AntarabangsaIsu Semasa

Korea Utara Jalankan Ujian “Senjata Taktikal” Baru?

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un baru-baru ini telah melancarkan ujian “senjata taktikal baru”, di mana ia dilihat sebagai langkah untuk meningkatkan tekanan ke atas Amerika Syarikat (AS).

Rejimnya turut mendesak agar Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo ‘dibuang’ daripada rundingan denuklearisasi, dan pada masa yang sama mengkritik Korea Selatan kerana mengadakan latihan ketenteraan gabungan bersama AS.

Difahamkan, kedua-dua negara Korea itu telah menandatangani sebuah perjanjian yang bertujuan untuk mengurangkan ketegangan ketenteraan, namun tindakan Seoul dianggap melanggar perjanjian tersebut.

Bercakap tentang soal senjata baru, Kim berkata bahawa pembangunan senjata itu memainkan peranan besar dalam mengukuhkan lagi kekuatan pertempuran Korea Utara.

Senjata taktikal tersebut dilaporkan mempunyai pelbagai mod tembakan ke atas sasaran yang berlainan serta mampu dilancarkan dari darat, laut, atau udara.

ADAKAH IA PELURU BERPANDU BALISTIK?

Setakat ini, masih tiada pengesahan apa sebenarnya jenis senjata taktikal milik Pyongang itu.

Terdapat pihak yang mendakwa bahawa ia adalah peluru berpandu balistik.

Pakar senjata pula berkata, senjata yang dimaksudkan mungkin adalah pelancar roket jarak dekat, dan ia dijangka tidak akan menjadi ancaman kepada AS, tetapi boleh menyasarkan negara-negara yang lebih dekat dengan Korea Utara.

Sementara itu, seorang pegawai daripada Joint Chiefs of Staff (JSC) Korea Selatan mendakwa bahawa senjata baru itu dipercayai adalah senjata untuk pertempuran darat, dan bukan peluru berpandu balisitik.

“Kita melihatnya sebagai senjata bagi tujuan pertempuran darat,” katanya pegawai yang enggan identitinya didedahkan itu.

Pemangku Setiausaha Pertahanan AS, Patrick Shanahan juga menyifatkan ujian berkenaan sebagai “ujian tembakan senjata taktikal” yang “bukan peluru berpandu balistik”.

Pada pandangan penganalisis pula, senjata itu dikatakan mampu bergerak pada altitud rendah dan jarak yang pendek.

Justeru, ia mungkin adalah peluru berpandu jarak dekat seperti peluru berpandu Spike buatan Israel yang mempunyai jarak operasi kira-kira 20 kilometer sahaja.

KIM AKAN TUNGGU AS UBAH ‘KELAKUAN’

Ujian senjata yang dilancarkan Pyongyang adalah yang pertama dilakukan sejak sidang kemuncak kedua di antara Presiden Donald Trump dan Kim di Hanoi, Vietnam.

Sidang kemuncak tersebut menyaksikan kegagalan kedua-dua pihak memeterai sebarang perjanjian baru ke arah denuklearisasi Korea Utara.

Walaupun Trump mengulangi bahawa beliau “tidak tergesa-gesa” untuk membawa rundingan itu ke hadapan, Kim berkata beliau akan “menunggu dengan penuh kesabaran sehingga hujung tahun ini” untuk AS mengubah ‘tingkah lakunya’.

Rejim Kim juga memberi isyarat bahawa ia mahu menyambung rundingan tanpa Pompeo kerana sikapnya yang disifatkan seperti ‘samseng’ dalam mendesak Korea Utara untuk menghentikan program senjata nuklear sepenuhnya sebelum sekatan ekonomi ditarik semula.

Difahamkan, Pompeo telah melawat Pyongyang sebanyak empat kali pada tahun lepas.

PYONGYANG AKAN LAKUKAN LEBIH BANYAK PROVOKASI?

Dr Shin Beom-chul daripada pusat pemikir Asan Institute for Policy Studies yang berpangkalan di Korea Selatan berkata, Korea Utara telah menjalankan ujian senjata taktikal barunya untuk memberi tekanan kepada AS.

Ia juga adalah amaran bahawa “mungkin akan berlaku lebih banyak provokasi pada tahun depan jika AS tidak menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Korea Utara.”

Tambah beliau, terdapat kemungkinan Pyongyang sedang menunjukkan kesanggupannya untuk mengambil “haluan baru” jika kebuntuan rundingan denuklearisasi bersama AS ini berterusan.

Haluan baru tersebut mungkin merangkumi kebergantungan ekonomi secara sendiri, provokasi ketenteraan, dan kerjasama yang lebih banyak dengan Rusia dan China, jelas Dr. Shin.

Kim dijangka akan mengadakan lawatan ke Rusia bagi menghadiri sidang kemuncaknya yang pertama bersama Presiden Vladimir Putin pada minggu depan, dengan menaiki kereta api kalis peluru miliknya, dengan melalui China.

Oleh itu, ini mungkin ‘pesanan’ beliau kepada dunia bahawa Korea Utara mempunyai sokongan kedua-dua China dan Rusia.

“Ia adalah kejayaan diplomatik Presiden Putin untuk bertemu dengan Kim Jong Un. Dalam pada itu, Kim Jong Un mahu menunjukkan bahawa AS bukanlah satu-satunya pilihan Korea Utara, dan China juga bukan rakan kongsi tunggalnya,” ujar Dr. Shin.

Sumber: Straits Times – Korean Central News Agency (KCNA)

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker