AntarabangsaIsu Semasa

NZ Dan Perancis Akan “Menyatukan” Dunia Untuk Hapuskan Keganasan Atas Talian

Berikutan insiden serangan pengganas ke atas dua buah masjid di Badar Christchurch, pada bulan lepas, kerajaan New Zealand akan bekerjasama dengan Perancis untuk menghimpunkan negara serta syarikat teknologi di seluruh dunia dalam usaha menghalang media sosial daripada digunakan sebagai platform untuk mempromosikan terorisme dan ekstremisme ganas.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata, beliau akan bersama-sama mempengerusikan mesyuarat dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada 15 Mei tidak lama lagi bagi mengumpulkan pemimpin dunia dan ketua pegawai eksekutif syarikat teknologi untuk menyetujui sebuah ikrar, bernama “Christchurch Call”, demi menghapuskan kandungan-kandungan keganasan di atas talian.

“Ia adalah penting supaya platform-platform teknologi seperti Facebook tidak digunakan sebagai peralatan keganasan, dan sebaliknya menjadi sebahagian daripada penyelesaian global untuk memerangi ekstremisme.

“Pertemuan ini adalah peluang untuk menyatukan kerajaan dan syarikat teknologi (di seluruh dunia),” kata Ardern dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tragedi 15 Mac 2019 di Christchurch menyaksikan seorang pengganas warga Australia yang dikenali sebagai Brenton Tarrant, 28, melepaskan tembakan rambang di dua buah masjid ketika solat Jumaat.

Serangan yang mengorbankan 50 orang mangsa itu turut disiarkan secara ‘live’ oleh pengganas berkenaan.

Difahamkan, Ardern telah berhubung dengan eksekutif-eksekutif beberapa syarikat teknologi termasuk Facebook, Twitter, Microsoft, dan Google.

“Saya telah menerima respon yang positif. Tiada syarikat teknologi, sama seperti kerajaan, yang mahu melihat ekstremisme dan terorisme ganas di atas talian,” ujar beliau.

Susulan itu, seorang jurucakap Facebook berkata bahawa syarikat itu bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan, industri, serta pakar-pakar keselamatan mengenai rangka kerja peraturan yang jelas.

“Kita sedang menilai bagaimana kita boleh menyokong usaha ini dan siapa dalam kalangan eksekutif Facebook yang akan menghadiri (pertemuan itu),” kata jurucakap tersebut dalam satu kenyataan menerusi e-mel.

Dalam pada itu, Ardern berkata bahawa platform media sosial boleh menghubungkan orang ramai dalam pelbagai cara yang positif, dan ini perlu diteruskan.

“Namun buat masa yang terlalu lama, ia juga tidak mustahil untuk menggunakan platform ini bagi mencetuskan keganasan ekstremisme, dan menyebarkan imej-imej keganasan itu, seperti yang berlaku di Christchurch.

“Perkara ini perlu diubah,” tegasnya.

 

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker