Isu SemasaTempatan

Tangan Robotik Pintar Ini Mampu Mengubah Kehidupan Seharian OKU!

Pameran teknologi mudah alih generasi kelima (5G) yang berlangsung pada 20 dan 21 April 2019 ternyata memeriahkan Kompleks Perbadanan Putrajaya dengan kehadiran lebih daripada 4,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Pameran yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 18 April itu menjadi sebuah platform untuk Malaysia menerokai potensi teknologi 5G dan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai pelbagai manfaat 5G dalam kehidupan seharian mereka.

Antara syarikat utama menjadi pempamer adalah Celcom, Maxis, Umobile, Telekom Malaysia (TM), Digi, Ericsson, Huawei, Malaysia Automotive Robotics IoI Institute (MARii) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pameran tersebut menampilkan pelbagai perkembangan teknologi terkini termasuk kenderaan berautonomi (tanpa pemandu), serta peralatan dan aplikasi membabitkan pelbagai bidang seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, dan e-sukan.

Malah, Celcom turut memperkenalkan panggilan ‘hologram’ yang akan menggantikan panggilan video apabila Malaysia mula menggunapakai teknologi 5G pada masa akan datang.

KINOVA ROBOTIC ARM – TANGAN ROBOTIK PINTAR

Muhammad Haszerul melakukan demonstrasi Kinova robotic arm di Pameran 5G, Perbadanan Putrajaya

Dalam pada itu, salah satu peralatan moden yang paling menarik pada acara itu adalah Kinova robotic arm.

Kinova robotic arm ini berperanan sebagai assistive robotic atau robotik bantuan yang selamat digunakan dalam persekitaran manusia.

Menurut jurutera kanan syarikat perkhidmatan robotik Robopreneur Sdn Bhd, Muhammad Haszerul Mohd Salleh, tangan robotik tersebut dilengkapi dengan motor yang mempunyai sensor, di mana ia boleh berhenti sekiranya mengesan daya yang kuat, sekali gus tidak akan mencederakan sesiapa.

Tangan robotik ini boleh dipasang pada kerusi roda untuk memudahkan kehidupan seharian individu-individu yang kurang upaya.

“Sebagai contoh, orang yang tiada kaki, jika ingin minum air, ambil barang dan sebagainya, dia tidak memerlukan orang lain untuk membantunya lagi.

“Dia boleh menggunakan Kinova arm ini dengan menggerakkan toggle atau controller itu dan mengambil apa-apa barang,” katanya.

Alat kawalan tangan robotik ini dioperasikan secara manual menggunakan alat kawalan yang dipasang.

DIJUAL KEPADA AGENSI-AGENSI KESIHATAN

Imej sekadar hiasan

Namun memandangkan peralatan itu adalah assistive robot, berat barang yang boleh ditampung olehnya terhad kepada 10 kilogram dan ke bawah, dan tidak sesuai digunakan untuk melaksanakan kerja-kerja berat.

Selain daripada kerusi roda, Haszerul menyatakan bahawa Kinova robotic arm juga boleh dipasang pada katil.

Sejak tahun lepas, sebanyak 5 buah telah dijual dengan harga RM120,000 setiap satu.

Walau bagaimanapun setakat ini, penjualan hanya terbuka kepada agensi-agensi berkaitan kesihatan seperti pusat rehabilitasi serta hospital.

Pada masa akan datang, Robopreneur menyasarkan untuk menjual tangan robotik ini kepada syarikat-syarikat insurans supaya ia boleh menjadi salah satu bentuk pampasan kepada pencarum sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini yang membawa kepada kecacatan.

“Fokus kita akan datang adalah kita mahu ‘target’ syarikat insurans, di mana pencarum boleh diberi Kinova arm sekiranya mengambil skim-skim insurans tertentu,” jelas Haszerul.

GABUNGAN TEKNOLOGI 5G DAN ELEKTROENCEPHALOGRAM (EEG)

Imej sekadar hiasan

Kinova yang digunakan pada masa kini adalah generasi kedua (Gen 2) yang memerlukan operasi secara manual.

Tangan robotik ini juga mempunyai varian “Gen 3” yang menampilkan ciri-ciri yang lebih canggih menerusi penggunaan teknologi 5G.

Haszerul berkata, Kinova Gen 3 sudah boleh didapati di Kanada, namun masih belum dipasarkan di Malaysia kerana infrastruktur 5G masih belum bersedia sepenuhnya.

“Ia menggunakan wireless controller (alat kawalan tanpa wayar) yang boleh disambungkan dengan elektroencephalogram (EEG).

“EEG itu sendiri adalah controller (pada Kinova Gen 3) yang boleh mengesan gelombak otak kita. Seperti Stephen Hawking, bagaimana beliau boleh bercakap tanpa menggunakan apa-apa, tetapi boleh keluar suara.

“Jadi, ia (Kinova Gen 3) menggunakan gelombak otak itu sendiri dan akan memproses data dan menganalisa apa yang kita mahu.

“Contoh, kita berfikir mahu mengambil air atas almari warna putih, secara automatik (tangan) robot itu sendiri akan bergerak ke almari warna putih dan mengambil cawan itu,” jelas beliau.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker