Sukan

Sebelum Ini Terpaksa Menumpang Rumah Kawan, Harini Syarul Menerima Hadiah Rumah!

Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, hari ini menerima seunit rumah bernilai RM198,000 susulan pencapaian cemerlangnya di pentas antarabangsa.

Insentif yang diberikan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Wilyah Persekutuan patut diteruskan untuk menghargai para atlet yang telah mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

Mohd Syarul menganggap pemberian rumah Residensi Wilayah oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad sebagai pemangkin buatnya untuk lebih berjaya dalam sukan bina badan.

Mohd Syarul Azman yang lebih mesra dengan panggilan Mike menerima sumbangan rumah di Residensi Jalilmas bernilai RM198,000 daripada Khalid melalui kerjasama kementerian dengan pemaju perumahan Aset Kayamas Sdn Bhd.

 

Pangsapuri di Bukit Jalil Untuk Kejuaraan Tiga Kali Berturut-turut

Pangsapuri yang terletak di Bukit Jalil berkeluasan 800 kaki persegi itu mempunyai tiga bilik dan dua bilik air, diubah suai serta dilengkapi sepenuhnya dengan perabot dan barang-barang elektrik bernilai kira-kira RM30,000 yang ditaja sepenuhnya oleh Aset Kayamas.

Atlet berusia 45 tahun itu menerima sumbangan berkenaan susulan kejayaan menjadi juara dunia bina badan tiga kali berturut-turut dari 2016 hingga 2018 dan juara Asia empat kali berturut-turut pada 2015 hingga 2018.

“Sebagai atlet, peruntukan sebegini perlu diberikan terutamanya kepada mereka yang telah meraih gelaran juara dunia walaupun ia bukannya datang daripada sukan teras mahupun Sukan Olimpik kerana kami juga membawa nama Malaysia, lagu Negaraku dinyanyikan di negara luar dengan adanya kejayaan kami.

 

Menumpang rumah kawan

“Terus terang saya katakan, saya cukup hargai dan gembira dengan apa yang diusahakan oleh Menteri Wilayah dan Kementerian Belia dan Sukan untuk saya. Bantuan ini memudahkan saya menyediakan diet seimbang apabila saya boleh masak sendiri, boleh berehat dengan tenang (di rumah sendiri) selepas penat buat latihan,” katanya kepada media.

Mohd Syarul Azman mengakui, sebelum ini beliau terpaksa menumpang di rumah kawannya sekali gus menyukarkan beliau untuk menyediakan makanan seimbang sesuai dengan keperluannya.

 

Perbincangan dengan KBS membuahkan hasil

Katanya, beliau bertemu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebaik sahaja meraih kejayaan sebagai juara dunia buat kali ketiga pada Disember lalu, untuk membincangkan hal itu seterusnya pada Februari, berjumpa Khalid untuk membincangkan perkara sama.

“Syukur dan perasaan gembira yang tidak mampu digambarkan apabila diberi perkhabaran akan diberikan rumah kepada saya. Insya-Allah akan mula pindah masuk dalam masa dua minggu lagi,” katanya yang akan menyertai dua kejohanan besar tahun ini.

Menerusi Bernama, beliau juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi elaun kepada juara dunia sepertinya walaupun mereka tidak berada dalam program Podium.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker