Isu SemasaTempatan

Kenali Tengku Maimun, Ketua Hakim Negara Wanita Pertama Di Malaysia

Pada 2 Mei 2019,   Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama di Malaysia yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan. 

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang bersara pada 12 April lalu setelah beliau mencapai usia 66 tahun dan 6 bulan.

PENGALAMAN LUAS DALAM BIDANG UNDANG

Tengku Maimun yang kini berusia 59 tahun, berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan sudah berkecimpung dalam bidang perundangan selama 37 tahun.

Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM) pada tahun 1982.

Tengku Maimun memulakan kerjayanya sebagai seorang pegawai undang-undang di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) pada 17 Februari 1982, sebelum menjadi pegawai undang-undang Majlis Perbandaran Seremban kira-kira dua tahun kemudian pada 1 Mac 1984.

Pada 19 Mac 1986, beliau menjadi penolong penggubal undang-undang parlimen di Pejabat Peguam Negara yang ditugaskan untuk merangka undang-undang negara.

Kemudian, Tengku Maimun meneruskan kerjayanya sebagai:

– Magistret di Port Dickson (1 Oktober 1987)

– Peguam Persekutuan di Biro Bantuan Guaman, Kuala Terengganu (16 November 1989)

– Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur (1 Jun 1990)

– Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Seremban (16 Februari 1992)

– Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (1 Ogos 1993)

– Pegawai Khas Hakim Besar Malaya (1 Mac 1998)

– Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (15 Julai 1999)

– Hakim Mahkamah Sesyen dan Pegawai Khas Ketua Hakim (2001)

– Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (2004)

– Ketua Pendaftar (1 Julai 2005)

– Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (2 Oktober 2006)

– Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (5 September 2007)

– Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam (April 2011)

– Hakim Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya (8 Januari 2013)

– Hakim Mahkamah Persekutuan (26 November 2018)

Akhir sekali pada 2 Mei baru-baru ini, beliau diangkat sebagai Ketua Hakim Negara, sekali gus menjadi wanita pertama di Malaysia untuk memegang jawatan berkenaan.

SEORANG HAKIM YANG “ADIL”

Memandangkan beliau kini berusia 59 tahun, Tengku Maimun dilaporkan boleh berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara selama enam tahun lagi sehingga 2 Julai 2025, apabila mencapai usia persaraan 66 tahun.

Tetapi, beliau boleh melanjutkan perkhidmatan selama tempoh 6 bulan tambahan pada awal tahun 2026 sekiranya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pelantikan Tengku Maimun ini juga adalah pada waktu-waktu yang mencabar dalam badan kehakiman berikutan pelbagai kontroversi yang menyelubungi bidang itu, termasuk lanjutan perkhidmatan dua orang hakim terkemuka negara yang sudah melangkaui had usia 66 tahun dan 6 bulan.

Walau bagaimanapun, peguam-peguam menzahirkan keyakinan yang tinggi terhadap pelantikan beliau sebagai ketua hakim, sambil menyifatkannya sebagai seorang hakim yang adil dan mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang undang-undang.

Majlis Peguam Malaysia berkata, Tengku Maimun akan berpeluang untuk melaksanakan pembaharuan dalam badan kehakiman dan menghapuskan semua ‘negativiti masa lampau’, dan akan mengambil langkah-langkah sewajarnya demi menjadikan badan kehakiman sebagai satu badan yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia, serta menegakkan keadilan secara “adil dan saksama.”

Sumber: Malay Mail, Bharian

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button