AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Siapa Bakal Jadi Presiden Indonesia Bagi Lima Tahun Akan Datang?

17 April 2019 adalah tarikh yang amat penting buat seluruh rakyat Indonesia memandangkan ia adalah hari Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019) yang akan menentukan hala tuju negara tersebut buat tempoh lima tahun akan datang.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang dilihat sebagai “Obama” Indonesia bertanding untuk penggal yang ke-2 menentang pesaing utamanya Prabowo Subianto, seorang bekas jeneral tentera yang ditewaskan oleh beliau pada Pilpres 2014 dahulu.

Persoalannya, adakah Jokowi akan mampu ‘menundukkan’ Prabowo buat kali kedua? Atau keputusan pilihan raya kali ini akan berpihak kepada Prabowo?

Kebanyakan tinjauan pendapat mendapati bahawa Jokowi mendahului sokongan rakyat pada kedudukan yang selesa.

Tetapi, ramalan terbaru menunjukkan bahawa keputusan akhir pilihan raya mungkin tidak seperti yang dijangkakan.

Difahamkan, terdapat kira-kira 20% atau 39.6 juta daripada 198 juta individu yang layak mengundi adalah pengundi atas pagar, dan mereka ini berpotensi untuk ‘terhasut’ dengan kempen-kempen tidak keluar mengundi.

Demokrasi di Indonesia masih lagi “muda”, di mana ia hanya bermula pada awal abad ini. Tidak seperti sebelum ini yang menyaksikan ramai calon presiden, pilihan raya pada masa ini hanya menumpukan persaingan di antara dua calon sahaja, yang berpasangan dengan timbalan masing-masing.

Justeru, ini memudahkan rakyat untuk memilih pasangan calon presiden yang mempunyai dasar alternatif masing-masing untuk membawa negara kehadapan.

Namun, pilihan raya di dalam demokrasi yang sudah ‘matang’ dan stabil di Barat sejak kebelakangan ini pula menunjukkan bahawa dasar-dasar alternatif tidak lagi begitu penting dalam menarik perhatian pengundi memandangkan desakan popular untuk “perubahan” lebih menyerlah.

Ini adalah kerana sikap hilang sabar sesetengah rakyat yang semakin meningkat kerana menganggap undian mereka selama ini dilihat tidak mendatangkan perubahan/kemajuan ketara dalam kualiti kehidupan mereka.

Justeru, ramai rakyat Indonesia mungkin beralih ke Prabowo atau mendesak pengundi-pengundi lain untuk menahan diri daripada mengundi kerana ketidakpuasan hati terhadap Presiden yang memerintah, iaitu Jokowi.

Hal ini dijangka akan mendatangkan masalah kepada Jokowi memandangkan beliau baru sahaja berkhidmat sebagai presiden selama satu penggal, di kemenangan beliau dalam pilihan raya yang lepas juga adalah kerana rakyat mahukan perubahan yang sebenar-benarnya.

Tidak dinafikan bahawa Jokowi telah membawa pelbagai perubahan, namun bertanding untuk penggal yang kedua tidak akan menjadi semudah seperti yang pertama.

Walaupun prestasinya pada penggal pertama boleh dikatakan kredibel dan kompeten, masih wujud perasaan bahawa Indonesia di bawah pemerintahannya tidak mencapai “standard” yang diharapkan dari segi ekonomi, politik, atau diplomatik.

Pemerintahan Jokowi masih tidak setanding dengan kemajuan ekonomi yang dicapai dan dinikmati ketika pentadbiran presiden Suharto terdahulu.

Oleh itu, tidak mustahil rakyat akan beralih kepada Prabowo kerana mahu melihat sama ada beliau mampu atau tidak untuk membawa perubahan yang diinginkan.

Dari segi ekonomi, Prabowo mempunyai kelebihan kerana bakal timbalannya, Sandiaga Uno, merupakan seorang pakar ekonomi muda dan bijaksana.

Sandiaga Uno juga adalah salah seorang individu terkaya di Indonesia dan popular dalam kalangan pengundi-pengundi muda.

Jadi, walaupun Jokowi berada pada kedudukan selesa dalam tinjauan pendapat, tidak mustahil untuk berlaku ‘kejutan’ yang menyaksikan undian didominasi oleh Prabowo.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker