AntarabangsaIsu Semasa

Jet Pejuang ‘Halimunan’ J-20 China Akan Mula Beroperasi Tahun Ini?

Ketua Tentera Udara Pasifik Amerika Syarikat (AS) Jeneral Charles Brown mendedahkan bahawa jet pejuang halimunan pertama China, Chengdu J-20  mungkin akan mula beroperasi pada tahun ini.

Menurut Brown, Beijing juga sedang membangunkan pesawat pengebom jarak jauh yang mampu membawa senjata nuklear.

Beliau berkata, permulaan operasi J-20 itu menandakan “ancaman dan keupayaan lebih tinggi” China di Pasifik.

Tegasnya, usaha-usaha AS untuk menangani ancaman tersebut termasuk mengerahkan lebih banyak pesawat tempur generasi kelima, F-35 miliknya dan terus meningkatkan penerbangan di kawasan-kawasan strategik seperti di Laut China Selatan.

“Pada pandangan saya, operasi China dilihat semakin meningkat. Mereka (China) akan terus melakukan apa sahaja untuk melihat jika ada orang lain berkata apa-apa atau mengambil sebarang tindakan.

“Jika anda tidak melawan, ia (operasi China) akan berterusan,” katanya.

Berdasarkan laporan Agensi Perisikan Pertahanan AS pada awal tahun ini, China mempunyai lebih daripada 2,500 pesawat termasuk 1,700 pesawat tempur, pengebom strategik, pengebom taktikal, dan pesawat taktikal  pelbagai misi serta jet penyerang.

J-20 merupakan sebahagian daripada usaha pemodenan China yang “menutup jurang di antara tentera udara negara tersebut dengan Barat dari segi keupayaan, seperti prestasi pesawat, perintah dan kawalan, serta peperangan elektronik,” tambah laporan itu.

Dalam pada itu, Jeneral Brown turut berpandangan bahawa China sedang membangunkan pesawat pengebom dwi-kegunaan sama seperti yang dimiliki oleh AS, dari segi keupayaan membawa senjata nuklear dan senjata bukan nuklear.

“Saya rasa mereka mampu melakukannya juga,” jelas beliau.

Sekiranya China “berjaya” membangunkan pesawat pengebom jarak jauh, Pemangku Setiausaha Pertahanan AS, Patric Shanahan dalam satu kenyataan berkata bahawa ia akan menjadikan China sebagai satu-satunya daripada tiga negara yang memiliki keupayaan nuklear di darat, laut dan udara.

Sementara itu, Jeneral Brown, secara ringkas, turut menyentuh isu penjualan jet pejuang F-16 baru kepada Taiwan yang berpotensi dilaksanakan.

Difahamkan, penasihat-penasihat Presiden AS Donald Trump telah meminta Taiwan untuk mengemukakan permohonan secara rasmi untuk membeli jet tersebut.

Permohonan tersebut kemudian perlu ditukar menjadi usul rasmi oleh Jabatan Pertahanan dan Jabatan Negara AS.

Selepas itu, Kongres mempunyai tempoh masa 30 hari untuk menentukan sama ada untuk meluluskan atau menyekat penjualan jet berkenaan.

“Keadaan dilihat menjadi semakin tegang di sana sejak kebelakangan ini, dan ia mungkin mendorong kepada permintaan Taiwan (untuk membeli jet pejuang F-16),” jelas beliau.

Walau bagaimanapun, penjualan F-16 kepada Taiwan dijangka akan membuatkan China berang.

China berpegang teguh kepada dasar ‘Satu China’ yang telah diwujudkan sejak tahun 1979.

Dasar ‘Satu China’ merupakan satu pengakuan diplomatik bahawa hanya terdapat satu sahaja kerajaan China di dunia ini, dan perkara itu turut diiktiraf oleh AS.

Dasar itu juga menganggap Hong Kong, Macau, dan Taiwan sebagai sebahagian daripada pentadbiran Tanah Besar China.

Difahamkan, AS tidak pernah menjual sebarang jet pejuang canggih kepada Taiwan sejak bekas Presiden, George H.W Bush mengumumkan penjualan 150 F-16 kepada Taiwan pada tahun 1992.

Pemerintahan Obama juga pernah menolak permohonan Taiwan yang berhasrat untuk membeli jet baru daripada AS.

Sumber: Bloomberg

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button