

Tetapi, soalan itu perlu difahami secara betul terlebih dahulu sebelum kita mencari jawapannya.

“Sebagai contoh, jika kita rasa Malaysia adalah satu entiti ‘politico-legal’ – sebuah “negara” – maka ia jelas bahawa soalan itu berkiatan dengan pemeriksaan struktur undang-undang negara,” katanya.

Bilakah Malaysia mula wujud?

Malaysia ‘dilahirkan’ secara sah pada 16 September 1963, apabila Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia Barat), Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung dan membentuk Persekutuan Malaysia.

Kira-kira dua tahun kemudian, Parlimen Malaysia meluluskan sebuah rang undang-undang (RUU) untuk mengeluarkan Singapura daripada Malaysia.

Justeru sejak tahun 1965, Malaysia terdiri daripada Malaysia Barat (Semenanjung) dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).

Untuk mencapai perjanjian ke arah menubuhkan Malaysia dilakukan menerusi pelbagai perbincangan dan mesyuarat.

Apabila terdapat sesebuah perjanjian, maka akan ada terma dan syarat yang perlu dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat.

Apabila kita melihat Malaysia sebagai entiti undang-undang atau sebuah negara, persoalan-persoalan ini pasti akan berlegar dalam minda:

Bagaimana Malaysia diurus sebagai sebuah negara dan siapa yang menguruskannya? Apakah hak, tugas, tanggungjawab, dan keistimewaan “anggota-anggota” Persekutuan Malaysia? Bagaimana pula dengan golongan “bukan anggota” yang wujud di negara ini?

Dalam konteks ini, “anggota” merujuk kepada negeri-negeri yang membentuk Malaysia dan penduduk-penduduknya.

“Secara sahnya, sesebuah negara “dimiliki” oleh rakyatnya kerana mereka diberi kuasa untuk “menguruskan” negara dan menentukan masa depannya.

“Rakyat boleh membawa negara tersebut ke tahap ketamadunan yang lebih tinggi atau menjatuhkannya sehingga menjadi negara yang gagal,” kata Jahaberdeen.

Jelas beliau, rangka kerja asas tentang hak rakyat dan bagaimana negara perlu diuruskan sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan perkara ini disifatkan secara tepat oleh pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Emeritus Shad Saleem, sebagai “document of destiny”.

Cara kita menginterpretasi Perlembagaan dan sama ada kita “menghidupkan” peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan akan menentukan takdir sesebuah negara.

Perlembagaan adalah undang-undang yang tertinggi dalam negara dan ia merupakan satu ‘dokumen’ yang amat penting yang perlu diketahui dan difahami oleh semua rakyat.

“Adalah penting untuk mengetahui bahawa Perlembagaan tidak memperuntukkan hak “pemilikan” negara berdasarkan etnik atau agama.

“Dalam perkara ini, sebarang bentuk tuntutan pemilikan kepada negara dari segi agama atau etnik tidak disokong oleh realiti undang-undang,” ujar beliau.

Dalam erti kata yang mudah, Jahaberdeen menjelaskan bahawa Malaysia, secara sah, dimiliki oleh semua rakyat Malaysia, di mana mereka mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama rata untuk membangunkan negara dan hidup di dalamnya secara aman.

“Jangan bertindak seolah-olah negara ini hanya dimiliki oleh ahli-ahli politik yang memerintah. Sekarang, kita sepatutnya sudah mengambil pengajaran daripada perkara ini.

“Anda perlu melindungi negara sama seperti anda melindungi rumah atau harta anda mengikut undang-undang,” jelasnya.

Tegas beliau, pemilikan ke atas sesebuah negara akan diikuti dengan tanggungjawab yang sebenar, bukan slogan, retorik atau ucapan-ucapan politik semata-mata.

“Malangnya, walaupun sudah mencapai kemerdekaan lebih daripada 60 tahun, masih terdapat ramai rakyat yang tidak mengetahui perlembagaan.

“Saya percaya, ini sebahagian besarnya berpunca daripada sikap tidak peduli mereka dan juga kerana budaya yang tidak sihat dengan menjadikan ahli politik sebagai ‘guru’ mereka,” katanya.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close