Isu SemasaTempatan

Masyarakat India Semakin “Hilang Sabar” Dengan Pakatan Harapan?

Pakatan Harapan (PH) masih menerima sokongan padu daripada masyarakat India, namun terdapat sesetengah daripada mereka yang menjadi semakin hilang sabar dengan kelewatan pelaksanaan dasar-dasar yang relevan kepada masyarakat itu di peringkat Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George berkata, segelintir segmen masyarakat India mahukan perubahan segera dan “tidak mahu menunggu lagi.”

“Mereka mahu Pakatan Harapan untuk membela komuniti itu yang diabaikan oleh kerajaan terdahulu.

“(Namun) Masyarakat India perlu faham bahawa kami memerlukan masa untuk membetulkan apa yang salah dalam seluruh sistem pentadbiran di bawah kerajaan terdahulu,” kata Gunaraj.

Tambahnya, Pakatan juga mewarisi “kerosakan” yang ditinggalkan oleh kerajaan pemerintah terdahulu ketika memenangi pilihan raya umum pada tahun lepas, dan terdapat pelbagai perkara yang perlu dilakukan untuk memulihkan keadaan.

“Beri kami masa untuk mengukuhkan pentadbiran yang goyah dan bermasalah yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional,” ujar beliau.

Menurut Gunaraj, perubahan serta dasar dan sewajarnya untuk masyarakat India akan dilaksanakan selepas pembaikan pentadbiran dilakukan.

Sementara itu, Ahli Parllimen Klang, Charles Santiago menjelaskan bahawa masyarakat India masih menyokong Pakatan, tetapi pada masa yang sama amat “kritikal” dengan kerajaan pemerintah (PH).

“Anda boleh melihat rungutan mereka dikongsikan di media sosial, dan terdapat juga orang yang memaklumkan saya tentang ketidakpuasan hati mereka,” kata Santiago.

Jelas beliau, terdapat pelbagai isu timbul baru-baru ini yang mencetuskan kemarahan masyarakat India.

Salah satu kes membabitkan beberapa orang pelajar berbangsa India yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun tidak dapat memasuki program matrikulasi.

Difahamkan, mereka bukan sahaja mendapat A dalam semua mata pelajaran, tetapi juga cemerlang dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.

“Ini adalah pelajar-pelajar yang mendapat semua A dan cemerlang dalam aktiviti kokurikulum di sekolah, tetapi mereka masih gagal untuk memasuki program matrikulasi,” ujar Santiago.

Hal ini sekali gus mengecewakan masyarakat India, yang menjangkakan pentadbiran yang lebih baik di bawah PH.

Justeru, Santiago menegaskan bahawa kerajaan dan gabungan PH tidak boleh mengambil mudah sokongan masyarakat India.

“Kerajaan mempunyai tugas untuk menjelaskan kepada masyarakat India mengapa pelajar-pelajar cemerlang ini diabaikan,” tegasnya.

Untuk terus mengekalkan sokongan tersebut, Santiago berkata bahawa kerajaan perlu memperkenalkan dasar dan program khusus yang membawa kepada peningkatan mobiliti sosial masyarakat itu.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button