AntarabangsaIsu Semasa

PEMILU 2019 Jadi “Mimpi Ngeri” Buat Calon Yang Tewas

Yayat Abdurahman merupakan salah seorang daripada 245,000 calon yang bertanding dalam Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) 2019 baru-baru ini untuk merebut 20,000 kerusi di seluruh negara.

Namun, kiraan undi menunjukkan bahawa beliau ketinggalan, sekali gus menjadikan impiannya untuk menang semakin pudar.

Justeru, Yayat yang tertekan pergi ke sebuah pusat rawatan Islam, di mana ustaz di pusat itu mendoakan masa depannya dan beliau juga menjalani rawatan mandi bunga sebagai sebahagian daripada upacara pembersihan tradisional.

“Pada mulanya, saya optimis dan merasa yakin. Saya rasa saya perlu menang, saya harus mendapatkan undian yang paling banyak.

“Tetapi, saya kini rasa lebih ragu-ragu,” katanya.

Sekiranya keputusan akhir yang akan diterbitkan pada bulan depan menunjukkan kekalahan Yayat, beliau tidak berseorangan.

Lebih daripada 200,000 calon akan mengalami nasib yang sama, sekali gus menyebabkan mereka menjadi ‘penganggur’ dan terperangkap dalam hutang kempen yang besar.

“Mereka tertekan, mereka tidak boleh tidur. Mereka sudah kekurangan wang dan tidak tahu bagaimana untuk melangsaikan hutang mereka,” kata Ujang Busthomi, ketua pusat rawatan Islam di bandar Cirebon, Jawat Timur.

Selain daripada Yayat, terdapat juga beberapa calon lain yang mendapatkan ‘rawatan pasca-pilihan raya’ di sana akibat tertekan.

Selain daripada pusat rawatan tradisional, hospital-hospital di seluruh negara juga bersiap sedia untuk menerima pesakit-pesakit pasca-pilihan raya yang mahu mendapatkan rawatan akibat tertekan, kemurungan, serta penyakit-penyakit lain.

Salah satunya adalah hospital psikiatri di Makassar di pulau Sulawesi yang telah membuat renovasi untuk menerima lebih ramai calon-calon politik yang tertekan.

“Dalam pilihan raya perundangan yang lepas, terdapat calon yang dimasukkan ke dalam hospital kerana mereka mengalami gangguan psikiatri atau kemurungan kerana mereka gagal menang.

“Setiap kali pilihan raya, sesetengah calon akan dimasukkan ke dalam hospital,” kata pengarah hospital Dadi, Arman Bausat.

Difahamkan, kebanyakan calon tidak mendapat bantuan kewangan daripada parti-parti mereka dan terpaksa menggunakan wang sendiri untuk bertanding.

Sebagai contoh, seorang calon bernama Rasmi Sikati memutuskan untuk membatalkan pencalonannya pada tahun ini selepas mengingati semula kekalahannya dalam pilihan raya 2014.

Beliau telah menghabiskan wang, masa dan tenaga yang banyak, namun tewas dalam pilihan raya berkenaan.

“Jumlah wang yang saya belanjakan bukan kecil – ia bernilai berjuta-juta rupiah.

“Tetapi, itu tidak boleh dibandingkan dengan harga diri saya. Saya malu dan sakit. Ia adalah beban psikologi yang paling berat sekali,” katanya.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button