Gaya HidupKesihatan

Bukan Sakit Perut Biasa Jika Rasa Sakit Dan Sering Lapar

Gaya hidup seperti merokok, pengambilan minuman beralkohol dan genetik keluarga serta pengambilan ubat tanpa rujukan doktor, antara penyebab ramai anak muda mudah diserang penyakit Ulser Peptik.

70 peratus penyebab utama Ulser peptik ialah akibat bakteria Helicobacter Pylori (H.pylori) yang boleh disebarkan daripada manusia ke manusia dengan makanan yang telah tercemar.

“Semua mengetahui perut kita sentiasa mengeluarkan asid bagi menghadamkan apa jua makanan yang dimakan. Walaupun di dalam keadaan berpuasa, perut tetap mengeluarkan asid.

“Bagi mereka yang makan makanan terdedah terlalu lama berpotensi besar mengidap Ulser peptik di perut kerana dikhuatiri makanan berkenaan dijangkiti H.pylori.

“Apabila bakteria ini memasuki saluran pencernaan, ia mempunyai kecenderungan untuk menyerang lapisan perut, sekali gus meningkatkan tahap keasidannya.

“Kehadiran asid yang berlebihan dari normal ini kemudian boleh menyebabkan sakit perut atau keradangan yang dikenali sebagai gastritis (gastrik). Jika tidak dirawat segera, lama kelamaan ia boleh menyebabkan ulser dan menjadi penyebab kanser perut jika keadaan sudah menjadi kronik, ” katanya kepada BH.

 

Tanda-tanda awal pesakit Ulser peptik

Tanda-tanda awal pesakit Ulser peptik ialah pesakit akan merasa ketidakselesaan bahagian perut, berasa sakit ulu hati, loya dan muntah-muntah, hilang selera makan serta kehilangan berat badan. Jika kritikal akan menyebabkan hemetemesis (muntah darah) dan malena (berak berdarah).

 

Sering Melanda Wanita Muda & Pertengahan Tahun

Kebanyakan mereka yang mempunyai ulser gastrik adalah wanita muda dan pertengahan usia akibat dari tekanan bekerja serta faktor pengambilan makanan yang tidak mengikut masa. Kesakitannya berulang-ulang, berlaku selepas pengambilan makanan akibat peningkatan penghasilan jus asid di dalam perut.

Ulser peptik ini juga boleh terjadi di usus kecil yang dikenali sebagai ulser duodenum.

Ulser duodenum berlaku pada mereka berusia lingkungan 30-40 tahun dan lebih dominan di kalangan lelaki berbanding wanita. Faktor risiko untuk ulser duodenum adalah sama seperti ulser gastrik. Namun begitu, kesakitan lebih dirasai dua atau tiga jam selepas makan dan sering di tengah malam.

 

Pesakit Sering Lapar

Mereka yang mengidap penyakit ini akan sering lapar dan cara paling mudah bagi pakar bedah mengesan penyakit ulser peptik akibat dari jangkitan H. pylori, adalah dengan menguji H.pylori dengan ujian non-invasif iaitu menggunakan serum darah untuk mengesan kehadiran antibodi (imunoglobin G) terhadap kuman tersebut.

Begitu juga dengan mengadakan ujian pernafasan urea bagi mengesan urea yang dihasilkan oleh H. pylori di dalam udara pernafasan pesakit.

Namun begitu cara terbaik untuk mengesan kewujudan jangkitan H. pylori adalah dengan melakukan prosedur endoskopi iaitu dgn memasukkan kamera fiberoptik ke dalam perut pesakit dan melihat sendiri secara langsung kehadiran ulser dan mengambil tisu biopsi.

Kebanyakan pesakit mempuyai najis yang berwarna hitam atau gelap daripada kebiasaannya kerana terdapat luka pendarahan di dalam perut.

Untuk mengubati penyakit ini, pesakit dinasihatkan menjalani rawatan berterusan.

 

*Ini merupakan sedikit informasi dari rencana temuramah yang oleh Berita Harian bersama Dr Khairul Izan Md Ghani. Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi Dr. Khairul Izan Md Ghani di laman Facebooknya, Get Well By Doc K. 

** Dr Khairul Izan Md Ghani merupakan Pakar Bedah yang berpengalaman dalam bidang perubatan lebih daripada 13 tahun dan menjadi Pakar Bedah untuk lebih daripada 10 tahun. Beliau yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Hospital Ampang dan Pusat Perubatan UKM ini juga merupakan mantan pensyarah perubatan, penulis dan konsultant di beberapa institusi di Kuala Lumpur. Pengalaman yang luas ini juga menyebabkan beliau sering dijemput untuk memberi ucaptama dalam seminar dan acara di dalam dan luar negara.
Kini beliau berkhidmat di Hospital Colombia Asia Petaling Jaya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker