Hiburan

Ini Rupanya Sebab Syed Saddiq Mahu Bawa BTS Ke Malaysia

Malaysia perlu menjadi destinasi utama dalam penganjuran persidangan peringkat antarabangsa termasuk konsert yang dapat menarik kehadiran puluhan ribu pelancong asing ke negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Malaysia juga mempunyai fasiliti antara yang terbaik di Asia dan perlu dimanfaatkan bagi meraih dana sehingga puluhan juta ringgit.

“Tidak serik ke kita asyik tewas kepada Singapura, Thailand dan sekarang ini juga di tangan Indonesia dan Vietnam. Saya nak ubah aliran ini. Dahulu, Malaysia sentiasa dipilih sebagai destinasi utama bagi persidangan dan konsert antarabangsa yang menarik banyak pelancong luar.

“Lihat sahaja di Singapura, apabila kumpulan Coldplay dan BTS memilih negara itu sebagai destinasi pilihan, Stadium Nasional mereka penuh dan tiket habis terjual kurang daripada empat jam. Berpuluh ribu pelancong luar datang ke Singapura dan Singapura juga yang dapat kesan berganda dalam pelancongan. Semua mata tertumpu kepada Singapura, bukan Malaysia,” katanya.

Beberapa pihak sebelum ini termasuk yang terbaharu Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengkritik tindakan Kementerian Belia dan Sukan mahu membawa masuk kumpulan K-Pop berpengaruh Korea Selatan iaitu BTS sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Mereka berpandangan kerajaan sepatutnya memberi peluang dan tumpuan terhadap penggiat industri kreatif tempatan untuk menjana pendapatan berbanding membawa masuk artis dari luar negara.

Sementara itu, jelas Syed Saddiq, fasiliti yang ada pada Malaysia seperti Stadium Nasional Bukit Jalil dan Axiata Arena perlu dimanfaatkan bagi meraih dana termasuk bagi tujuan penyelenggaraan aset-aset tersebut.

“Perbadanan Stadium Malaysia kini dikendalikan oleh golongan professional, bukan sahaja lantikan politik. Dahulu, kita rugi dalam RM20 juta setahun walaupun fasiliti kita di antara yang terbaik di Asia.

“Kini, selepas rundingan kontrak-kontrak berat sebelah dan setelah saya melantik ahli lembaga pengarah yang baharu, kita akhirnya di landasan untuk menjana keuntungan yang pertama,” ujarnya.

Tambahnya, lihat sahaja bagaimana Stadium Wembley dikendalikan, bukan sahaja untuk tujuan bola sepak, tetapi sebagai ruang ikonik yang disewa dan diguna pakai oleh semua.

“Baru-baru ini, kita berjaya membawa Ed Sheeran untuk membuat persembahan di Stadium Bukit Jalil, penuh stadium, orang Singapura dan Indonesia pun turun ke Malaysia. Stadium dan peralatan disewa dan peniaga peniaga kecil juga dapat nikmatnya, sama juga semasa Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat persembahan di Axiata Arena, penuh dan ramai yang dapat nikmatnya,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Muar itu lagi, tindakan menjemput artis luar negara bukanlah bermaksud kerajaan tidak menghargai artis-artis tempatan.

“Di Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun dan Indonesia pun mereka jemput artis luar untuk datang, adakah ia bermaksud mereka tidak menghargai artis tempatan mereka? Kita mesti berani berfikir di luar kotak.

“Saya tidak mahu Malaysia untuk jadi destinasi pilihan kedua dan ketiga. Saya mahu Malaysia menjadi nombor satu,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker