AntarabangsaIsu Semasa

Disebabkan Satu Tweet Trump, Ahli Kongres Wanita Islam Terima Ugutan Bunuh

Ilhan Omar, salah seorang wanita Islam pertama dilantik menjadi Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) berkata beliau menerima semakin banyak ugutan bunuh sejak Presiden Donald Trump, menerusi akaun Twitternya, mengongsikan sebuah video yang telah diubah suai, kononnya menunjukkan Ilhan mengeluarkan kenyataan biadap berbubung tragedi 9/11.

“Ini membahayakan nyawa…Ia perlu dihentikan,” kata Omar.

Susulan itu, Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi menyatakan bahawa beliau telah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan Ahli Demokrat Minnesota itu dan menggesa Trump untuk membuang video berkenaan sepenuhnya.

Selepas amaran itu dikeluarkan, video tersebut tidak lagi kelihatan di ‘pinned tweet’ di akaun Twitter Trump, namun ia masih berada di garis masanya.

Memetik laporan Al-Jazeera, Pelosi merupakan salah seorang anggota Demokrat yang mengecam Trump kerana memuat naik Tweet itu.

Terdapat juga sesetengah Demokrat yang berkata Trump sedang cuba melakukan “hasutan keganasan” ke atas Omar.

Difahamkan, salah seorang penduduk New York telah pun ditahan kerana memberi ugutan bunuh terhadapnya.

Sementara itu, Setiausaha Rumah Putih, Sarah Sanders mempertahankan Trump, dengan berkata bahawa Presiden tersebut mempunyai ‘tugas’ untuk menyoroti komen-komen Omar yang dianggap sebagai anti-Semitik atau sensitive.

Tegas Sanders, Trump tidak mempunyai sebarang “niat jahat” terhadap wanita Islam tersebut.

Menerusi satu kenyataan di Twitter, presiden berkontroversi itu turut berkata bahawa Ilhan sudah “tidak terkawal” sambil mengkritik tindakan Pelosi yang mempertahankannya.

TRUMP ‘MENGGALAKKAN’ KEBENCIAN

Sejak Trump mengongsikan video berkenaan pada Jumaat lepas, Omar telah menerima pelbagai ancaman.

Difahamkan, video itu memaparkan sedutan ucapan terbaru Omar kepada Majlis Hal Ehwal Islam AS (Cair) pada bulan lepas, di mana beliau menyifatkan insiden serangan ke atas Pusat Dagang Dunia pada September 11, 2001 sebagai “sesetengah orang melakukan sesuatu”.

Dalam erti kata lain, beliau berpandangan bahawa tragedi itu didalangi oleh ‘orang dalam’.

Di kapsyen video tersebut, Trump menulis “WE WILL NEVER FORGET!”.

“Jenayah keganasan dan tindakan-tindakan kebencian oleh pelampau berhaluan kanan dan nasionalis kulit putih sedang meningkat di negara ini dan seluruh dunia.

“Kita tidak boleh lagi menafikan bahawa mereka ini digalakkan oleh individu yang memegang jawatan paling tinggi di negara ini. Kita semua adalah rakyat Amerika,” kata Omar.

KESELAMATAN OMAR DIUTAMAKAN

Pelosi berkata, beliau telah berbincang dengan pihak berkuasa Kongres untuk memastikan Polis Kapitol melaksanakan penilaian keselamatan baagi melindungi Omar, keluarga, serta kakitangannya.

Ujar beliau, pihak berkuasa juga akan terus memantau dan menilai ancaman terhadap Omar dan mengarahkan Trump untuk menghentikan kelakuan sedemikian.

“Kata-kata presiden itu amat berat, dan retorik kebencian dan hasutannya mendatangkan bahaya.

“Presiden Trump perlu membuang videonya yang biadap dan bahaya itu,” tegas Pelosi.

#IStandWithIlhanOmar

Walaupun Omar ‘diserang’ oleh Trump dan pelampau-pelampau kulit putih, ramai selebriti, aktivis, dan ahli politik, termasuk mereka yang pernah mengkritik beliau sebelum ini tentang kenyataannya tentang Israel, bertindak mempertahankan Omar dalam isu ini.

Oleh itu, mereka semua menggunakan #IStandWithIlhanOmar bagi menunjukkan solidariti.

Jerry Nadler, seorang Demokrat New York berkata, beliau tidak mempunyai sebarang isu dengan gambaran Omar tentang serangan 9/11.

“Saya pernah mempunyai masalah dengan kenyataan-kenyatannya yang lain, tetapi bukan yang ini,” katanya.

Sumber: Al-Jazeera

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker