AntarabangsaIsu Semasa

Militan IS Rancang Serang Sri Lanka Kali Kedua Sebelum Ramadhan?

Walaupun militan IS mengaku melancarkan serangan bom ketika sambutan Easter di Sri Lanka, Presiden Maithripala Sirisena mendedahkan bahawa ia mungkin didalangi oleh warga asing.

Katanya kepada Sky News, miitan IS mungkin sudah melancarkan “strategi baru” dengan menyasarkan negara-negara kecil.

Menurut sumber, polis dan pasukan keselamatan lain di Sri Lanka dilaporkan kini berada dalam keadaan bersiap siaga kerana terdapat kemungkinan besar militan tersebut akan melancarkan serangan sekali lagi, sebelum kedatangan bulan Ramadhan yang akan bermula pada Isnin depan (6 Mei 2019).

Sirisena berkata, pihak berkuasa juga menyedari kewujudan “sekumpulan kecil” warga Sri Lanka yang telah pergi ke luar negara menjalani latihan bersama IS sejak 10 tahun lalu.

Hasil siasatan turut mendapati bahawa bom yang digunakan dalam serangan Easter itu dibuat di dalam negara.

Serangan bom tersebut menyasarkan beberapa hotel dan gereja, dan sekurang-kurangnya 250 nyawa telah terkorban termasuk 40 orang warga asing.

Pada Isnin baru-baru ini, rangkaian media IS menerbitkan sebuah video yang menampilkan seorang individu yang dipercayai adalah ketua IS, Abu Bakr al-Baghdadi.

Dalam video berkenaan, dia berkata bahawa serangan di Sri Lanka merupakan “tindak balas” kumpulan itu selepas kehilangan kubu kuat mereka di Baghouz, Syria.

Ketika temubual bersama Sky News, Sirisena memberi amaran tegas kepada IS:

“Jangan ganggu negara saya.”

Sementara itu, pihak berkuasa Sri Lanka mempercayai bahawa penyerang-penyerang yang terlibat mempunyai kaitan antarabangsa, walaupun perkara itu masih tidak jelas.

Biro Penyiasatan Amerika Syarikat (FBI), polis antarabangsa (Interpol) serta agensi-agensi keselamatan luar yang lain dilaporkan membantu Sri Lanka dalam menjalankan siasatan.

Pegawai-pegawai perisikan tempatan turut mempercayai bahawa Zahran Hashim, seorang pendakwah berbahasa Tamil dari negara itu mungkin menjadi salah seorang individu utama yang merancang plot pengeboman berkenaan.

Menurut pihak berkuasa, Zahran mungkin adalah dalang utama daripada sembilan pengebom berani mati yang melakukan serangan.

Penyerang-penyerang lain yang telah dikenal pasti termasuk Mohammed Azam Mohammed Mubarak, Inshaf Ibrahim, Ilham Ahmed Mohamed Ibrahim. dan Mohamed Nazar Mohamed Azad.

Latar belakang mereka tidak berapa diketahui, tetapi mereka dikatakan menyertai kumpulan ekstremis tempatan yang diinspirasikan oleh IS.

Sumber: Sky News, Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker