AntarabangsaIsu Semasa

Selepas Tewas Di Iraq Dan Syria, Militan IS “Teruskan Perjuangan” Di Afghanistan

Selepas ditewaskan di Iraq dan Syria, militan IS dilaporkan berpindah ke Afghanistan demi meneruskan perjuangan mereka sambil merancang untuk melancarkan serangan ke atas Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu dinyatakan oleh seorang pegawai kanan perisikan AS yang enggan identitinya didedahkan atas faktor keselamatan.

“Kita tahu bahawa sesetengah daripada mereka sudah dalam perjalanan ke sini (Afghanistan) dan sedang cuba untuk menurunkan ilmu, kemahiran, dan pengalaman mereka ketika berada di sana (Iraq dan Syria).

“Jika kita tidak meneruskan tekanan anti-keganasan ke atas mereka, akan berlaku serangan di tanah air kami – serangan yang hebat – mungkin dalam tahun ini,” katanya.

Pegawai perisikan itu tidak menyatakan secara terperinci jenis serangan yang mungkin akan dilancarkan, tetapi IS sebelum ini telah dikaitkan dengan beberapa serangan besar-besaran di Amerika, termasuk insiden tembakan rambang di sebuah kelab malam di Orlando, Florida pada tahun 2016.

Tragedi tersebut mengorbankan 49 nyawa, dan penyerang dikatakan telah bersumpah taat setia dengan IS.

Menurut laporan terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), IS mempunyai di antara 2,500 sehingga 4,000 anggota di Afghanistan.

Senator AS, Jack Reed menyatakan bahawa IS yang bertapak di Khorasan, yang dikenali sebagai “IS-K” semakin meningkat dari segi jumlah anggota dan juga keupayaan mereka.

Sementara itu, pegawai-pegawai serta pasukan pakar telah tiba di Kabul, Afghanistan sejak tahun lepas untuk membantu Jeneral Scott Miller untuk. menangani IS-K.

Difahamkan, terdapat juga rakyat dari beberapa buah negara Eropah yang telah menyertai IS-K termasuk Britain dan Perancis.

Tambah pegawai perisikan itu lagi, kehadiran IS di Afghanistan boleh merumitkan lagi sebarang bentuk perjanjian damai yang bersama Taliban, yang sedang diusahakan oleh AS.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button