Isu SemasaTempatan

Agenda Pembaharuan Mengembalikan “Maruah” Parlimen

Proses pembaharuan Dewan Rakyat yang dilaksanakan dengan cepat sejak permulaan persidangan Parlimen ke-14 telah menyebabkan pihak-pihak tertentu “takut” jika dewan yang mulia itu menjadi terlalu berkuasa.

Justeru, Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menyatakan bahawa agenda pembaharuan kadang kala perlu diperlahankan bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen (MP) untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan memahami peranan baru mereka.

“Masih ada keraguan bahawa mungkin Parlimen menjadi terlalu kuat,” katanya dalam satu temubual bersama The Star pada minggu lepas.

Menurut Mohamad Ariff, kebimbangan ini datang daripada kalangan eksekutif dan orang awam, sambil menjelaskan bahawa matlamat sebenar agenda pembaharuan tersebut bukan untuk menjadikan Parlimen terlalu berkuasa, tetapi untuk mengembalikan maruah dewan berkenaan.

“Ideanya adalah untuk menjadikannya institusi kerajaan yang utama dengan fungsi-fungsi pengawasan, bersedia untuk memberi legitimasi kepada eksekutif.

“Apabila kita merasakan kita bergerak terlalu laju, maka kita perlu mengubah sedikit ‘gear’ kita dan memastikan orang lain memahami dengan lebih mendalam tentang apa yang sedang kita lakukan,” ujarnya.

Sejak dilantik menjadi Speaker pada Julai 2018, Mohamad Ariff telah memperkenalkan beberapa pembaharuan yang selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) dan penanda aras yang ditetapkan oleh Persatuan Parlimen Komanwel.

Antara pembaharuan yang telah dilakukan termasuk:

1. Memperkenalkan enam jawatankuasa pilihan khas

2. Memastikan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah daripada pihak pembangkang

3. Penglibatan dengan masyarakat sivil

4. Melancarkan beberapa siri syarahan untuk memartabatkan Agenda Reformasi Parlimen Malaysia sebagai institusi badan perundangan yang terbuka dalam amalan sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

Terdapat juga rancangan untuk mewujudkan sebanyak 11 sehingga 15 jawatankuasa pilihan khusus untuk alam sekitar dan perubahan iklim, perdagangan antarabangsa dan hal ehwal luar negara, serta hak asasi manusia dan hal ehwal perlembagaan.

Namun tegas Mohamad Ariff, pembaharuan tidak dapat dilaksanakan jika masih terdapat “tingkah laku yang bercanggah dengan parlimen” termasuk memaki hamun, ejek-mengejek, dan membawa isu-isu ceramah sebahagian daripada perbahasan.

“Anda adalah wakil rakyat, anda harus berjuang untuk rakyat, anda mewakili pandangan dan mencerminkan permintaan rakyat,” tegasnya.

Tambah beliau, perdebatan/perbahasan dalam Parlimen sepatutnya berlandaskan fakta, angka, statistik, penghujahan secara logik dan intelek.

Dalam pada itu, Mohamad Ariff berkata bahawa kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang) mempunyai sesetengah MP yang berkelakuan tidak sopan, sambil menyifatkan perkara ini sebagai “masalah minoriti”.

“Kita mempunyai menteri-menteri yang menyampaikan hujah mereka dengan baik, MP yang bagus daripada pembangkang yang berpengalaman sebagai bekas menteri.

“Sekiranya semua orang berkelakuan baik seperti ini, kita akan bergerak dengan pantas untuk meraih penanda aras antarabangsa sebagai Parlimen yang baik dan bertanggungjawab,” jelasnya.

Oleh yang demikian, beliau berhasrat untuk memupuk budaya parlimen baru dan pemikiran yang betul untuk mencapai status “parlimen moden” memandangkan tahun ini adalah ulang tahun ke-60 dewan berkenaan.

Antara agenda utama pada tahun ini adalah untuk memperkenalkan semula  Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, yang akan menjadikan parlimen bebas dan lebih efisyen.

“Sekarang ini, kami tidak mempunyai kawalan ke atas kakitangan, tiada arahan secara langsung terhadap dana kami.

“Kita dilihat lebih sebagai sebuah jabatan kerajaan, saya tidak mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang akan dilantik menjadi ketua pentadbir, sebagai contoh.

“Kita mahu sebuah sistem di mana Parlimen wujud sebagai entiti yang bebas,” katanya.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close