Gaya HidupKesihatan

Kenapa Seseorang Memerlukan Dialisis?

Seseorang pesakit biasanya memerlukan dialisis apabila bahan atau sisa buangan dalam badan terlampau tinggi sehingga boleh menyebabkan mereka menjadi tidak sihat.

Tahap penghasilan sisa buangan dalam badan meningkat secara perlahan-lahan.

Apa itu sebenarnya dialisis?

Dialisis adalah suatu proses yang dilakukan dengan menggunakan mesin dialisis bagi menjalankan fungsi seperti ginjal manusia yang sihat.

Dialisis diperlukan apabila ginjal kita tidak dapat lagi berfungsi dengan baik dan tahap kerosakan ginjal telah mencapai 85-90%.

Secara amnya, lebih kurang 30-40% pesakit kencing manis yang mempunyai penyakit buah pinggang akan mengalami kegagalan buah pinggang.

Kebiasaannya ia mengambil masa selama 10 hingga 20 tahun dari masa penyakit diabetes itu bermula. Tetapi, jangka masa untuk buah pinggang gagal untuk berfungsi boleh dikatakan akan menjadi singkat jika terlambat membuat pengesahan mengenai penyakit kencing manis yang dihidapi.

Oleh itu, adalah penting untuk anda melakukan pemeriksaan secara kerap untuk mengesan penyakit diabetes seawal yang boleh dan ambil langkah-langkah pencegahan yang sebaik-baiknya.

Proses dialisis biasa dilakukan untuk membuang sisa-sisa metabolisma dan lebihan cecair agar tidak berkumpul di dalam tubuh serta menjaga tubuh badan supaya sentiasa berada dalam keadaan yang seimbang.

Dialisis dapat dilakukan sama ada di hospital kerajaan atau swasta, pusat rawatan dialisis dan di rumah.

Mesin Dialisis Dicipta Pada Tahun 1943

Latar belakang dialisis dikemukakan oleh Dr. Willem Kolff yang berasal dari Belanda pada tahun 1943 dengan menghasilkan mesin dialisis yang terawal di dunia.

Pada tahun 1861, ahli kimia bernama Thomas Graham telah mengaplikasikan proses dialisis, suatu proses yang digunakan untuk memisahkan partikel koloid dari ion terlarut atau molekul.

Thomas Graham juga bertanggungjawab untuk mengembangkan Hukum Graham dan memisahkan partikel ke dalam dua kelas iaitu koloid dan kristaloid. 

Bagaimana doktor tahu seseorang perlu menjalani rawatan dialisis?

Doktor akan menguji serta mengukur beberapa tahap kimia dalam darah untuk membantu seseorang jika mereka perlu melakukan dialisis.

Terdapat dua tahap utama dalam pengukuran tahap kimia dalam darah iaitu paras creatinine dan darah nitrogen urea.

Jika terdapat sebarang peningkatan terhadap kedua-dua tahap ini, ia menunjukkan bahawa terdapat kekurangan keupayaan bagi buah pinggang seseorang untuk membersihkan sisa buangan dalam badannya sendiri.

Ujian air kencing boleh digunakan oleh seorang doktor bagi mengesan tahap fungsi atau kebolehan buah pinggang seseorang dengan melakukan ujian creatinine clearance.

Apa yang perlu dilakukan oleh pesakit?

Pesakit perlu menyimpan air kencing mereka seharian dalam bekas khas bagi tujuan ini. Sisa buangan yang terhasil dalam air kencing mahupun darah akan dianggarkan dengan mengukur creatinine tersebut.

Dengan cara membezakan darah dengan tahap air kencing bagi bahan ini (creatinine), para doktor dapat mengetahui cara buah pinggang seseorang itu berfungsi.

Biasanya, jika ujian mendapati creatinine clearance seseorang berada dalam julat 10-12cc/min, maka mereka perlu menjalani rawatan dialisis.

Para doktor juga turut menggunakan petunjuk lain dalam menentukan sama ada seseorang itu memerlukan dialisis ataupun tidak.

Antaranya ialah apabila seseorang pesakit itu tidak berupaya untuk menyingkirkan lebihan air dalam badan, atau mengalami masalah jantung, paru-paru, atau sakit perut, atau mengalami kesukaran merasa atau menerima apa-apa ransangan pada kaki, dialisis juga akan disarankan walaupun creatinine clearance tidak berada dalam julat yang ditetapkan.

Sumber : wikipedia

Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi Dr. Khairul Izan Md Ghani di laman Facebooknya, Get Well By Doc K. 

* Dr Khairul Izan Md Ghani merupakan Pakar Bedah yang berpengalaman dalam bidang perubatan lebih daripada 13 tahun dan menjadi Pakar Bedah untuk lebih daripada 10 tahun. Beliau yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Hospital Ampang dan Pusat Perubatan UKM ini juga merupakan mantan pensyarah perubatan, penulis dan konsultant di beberapa institusi di Kuala Lumpur. Pengalaman yang luas ini juga menyebabkan beliau sering dijemput untuk memberi ucaptama dalam seminar dan acara di dalam dan luar negara.
Kini beliau berkhidmat di Hospital Colombia Asia Petaling Jaya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker