Isu SemasaTempatan

Pemerintahan PH Hampir Setahun – Apa Yang Baik Dan Apa Yang Buruk?

Dalam masa beberapa hari lagi, pemerintahan kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan mencapai tempoh setahun.

Walau bagaimanapun, populariti PH tidak lagi serancak setahun yang lalu ketika kemenangan bersejarah mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tinjauan terbaru pusat kaji selidik Merdeka Center mendapati bahawa sokongan terhadap Ph telah merudum secara drastik, daripada 79% pada 31 Mei tahun lepas, kepada 39% pada Mac 2019.

Prestasi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan merosot daripada 71% pada Ogos 2018 kepada 46% pada bulan lepas.

Difahamkan, tinjauan berkenaan membabitkan 1,204 orang pengundi berdaftar sebagai responden, untuk mendapatkan pandangan mereka tentang keadaan ekonomi negara, kepimpinan, dan isu-isu semasa.

Dalam pada itu, tahap kepuasan orang ramai terhadap ekonomi di bawah pentadbiran PH juga menyaksikan penurunan daripada 60% kepada 40%, di mana kebanyakan pengundi tidak berpuas hati dengan peningkatan kos sara hidup pada masa ini.

Majoriti responden juga membantah beberapa dasar yang diperkenalkan oleh PH termasuk pemansuhan hukuman mati dan cukai soda, antaranya.

Hanya 34% responden sahaja yang berpandangan bahawa negara kini berada di landasan yang betul.

Berdasarkan tinjauan itu, kebimbangan utama rakyat Malaysia (63%) adalah tentang ekonomi, diikuti isu-isu berkaitan kaum.

Walau bagaimanapun, kerajaan baru dilihat mempamerkan prestasi yang baik dari aspek memerangi gejala rasuah, memandangkan kebimbangan terhadap perkara tersebut telah menurun kepada 23% daripada 33%.

Tetapi sementara itu, 67% responden bersetuju bahawa kerajaan perlu diberi masa yang lebih banyak untuk menunaikan segala janji pilihan rayanya.

Menurut perunding media, M. Veera Pandiyan menerusi artikelnya di akhbar The Star bertajuk “Plunge in popularity”, tidak dinafikan bahawa masih terdapat pelbagai perkara yang perlu ditangani oleh kerajaan tekos sara hidup, memenuhi keperluan perumahan, dan menyediakan penjagaan kesihatan yang mampan.

Namun pada masa yang sama, PH telah memenuhi hampir 1/3 daripada semua janji-janjinya, memberbaiki kedudukan kewangan negara, dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menangani rasuah dalam perkhidmatan awam.

Kebebasan media juga dilaporkan telah meningkat sejak PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media telah merekodkan prestasi yang semakin baik daripada 145 pada tahun lepas kepada 123 untuk tahun 2019.

Malaysia mendahului negara-negara lain di Asia Tenggara – Indonesia (124), Filipina (134), Thailand (136), Myanmar (138), Kemboja (143), Singapura (151), Brunei (152), Laos (171), dan Vietnam (176).

Namun begitu, PH dilihat masih lemah dari segi menyampaikan mesej tentang perkembangan semasa kepada rakyat tidak kira menerusi percetakan, atas talian, dan media sosial.

Ia juga merekodkan prestasi yang teruk dalam menangani/memberi maklum balas terhadap reaksi negatif atau berita yang berkaitan dengan sentimen kaum atau agama, seperti dalam kes pengratifikasian Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Statut Rom, dan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman.

Berhubung isu perjanjian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pula, pihak media gagal memberi penjelasan yang sepatutnya, dan sebaliknya menyerahkan ‘tugas’ itu kepada duta khas Dr Mahathir ke China, Tun Daim Zainuddin untuk memberikan maklum balas.

Pasukan komunikasi yang tidak efektif dan kelemahan penyelarasan media dalam pelbagai kementerian adalah antara sebab mengapa PH semakin hilang kawalan terhadap naratifnya dalam prestasi dan perkhidmatan pentadbirannya.

Justeru, PH memerlukan pakar dan strategi media yang lebih jelas untuk memulihkan semula kredibiliti politik dan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap mereka, lebih-lebih lagi kepada pengundi yang menaruh harapan tinggi ke atas era pentadbiran “Malaysia Baru”.

PH perlu mengambil pendekatan untuk memastikan mereka semua berada pada landasan yang sama dari segi penyampaian maklumat, dan juga harus memanfaatkan media sosial dengan sebaik mungkin untuk berhubung secara langsung dengan rakyat.

Harapan rakyat semakin tinggi, namun kesabaran mereka semakin menipis. Oleh itu, PH mempunyai masa yang suntuk untuk memulihkan popularitinya dan memperbaiki kemahiran perhubungan awamnya.

 

Sumber Rujukan: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button