Isu SemasaTempatan

Apa Yang Akan PH Lakukan Untuk “Memikat” Semula Hati Golongan Muda?

Sokongan pengundi muda merupakan antara faktor utama yang membawa kepada kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Namun kini hampir memasuki setahun memerintah negara, sokongan golongan muda terhadap PH dilihat semakin berkurangan.

Berdasarkan kajian firma penyelidikan pasaran, Kajidata Research Sdn Bhd, kehilangan sokongan terbesar adalah daripada belia berusia dalam lingkungan 20 sehingga 29 tahun.

Menurut Kajidata, kebanyakan belia kecewa dengan pengurusan ekonomi negara di bawah pentadbiran kerajaan baru pimpinan PH.

Selain daripada itu, salah satu perkara utama yang mencetuskan ketidakpuasan hati mereka adalah ‘U-Turn’ yang dilakukan oleh PH dalam isu penangguhan pembayaran semula hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Ia adalah penting untuk Pakatan Harapan memahami secara terperinci mengapa belia sudah berpaling tadah daripadanya dan apa yang boleh dilakukan untuk memenangi (hati) mereka semula,” ujar Kajidata.

 

“BELIA TIDAK TAKSUB DENGAN PARTI POLITIK”

Situasi yang menyaksikan kemerosotan sokongan daripada anak muda turut diakui sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, ia adalah satu perkara yang sukar bagi kerajaan dalam menarik semula sokongan generasi muda.

“Belia Malaysia tidak taksub dengan parti-parti politik. Apa yang mereka mahu adalah sebuah kerajaan yang berusaha keras untuk mereka.

“Mereka mahu kualiti hidup mereka bertambah baik dan jika kerajaan gagal dalam perkara ini, mereka tidak akan menyokong kerajaan.

“Ia (kemerosotan sokongan) adalah satu perkara yang kami sedari, dan kami mengambil serius perkara ini. Terdapat banyak lagi yang perlu dilakukan untuk belia,” katanya.

 

WUJUDKAN 1 JUTA PEKERJAAN DALAM 10 TAHUN

Jadi, apa yang akan dilakukan oleh PH untuk memikat semula hati mereka yang semakin cenderung untuk berpaling tadah?

Jelas Menteri termuda dalam sejarah Malaysia itu, kementeriannya telah memperkenalkan pelbagai inisiatif berpusatkan belia yang bertujuan untuk menunjukkan kepada mereka bahawa generasi muda menjadi sebahagian besar dalam pembangunan negara.

Antaranya adalah penubuhan jawatan kuasa yang dipimpin sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk mewujudkan satu juta pekerjaan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Kita menyasarkan untuk mewujudkan sejuta pekerjaan dalam tempoh sedekad (10 tahun), bermakna 100,000 pekerjaan baru dalam setahun.

“Jawatankuasa ini juga akan membabitkan sektor korporat. Adalah amat penting untuk melibatkan semua pemegang taruh (stakeholder) supaya kita boleh mendapatkan lebih banyak input bagi menyelesaikan isu-isu seperti gaji statik,” ujarnya.

Dalam pada itu, antara agenda lain kerajaan adalah untuk meningkatkan kualiti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Syed Saddiq berkata, terdapat 22 buah Institut Kemahrian Belia Negara (IKBN) di bawah kementeriannya.

“Pada masa ini, kadar pengambilan bekerja bagi graduan-graduan IKBN adalah 94% dan kami berharap untuk meningkatkannya kepada 96%,” ujar beliau.

 

PELANTIKAN INDIVIDU MUDA DALAM JAWATAN TINGGI

Sebagai anggota Kabinet (Jemaah Menteri) yang paling muda, Syed Saddiq merasakan bahawa ia adalah tugasnya untuk menunjukkan bahawa belia lebih daripada mampu untuk mentadbir kerajaan.

Dalam KBS sendiri, banyak pelantikan baru dalam jawatan-jawatan tinggi adalah individu-individu muda dan berbakat.

“Sebagai contoh, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru Institut Sukan Negara (NSI), adalah seorang individu berusia 41 tahun daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Selepas pelantikannya, terdapat pelbagai idea baru menarik yang dibawa ke dalam NSI,” katanya.

Tambah Syed Saddiq, pelumba muda, Jazeman Jaafar juga dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Litar Antarabangsa Sepang dan terdapat pelantikan-pelantikan lain dalam NSI yang membabitkan orang muda.

 

TURUNKAN USIA LAYAK MENGUNDI

Selain itu, beliau juga akan memastikan cadangan menurunkan usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, memandangkan Kabinet sudah bersetuju untuk pindaan undang-undang tersebut dibahaskan di persidangan Parlimen seterusnya pada bulan Jun ini.

“Saya akan bertemu dengan MP (Ahli Parlimen) pembangkang dan meyakinkan mereka untuk menyokong langkah ini.

“Setakat ini, sayap-sayap pemuda kebanyakan parti, daripada Pakatan dan pembangkang, dan lain-lain sudah bersetuju dengannya.

“Apabila usia layak mengundi diturunkan, landskap politik akan berubah dan parti-parti politik tidak akan boleh mengabaikan belia,” ujarnya.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button