Isu SemasaTempatan

Akses Pendidikan Berkualiti Yang Lebih Luas Untuk Golongan B40

Pendidikan dan sebarang perkara yang berkaitan dengannya boleh menubuhkan atau memusnahkan sesebuah kerajaan, lebih-lebih lagi jika kerajaan tersebut masih lagi baru.

Justeru, kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu berusaha keras dalam mengotakan janji-janji mereka untuk memastikan semua orang mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Setakat ini, Kementerian Pendidikan mempercayai bahawa ia telah berjaya meningkatkan akses dan kebolehmasukan mereka yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) terhadap pendidikan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya mahu meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi golongan ini kerana mereka tidak mendapat peluang yang sama seperti kanak-kanak yang daripada keluarga yang lebih senang.

“Kami percaya bahawa pendidikan akan membolehkan kanak-kanak ini mengeluarkan keluarga mereka daripada kitaran kemiskinan.

“Bermula sesi tahun ini, kami telah memperuntukkan 60% penempatan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk golongan B40 yang membabitkan 4,888 orang pelajar,” katanya dalam satu temubual sempena setahun pertama pentadbiran PH.

Jelas Maszlee, kementeriannya turut menyediakan pelbagai inisiatif lain untuk B40 termasuk laluan kemasukan khas ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi 23,895 pelajar selain daripada memperuntukkan 60% daripada 25,000 slot matrikulasi.

Dalam pada itu, kira-kira RM68.1 juta dalam bentuk biasiswa dan bantuan kewangan telah diberikan kepada 17,000 pelajar dalam golongan berkenaan.

“Kita juga mempunyai “dasar sifar penolakan” bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas dalam semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan sejak Januari.

“Pelajar berkeperluan khas juga diberi laluan khas ke IPTA,” ujar beliau.

Selain itu, Maszlee menyatakan bahawa kanak-kanak tanpa kerakyatan turut dibenarkan untuk berdaftar di sekolah dan sehingga kini, terdapat lebih daripada 2,600 kanak-kanak itu telah memasuki sekolah.

Dalam usaha menjadikan pendidikan lebih berpusatkan pelajar, Kementerian Pendidikan juga telah memansuhkan peperiksaan pertengahan dan akhir tahun bagi murid-murid Tahun Satu, Dua, dan Tiga.

Ia sebaliknya digantikan dengan sistem penilaian yang lebih holistik yang membolehkan guru-guru menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam usaha mencungkil bakat-bakat pelajar.

“Kaedah baru ini melibatkan lebih daripada 450,000 pelajar dan laporan penilaian akan dikeluarkan pada bulan Jun,” ujar Maszlee.

 

Sumber: The Star

Show More

Related Articles

Back to top button