Isu SemasaTempatan

Dilema Menyelamatkan Tebusan Dari ‘Genggaman’ Militan

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sering disajikan dengan berita-berita tentang kegiatan penculikan untuk wang tebusan atau ‘kidnap for ransom’ (KFR) yang dilakukan oleh kumpulan penjenayah dan militan di Pantai Timur Sabah.

Penculik juga selalunya akan meletakkan ‘harga’ yang tinggi sebagai syarat untuk membebaskan tebusan-tebusan yang berada dalam genggaman mereka.

Sebagai contoh, kumpulan militan Abu Sayyaf pernah menuntut wang tunai bernilai RM30 juta bagi pembebasan dua rakyat Malaysia yang diculik dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada 14 Mei 2015.

Tetapi, nilai RM30 juta itu juga adalah ‘harga diskaun’ selepas beberapa siri rundingan di antara penculik dan pihak berkuasa, di mana mereka pada asalnya menuntut RM60 juta.

Nilai puluhan juta ringgit yang diletakkan itu ternyata tidak masuk akal, malah kebanyakan orang, termasuk keluarga mangsa, juga tidak mampu untuk membayar wang yang begitu banyak.

Ini baru satu kes. Cuba bayangkan, kalau setiap kegiatan penculikan menyaksikan tuntutan wang berjuta-juta ringgit, dan jika wang tebusan pula dibayar, pasti penjenayah tersebut akan melakukannya dengan lebih kerap dan menjadikan kegiatan ini sebagai satu ‘perniagaan.’

Namun jika tidak membayarnya pula, ia meletakkan tebusan dalam risiko tinggi kerana penculik boleh melakukan apa sahaja kepada mangsa untuk mengugut keluarga mereka dan pihak berkuasa, termasuk seksa dan bunuh.

Salah satu kes yang menyaksikan pembunuhan tebusan berlaku pada tahun 2017, membabitkan seorang tebusan warga Jerman bernama Juergen Gustav Kantner yang diculik oleh Abu Sayyaf di perairan Filipina.

Menurut laporan, militan itu telah memenggal kepala mangsa kerana wang tebusan bernilai 30 juta peso (RM2.6 juta) tidak dibayar dalam tempoh ditetapkan.

DASAR ‘TIDAK MEMBAYAR WANG TEBUSAN’

Dalam pada itu, pihak berkuasa juga mengamalkan dasar ‘tidak membayar wang tebusan’.

Dasar ini diamalkan dalam usaha menghentikan ‘industri’ penculikan oleh kumpulan militan.

Jadi persoalannya, apakah cara yang terbaik untuk menangani kegiatan penculikan seperti ini?

Antara langkah alternatif yang boleh diambil dalam kes-kes sedimikian adalah dengan melancarkan operasi ketenteraan bagi menyelamatkan mangsa, namun ia masih berisiko tinggi.

Terdapat kemungkinan tinggi untuk terjadi pertempuran atau insiden tembak menembak di antara pasukan penyelamat dan penjenayah, sekali gus meletakkan nyawa mangsa dalam bahaya.

Dalam kes terbaru, seorang nelayan rakyat Malaysia bernama Jari Abdullah bersama dua warga Indonesia telah diculik oleh Abu Sayyaf pada Disember lalu.

Menurut kolumnis The Star, Philip Golingai menerusi penulisannya bertajuk “Paying the heavy price to stay alive”, sumber risikan berkata bahawa tiada wang tebusan yang dibayar untuk pembebasan Jari, namun tentera laut melancarkan operasi ketenteraan untuk menyelamatkannya.

Walaupun berjaya diselamatkan, Jari dikatakan cedera parah kerana ditembak di bahagian kepala, dada dan pangkal paha ketika insiden tembak-menembak di antara tentera laut Filipina dengan Abu Sayyaf di pulau Simisa berdekatan pulau Jolo.

Berada dalam keadaan kritikal, Jari menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital lima hari selepas pembebasannya.

BAYAR TEBUSAN ATAU LANCAR OPERASI KETENTERAAN?

Jadi persoalannya, adakah lebih baik untuk membayar wang tebusan atau melancarkan operasi ketenteraan untuk menyelamatkan mangsa culik?

Kedua-dua langkah ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Tidak dinafikan bahawa dasar ‘tidak membayar wang tebusan’ adalah satu langkah yang bagus untuk menghentikan kegiatan KFR, tetapi risiko ke atas nyawa mangsa adalah lebih tinggi.

Seperti yang dikatakan di atas, penculik boleh memberi ugutan dan tekanan kepada keluarga mangsa serta pihak berkuasa dengan menyeksa atau membunuh tebusan mereka jika wang tidak dibayar.

Operasi ketenteraan pula berpotensi untuk menyaksikan mangsa tercedera atau terbunuh sekiranya terperangkap dalam pertempuran di antara pihak berkuasa dan militan

Tetapi jika wang tebusan dibayar pula, ini akan ‘menggalakkan’ penculik untuk terus melakukan kegiatannya memandangkan ia mendatangkan ‘pendapatan’ yang lumayan.
Pada masa yang sama, ia masih tidak menjamin keselamatan mangsa walaupun wang tebusan akan dibayar.
Sebagai contoh, kira-kira 30 juta peso (RM2.7 juta) telah dikumpul dalam usaha membebaskan Bernard Then, warga Sarawak berusia 39 tahun, dan pengurus restoran, Thien Nyuk Fun, warga Sabah berusia 50 tahun, yang diculik di Sandakan pada Mei 2015.
Philip berkata, apabila perunding berjumpa dengan penculik di Jolo untuk membebaskan mangsa menerusi pertukaran wang, pemimpin-pemimpin Abu Sayyaf mula bergaduh sesama sendiri berhubung isu ‘harga’ untuk setiap tebusan.
Difahamkan, Thien dibebaskan, namun Then masih dipegang oleh Abu Sayyaf kerana mahu menuntut lebih banyak bayaran.
Beberapa minggu selepas itu, Abu Sayyaf membunuh Then dengan memenggal kepalanya disebabkan beberapa faktor.
Salah satu daripadanya adalah pergaduhan dalam kalangan anggota militan kerana terdapat segelintir daripada mereka disyaki mengambil sebahagian wang yang telah dibayar.
Jadi, usaha untuk menyelamatkan mangsa tebusan bukanlah sesuatu tugas yang mudah.
Pelbagai perkara perlu dipertimbangkan dengan teliti dan berhati-hati untuk memastikan mangsa dapat dibebaskan dengan selamat.

Sumber rujukan: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker