Isu SemasaTempatan

Penjara Malaysia Bakal Guna Teknologi AI?

Jabatan Penjara Malaysia dilaporkan sedang mengkaji penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) dalam usaha memperkukuhkan lagi sistem keselamatan penjara.

AI adalah sebuah sistem yang berupaya berfikir dengan sendiri menerusi pembelajaran mesin dan ia juga membolehkan komputer untuk melaksanakan tugas-tugas tertentu lebih baik daripada manusia.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar, perkara ini telah dibincangkan di forum “Intelligence Smart Prison” bersama 7 buah negara lain yang sudah pun melaksanakan sistem AI, termasuk Jepun, Kanada dan Singapura.

“Objektif utama forum tersebut adalah untuk mendapatkan pendedahan kepada sistem pengurusan penjara di negara maju dan berkongsi kisah kejayaan sistem penjara yang lebih maju di negara-negara itu, termasuk AI,” kata beliau dalam ucapannya ketika majlis perasmian forum tersebut pada Isnin.

Tambah beliau, teknologi AI boleh digunakan untuk menyokong pengurusan dan pentadbiran di dalam dan luar penjara.

“Kami berharap penggabungan AI dalam sistem penjara pintar akan meningkatkan pemenjaraan selamat dan menawarkan peluang kedua kepada banduan,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan majlis itu berkata, forum tersebut turut menawarkan peluang kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk meneliti pengurusan dan operasinya daripada perspektif lima buah negara maju iaitu China, Jepun, Belanda, Singapura dan United Kingdom (UK).

Ujar beliau, pakar-pakar daripada kesemua negara berkenaan akan mengongsikan pengalaman mereka mengenai penggunaan, kisah kejayaan, cabaran dan pengajaran dalam mengimplementasikan sistem AI.

“Ia memerlukan strategi yang menggabungkan penyelidikan dan tindak balas yang berterusan untuk menangani isu-isu praktikal berkaitan dengan pengimplementasiannya.

“Dalam menerima teknologi pintar, penjara-penjara di seluruh dunia boleh saling mempelajari daripada satu sama lain menerusi platform sedia ada untuk kerjasama serantau dan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyatakan bahawa forum ini menggalakkan pentadbir penjara untuk mempertimbang reka bentuk dan pelaksanaan sistem pengurusan maklumat penjara yang sesuai dengan keperluan institusi mereka.

Pelbagai pembaharuan berada dalam perancangan, termasuk dari aspek penahanan, rehabilitasi, latihan kakitangan, pematuhan peraturan, kemudahan, koreksi komuniti, dan integrasi semula banduan ke dalam masyarakat.

“Banduan akan diberi layanan berlandaskan peraturan dan undang-undang walaupun mereka ketika ini berhadapan dengan masalah kesesakan di kebanyakan penjara di seluruh negara.

“Dari segi kemudahan koreksi, kementerian saya akan terus melakukan yang terbaik dalam usaha membekalkan Jabatan Penjara Malaysia dengan infrastruktur yang lengkap dan sesuai seperti pusat rehabilitiasi, keselamatan, dan kemudahan kesihatan dengan teknologi terkini,” jelas beliau.

Sumber: The Star, Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button