AntarabangsaIsu Semasa

Imran Kassim: Warga Singapura Pertama Didakwa Membiayai Keganasan

Pada Isnin, 15 April 2019, seorang lelaki warga Singapura bernama Imran Kassim menjadi rakyat pertama di negara itu yang didakwa di mahkamah atas kesalahan membiayai keganasan kerana menyalurkan bantuan wang untuk menyokong usaha-usaha propaganda kumpulan militan IS.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (MHA), Imran didakwa di bawah Seksyen 4(b) Akta Keganasan (Sekatan Pendanaan), Bab 325.

Ini juga merupakan kali kedua Akta ini digunapakai, di mana penggunaan kali pertamanya membabitkan enam lelaki warga Bangladesh yang menubuhkan sel IS di Singapura pada pada tahun 2016.

Difahamkan, Imran ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) pada Ogos 2017 sebelum didakwa di mahkamah.

MHA berkata, suspek telah disiasat oleh Jabatan Keselamatan Dalaman dan Perintah Tahanan (DO) turut dikeluarkan ke atasnya kerana berniat untuk mleancarkan keganasan bersenjata di luar negara.

Jelas kementerian itu lagi, sebuah siasatan selari oleh Jabatan Hal Ehwal Komersil juga mendapati bahawa Imran memberi S$450 (RM1,368) kepada seorang individu di Turki pada 31 Oktober, 2014 bagi tujuan penerbitan propaganda IS.

“Perbuatan menyalurkan wang dalam menyokong tujuan-tujuan keganasan, tidak kira berapa jumlahnya, adalah satu kesalahan serius, di bawah Akta Keganasan (Sekatan Pendanaan),” ujar MHA.

Tambahnya lagi, DO yang dikeluarkan ke atas Imran akan dibatalkan dan dia akan menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan oleh mahkamah sekiranya disabitkan bersalah.

Dia juga akan ditempatkan dalam penjara berasingan dalam usaha menghalangnya daripada menyebarkan sebarang ideologi radikal.

“Untuk menghalangnya daripada menyebarkan idea-idea radikal kepada penghuni penjara lain, dia akan ditahan secara berasingan, dan akan terus menjalani pemulihan semasa di penjara.

“Penilaian akan dilakukan pada penghujung hukumannya sama ada adia telah berjaya dipulihkan atau kekal sebagai ancaman kepada masyarakat.

“Sekiranya dia kekal sebagai ancaman, dia mungkin akan ditahan lebih lanjut di bawah ISA,” kata MHA.

Kementerian Dalam Negeri turut memberi peringatan kepada masyarakat agar “tidak mengirim wang, apa-apa jumlah sekali pun, atau memberi sebarang bantuan menerusi peruntukan perkhidmatan, atau membekalkan sebarang bahan kepada organisasi pengganas atau mana-mana anggota sesebuah kumpulan pengganas.”

Kesalahan menyediakan perkhidmatan atau harta bagi tujuan keganasan di Singapura berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, bayaran denda, atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Malay Mail

Sumber Imej: FMT

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button