Isu SemasaTempatan

Hampir Setahun Memerintah, Hala Tuju Ekonomi Kerajaan Baru Masih Tidak Jelas

Era ‘Malaysia Baru’ kini hampir memasuki setahun, namun kebanyakan manifesto utama Pakatan Harapan (PH) masih belum berjaya ditunaikan.

Menurut pakar-pakar ekonomi, PH juga mungkin tidak akan mampu untuk menunaikan semua manifestonya dalam tempoh enam bulan akan datang, tetapi mereka sekurang-kurangnya perlu menghasilkan perancangan yang jelas tentang bagaimana dan bila ia boleh dilaksanakan.

Pensyarah dan pengarah program Global MBA Program Universiti Tun Abdul Razak, Dr Barjoyai Bardai berkata, Pakatan juga harus mempunyai perancangan ekonomi bagi tempoh 4 tahun yang akan datang memandangkan rakyat masih menunggu untuk melihat hala tuju ekonomi yang lebih jelas.

Jelas beliau, kos sara hidup dan rumah mampu milik adalah antara isu utama yang perlu ditangani oleh kerajaan.

“Kerajaan Pakatan perlu menunjukkan kepada pengundi bahawa ia serius dalam menangani isu-isu sedemikian kerana rancangan kerajaan dalam isu-isu ini masih tidak jelas bagi ramai orang,” kata Barjoyai.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Dr Zakaria Abdul Rashid pula menegaskan bahawa terdapat keperluan segera bagi kerajaan untuk mengimplementasikan langkah-langkah bagi merangsang ekonomi dan menangani kebimbangan rakyat berhubung harga barang yang semakin meningkat.

Beliau berkata, walaupun berlaku deflasi harga, kebimbangan isu kos sara hidup masih tidak ditangani secara menyeluruh.

Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng turut mempunyai pandangan yang serupa seperti Dr Barjoyai.

Ujarnya, walaupun tempoh enam bulan akan datang mungkin terlalu singkat untuk PH menunaikan janji-janjinya, perlu ada dasar dan hala tuju yang jelas bagi pelaksanaan pembaharuan.

“Perancangan tersebut perlu merangkumi jadual dan fasa pelaksanaan bagi pembaharuan-pembaharuan yang lebih sukar sebagai jaminan untuk rakyat yang sudah tidak sabar, yang meletakkan harapan yang terlalu tinggi (terhadap kerajaan),” katanya.

Tegas Dr Yeah lagi, kerajaan perlu memaklumkan kepada rakyat Malaysia secara jelas mengapa ia tidak mampu untuk mengotakan janji-janji tertentu.

Dalam pada itu, Lee Heng Guie, Pengarah Eksekutif di sebuah pusat pemikir Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi menyatakan bahawa PH telah menunaikan banyak janji-janjinya setakat ini, tetapi pada masa yang sama gagal menyampaikan mesej tersebut kepada rakyat secara berkesan.

Tambah beliau, Pakatan perlu turun padang dan menjelaskan perkembangan semasa kepada rakyat.

“Jika ia (PH) boleh memperbaiki bahagian komunikasi dan mesejnya, rakyat akan sedar bahawa ia telah melaksanakan banyak perkara.

“Kerajaan melihat kepada isu-isu tertentu seperti rumah mampu milik. Namun, masalah seperti ini tidak boleh ditangani dengan segera.

“Satu lagi isu adalah kos sara hidup. Ini bukan hanya tentang harga barangan tetapi juga tentang pendapatan. Pakatan perlu turun padang dan menjelaskannya kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau pula berkata bahawa dasar-dasar kerajaan sepatutnya memanfaatkan rakyat, tetapi Pakatan sudah “menyimpang” daripada perkara tersebut.

Ini adalah kerana PH telah memperkenalkan pelbagai cukai baru dan ini sekali gus meningkatkan beban rakyat.

“Kerajaan Pakatan telah mengenakan beberapa cukai (baru). Rakyat, terutamanya golongan M40, sedang merana.

“Walaupun kerajaan Pakatan telah mengimplementasikan beberapa dasar yang memanfaatkan kumpulan B40, tekanan dan permintaan daripada M40 terus diabaikan.

“Saya menggesa kerajaan untuk mengkaji semula cukai-cukai yang tidak diperlukan dan menghalang rakyat daripada mengalami tekanan hidup yang lebih berat,” ujarnya.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker