AntarabangsaIsu Semasa

Penindasan Etnik Islam Uighur: Benar Atau Tidak?

Wilayah Xinjiang di China merupakan kediaman kepada kira-kira 12.7 juta penduduk Islam yang membentuk 58% daripada populasi keseluruhan di sana.

Xinjiang juga adalah sebuah wilayah berautonomi yang menjadi sempadan kepada 8 buah negara.

Walau bagaimanapun, wilayah itu turut dikenali sebagai lokasi yang menyaksikan penindasan dan penganiayaan ke atas etnik minoriti Islam Uighur.

Pihak berkuasa China didakwa menempatkan lebih daripada satu juta warga Uighur dalam ‘kem pendidikan’ (penjara), di mana mereka dipaksa untuk┬ámengubah pemikiran politik, menghapuskan kepercayaan mereka terhadap agama Islam, serta membentuk semula identiti mereka.

Etnik ini dilaporkan menjadi ‘sasaran’ kerajaan kerana dituduh terlibat dalam pergerakan pemisah.

Malah, kerajaan China juga mengklasifikasikan agama Islam sebagai ‘penyakit mental’.

Antara penindasan yang dilalui oleh Uighur termasuk:

1. Dilarang berpuasa dan memelihara janggut

2. Wanita dipaksa membuka hijab

3. Diharamkan untuk menggunakan bahasa ibunda

4. Tahanan tidak dibenarkan menunaikan solat

5. Dipaksa makan daging khinzir dan minum arak

 

CHINA NAFI LAKUKAN PENINDASAN

Walau bagaimanapun, kerajaan China berulang kali menafikan secara keras segala dakwaan bahawa ia menganiaya warga Uighur.

Dalam usaha membuktikan ia tidak bersalah, negara itu pada awal bulan ini telah menjemput media dan diplomat dari pelbagai negara untuk datang sendiri ke Xinjiang dan melihat keadaan sebenar di sana.

Pada masa yang sama, lawatan ini juga menjadi sebahagian daripada Asean China Tour 2019, yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan di antara China dan media dari negara-negara Asean.

Difahamkan, wartawan-wartawan daripada media Malaysia turut berpeluang untuk menyertai lawatan berkenaan.

MINORITI ISLAM TIDAK DITINDAS?

Mengulas tentang layanan terhadap pelbagai etnik, ketua Jabatan Publisiti Xinjiang, Tian Wen menyatakan bahawa terdapat lebih 56 kumpulan etnik daripada pelbagai latar belakang, termasuk 10 kumpulan etnik Muslim yang menetap di wilayah itu, dan mereka semua “dilayan secara sama rata.”

Beliau berkata, semua kumpulan bebas untuk mengamalkan agama masing-masing, seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan China.

Tambahnya lagi, Xinjiang telah menerima lebih daripada 150 juta pelawat antarabangsa sambil meluahkan keyakinan angka itu boleh meningkat lagi kepada lebih 200 juta pada tahun ini.

Selain itu, naib-presiden Persatuan Islam China, Abdul Amin Jin Rubin menjelaskan bahawa golongan minoriti Islam di China tidak didiskriminasi atau ditindas oleh kerajaan China seperti yang didakwa.

Abdul Amin yang mewakili lebih daripada 10 badan Islamik berkata, penduduk Islam di China menikmati kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan agama mereka.

Beliau juga menolak laporan-laporan berhubung penindasan ke atas warga Uighur yang didakwa berlaku di Xinjiang.

 

MANA BETUL, MANA SALAH?

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan wakil penduduk Islam di Xinjiang itu menimbulkan persoalan sama ada benar atau tidak laporan yang sering disajikan kepada dunia tentang kekejaman kerajaan China ke atas etnik Uighur selama ini.

Bukan sahaja laporan media, malah dakwaan penindasan Uighur turut dikatakan sendiri oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun, hasil daripada lawatan media dan diplomat ke Xinjiang itu tidak menyaksikan tekanan atau penindasan yang berlaku, sebaliknya warga Uighur dikatakan menjalani kehidupan yang normal.

Jadi, bagaimana kita hendak tahu mana satu betul atau mana satu salah? Siapa yang boleh dipercayai?

Amat sukar untuk menjawab soalan itu.

Dalam era moden ini, tidak mudah untuk mengesahkan kesahihan sesuatu perkara memandangkan maklumat kini ‘berada di hujung jari’ hampir setiap orang.

Lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial. Mana-mana individu boleh berkata apa-apa sahaja, termasuk mencipta khabar angin atau fitnah, dan kemudian menularkannya kepada seluruh dunia.

Memandangkan kebanjiran berita dan maklumat mustahil untuk dikawal atau ditapis sepenuhnya, kita perlu menjadi lebih berhati-hati dalam mempercayai sesuatu perkara yang dilihat, tidak kiralah di kaca televisyen mahupun internet.

Bercakap tentang isu di Xinjiang, kita sudah pun mendengar cerita pelbagai belah pihak termasuk media arus perdana di seluruh dunia dan juga kerajaan China sendiri, namun ia masih sukar untuk menentukan siapa yang betul atau sebaliknya.

Terdapat pelbagai kemungkinan dalam isu ini. Tidak mustahil jika kerajaan China sudah membuat cover up dengan ‘mengaturkan suasana aman’ ketika lawatan itu berlangsung, ataupun penindasan yang dikatakan selama ini benar-benar tidak berlaku.

Namun, kita tidak akan tahu perkara yang sebenar-benarnya dan adalah lebih baik untuk terus kekal neutral sehinggalah muncul bukti kukuh yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Lambat laun, kebenaran pasti akan muncul jua dan mengatasi segala kebatilan.

 

Sumber Rujukan: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker