AntarabangsaIsu Semasa

Pilihan Raya Umum Indonesia Adalah Salah Satu Yang ‘Terbesar Dan Paling Rumit’ Di Dunia

Pada Rabu 17 April 2019, kira-kira 192 juta rakyat Indonesia yang layak mengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Umum negara itu.

Buat julung kalinya juga, pilihan raya presiden, parlimen, dan serantau dilaksanakan sekali gus dalam tempoh sehari sahaja.

APA YANG RAKYAT AKAN PILIH?

Dalam pilihan raya kali ini, kira-kira 245,000 calon daripada 16 parti politik akan bertanding untuk merebut 20,000 kerusi di seluruh negara.

Lowy Institute, sebuah pusat pemikir Australia, menyifatkan pemilihan kali ini sebagai “salah satu pilihan raya-sehari yang paling rumit dalam sejarah dunia.”

Undian akan berlangsung di lebih 805,000 pusat mengundi dan seramai 6 juta kakitangan pilihan raya akan bertugas.

Dalam pilihan raya tahun ini, rakyat Indonesia akan memilih:

– Presiden dan Naib Presiden

– 575 anggota Majlis Perwakilan Rakyat, (Dewan Perwakilan Indonesia)

– 136 anggota Majlis Perwakilan Serantau (Senat)

– Wakil rakyat bagi lebih daripada 2,000 kerusi serantau

-Wakil rakyat bagi lebih daripada 18,000 kerusi di majlis perbandaran dan daerah

Jutaan rakyat Indonesia yang menetap di luar negara telah mengundi awal pada hujung minggu baru-baru ini.

Di Malaysia, terdapat kira-kira 1.5 juta pengundi Indonesia, dan 500,000 daripada jumlah itu bermastautin di Lembah Klang.

Bercakap tentang keputusan pula, keputusan awal akan diketahui dalam tempoh beberapa jam selepas undian ditutup pada hari pilihan raya, namun keputusan akhir dijangka akan disahkan selepas beberapa minggu.

Calon-calon yang bertanding akan diisytihar menang sekiranya memperoleh lebih daripada 50% undian di kawasan masing-masing.

 

SIAPA YANG BERTANDING UNTUK JAWATAN PRESIDEN?

Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019) menyaksikan pertembungan semula di antara Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan pesaingnya utamanya, Prabowo Subianto yang merupakan bekas jeneral tentera.

Kedua-dua ahli politik ini pernah bertembung pada Pilpres 2014, di mana Jokowi berjaya menewaskan Prabowo sekali gus diangkat menjadi Presiden Indonesia pada waktu itu.

Difahamkan, Jokowi merupakan pemimpin Indonesia pertama yang bukan dari kalangan golongan elit politik atau tentera.

Dalam usaha mencerminkan imej yang lebih konservatif, Jokowi telah memilih pemimpin Majlis Ulama Indonesia, Ma’ruf Amin sebagai bakal timbalannya, jika mereka memenangi Pilpres 2019.

Prabowo pula membawa imej seorang individu yang kuat. Sebagai bekas pemimpin tentera, beliau mempunyai kredibiliti dalam isu-isu berkaitan keselamatan dan mempromosikan masyarakat yang “adil” menerusi kesejahteraan ekonomi dan politik.

Bakal timbalan Prabowo pula adalah Sandiaga Uno, seorang pakar ekonomi dan juga popular dalam kalangan pengundi-pengundi muda.

CABARAN JOKOWI

Prabowo dikatakan menjalinkan hubungan yang amat rapat dengan golongan elit politik tradisional di Indonesia.

Beliau sebelum ini pernah berkahwin dengan anak perempuan bekas diktator, Jeneral Suharto yang memerintah Indonesia secara “kuku besi” selama 30 tahun.

Dalam pilihan raya 2014, kempen Prabowo memfokuskan pelan anti-kemiskinan, di mana beliau berjanji untuk mengurangkan pengangguran dan mewujudkan peluang pekerjaan baru yang lebih banyak.

Jokowi pula berkempen sebagai “pemimpin berjiwa rakyat” dan turut memberi penekanan terhadap anti-rasuah, menangani kemiskinan, dan membendung nepotisme serta sikap tidak bertoleransi.

Di bawah kepimpinan Jokowi, ekonomi Indonesia berkembang dengan pesat, kadar kemiskinan menurun, dan pelbagai pembangunan infrastruktur mega juga sudah dimuktamadkan, termasuk pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) di Jakarta.

Namun, beliau dikatakan telah membuat sesetengah penyokongnya kecewa kerana gagal menunaikan janjinya untuk menyelesaikan isu pelanggaran hak asasi manusia.

Jokowi juga berusaha keras untuk menarik masuk pelaburan asing dari pelbaga negara termasuk China, tetapi pengkritik menuduh beliau “tidak melindungi kepentingan negara.”

Musuh-musuh politik beliau turut menuduhnya “menjual negara kepada pihak asing.”

Jokowi juga telah mengambil beberapa langkah yang dilihat mendatangkan risiko tinggi ke atas dirinya.

Ini termasuk meluluskan undang-undang baru yang mengehadkan kebebasan berpersatuan, memberi kuasa kepada badan perundangan untuk mendiamkan pengkritik, dan juga merancang untuk memperkenalkan semula sistem yang mengharamkan sebarang kritikan ke atas presiden.

Kewujudan undang-undang/sistem ini dilaporkan akan mencalarkan budaya demokrasi di Indonesia, selain daripada menjadi ‘senjata’ pihak pembangkang untuk memberi ‘serangan balas’ ke atas pentadbirannya.

IDENTITI KEBANGSAAN ADALAH ISU UTAMA

Infrastruktur, rasuah, dan ekonomi akan menjadi antara isu utama bagi rakyat Indonesia pada pemilihan kali ini.

Tetapi, isu terbesar adalah mengenai identiti kebangsaan Indonesia dan haluan politik Islamik yang semakin meningkat.

Indonesia tidak mempunyai agama rasmi negara, namun lebih daripada 80% populasinya adalah orang Islam, sekali gus menjadikannya sebagai negara yang mempunyai populasi Muslim terbesar di seluruh dunia.

Kumpulan-kumpulan agama konservatif juga menjadi semakin ‘lantang bersuara’ sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di mana mereka telah memainkan peranan besar dalam ‘menjatuhkan’ bekas Gabenor Jakarta berketurunan Cina dan beragama Kristian, Basuki Tjahaja Purnama, yang lebih dikenali sebagai Ahok.

Ahok yang juga meurpakan sekutu Jokowi didakwa menghina kitab suci Al-Quran ketika berkempen, dan kemudian disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun.

Justeru, calon-calon presiden kali ini dilihat bertungkus-lumus berusaha untuk mempamerkan ‘imej Islamik’ masing-masing.

Jokowi mengejutkan ramai pihak apabila memutuskan untuk berganding dengan Ma’ruf Amin, dan langkah ini dilihat sebagai taktiknya untuk memenangi hati pengundi-pengundi Islam.

Namun begitu, ini menyebabkan beliau kehilangan ramai penyokong dalam kalangan golongan muda dan liberal.

Prabowo pula berjanji untuk melindungi pemimpin-pemimpin Islam dan meningkatkan dana untuk sekolah-sekolah agama, sambil menghormati dan mematuhi Perlembagaan negara.

Beliau dikatakan menerima sokongan padu daripada Parti Keadilan Sejahtera, iaitu parti politik Islam yang terbesar di dalam Parlimen.

Bakal timbalannya, Sandiaga Uno pula dilihat sebagai seorang ahli politik muda dan bijaksana. Sandiaga juga adalah salah seorang individu yang terkaya di Indonesia.

Penganalisis meramalkan bahawa sejumlah besar pengundi mungkin tidak akan keluar mengundi pada tahun ini kerana kecewa dengan Jokowi dan pada masa yang sama enggan menyokong Prabowo.

EKONOMI ADALAH KELEBIHAN DAN KEKURANGAN JOKOWI

Ekonomi akan menjadi aspek utama dalam kempen pilihan raya kali ini. Walaupun ekonomi berkembang dengan baik di bawah pentadbiran Jokowi, ia juga menjadi salah satu ‘kelemahan’ beliau.

Jokowi telah ‘diserang’ dari pelbagai arah oleh Prabowo tentang isu ekonomi.

Dalam pilihan raya ini, mereka berdua dijangka akan menampilkan dasar-dasar ekonomi bersifat populis dalam usaha menangani masalah ketidaksamarataan sosial dan ekonomi yang tidak menentu.

Pada bulan Oktober 2018, matawang Rupiah dilaporkan berada pada tahap yang terendah sejak tempoh lebih 20 tahun.

Hal ini sekali gus mengembalikan semula ‘kenangan pahit’ membabitkan krisis kewangan Asia 1998.

Antara serangan yang dilemparkan oleh Prabowo ke atas Jokowi adalah dakwaan bahawa hutang asing Indonesia berpotensi menyebabkan negara jatuh muflis menjelang tahun 2030.

Dakwaan tersebut mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan rakyat memandangkan hutang asing negara di bawah pentadbiran Jokowi menyaksikan peningkatan sebanyak 49%, berikutan perbelanjaan besar dalam pembangunan infrastruktur awam.

Namun begitu, dasar ekonomi kerajaan Jokowi menyaksikan prestasi yang cemerlang dari aspek strategi pelaburan ekonomi jangka masa panjang, serta pembaharuan dan liberalisasi ekonomi, termasuk pemodenan infrastruktur negara.

Dasar ekonomi yang diperkenalkan olehPrabowo pula mungkin akan dipengaruhi oleh pendirian Sandiaga yang mesra perniagaan.

PENGUNDI BELIA PENENTU BESAR

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, kira-kira 40% atau 80 juta daripada jumlah keseluruhan individu yang layak mengundi berusia 17 sehingga 35 tahun.

Parti-parti politik seluruh negara juga berusaha keras untuk memenangi hati pengundi muda dengan cara-cara yang inovatif.

Tahun lepas, parti Jokowi, PDIP, telah melancarkan barangan termasuk t-shirt, topi dan jaket bergaya untuk menarik perhatian anak-anak muda.

Prabowo pula mula menjalinkan hubungan rapat dengan vlogger, Youtuber, dan influencer media sosial, menurut Institute of Southeast Asian Studies.

Bukan itu sahaja, malah kedua-dua calon itu turut menghasilkan video muzik tersendiri untuk memikat golongan belia.

TETAPI, ADAKAH BELIA AKAN KELUAR MENGUNDI?

Kadar individu tidak keluar mengundi menyaksikan peningkatan sejak pilihan raya tahun 1999, di mana hampir 30% pengundi berdaftar tidak menunaikan tanggungjawab merea pada pilihan raya 2014, dan majoriti daripada jumlah itu adalah belia.

Sebuah kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) pada 2017 tentang pendirian politik millenial mendapati bahawa golongan muda tidak mempunyai minat yang tinggi dalam politik.

Belia dilihat lebih mengutamakan isu-isu penting lain yang berkaitan dengan diri mereka seperti pekerjaan.

Berdasarkan satu lagi kajian pula, hanya 23.4% daripada 1,400 responden belia yang mengikuti perkembangan politik atau mengambil tahu tentang isu-isu politik.

“Bagi (millenial), berita politik di Indonesia agak berat, rumit dan membosankan,” kata laporan kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan IDN dan Pusat Penyelidikan Alvara.

Ketua Pegawai Eksekutif Alvara, Hasanuddin Ali menyatakan bahawa walaupun belia membentuk sebahagian besar daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar, beliau mempunyai keraguan sama ada ramai yang akan keluar mengundi atau tidak untuk memberi impak signifikan terhadap keputusan Pilpres 2019.

“Dalam tinjauan pendapat yang telah kami lakukan sejak pengumuman calon-calon presiden, millenial membentuk bahagian terbesar pengundi atas pagar,” jelas Hasanuddin.

Tambah beliau lagi, memandangkan golongan muda kini amat aktif di media sosial, adalah amat penting bagi ahli-ahli politik untuk tidak melakukan perkara-perkara yang salah.

Hasanuddin berkata, kedua-dua kem Jokowi dan Prabowo mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dalam usaha mereka menarik perhatian belia.

“Pada masa kini, kebanyakan orang muda berimpian untuk menjadi usahawan berjaya, jadi Sandiaga mempunyai kelebihan di situ.

“Sementara itu, Jokowi cuba untuk mendekati mereka dengan menghadiri acara-acara muzik, memakai kasut (sneakers) dan T-shirt, serta menunjukkan tiada jarak di antara mereka dan presiden,” katanya.

Sementara itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa 71% anak muda di seluruh dunia menganggap pemimpin-pemimpin politik memberi impak buruk kepada dunia.

BERITA PALSU ANCAMAN UTAMA

Media sosial dianggap sebagai ‘raja’ di Indonesia, di mana negara itu mempunyai pengguna Facebook keempat terbesar di dunia.

Walau bagaimanapun, masalah berita palsu juga amat berleluasa di negara itu.

Mafindo, sebuah organisasi yang memerangi ancaman berita palsu di Indonesia, berkata bahawa berita palsu dan kesalahan maklumat berkaitan politik meningkat sebanyak 61% di antara Disember 2018 dan Januari 2019.

Seorang wakil Mafindo berkata, sebahagian besar daripada berita palsu yang tersebar menyasarkan Jokowi, di mana beliau difitnah sebagai individu beragama kristian, berketurunan Cina, dan anggota komunis.

Ini mungkin dilihat sebagai perkara kecil, tetapi ia dianggap sebagai satu tuduhan yang amat besar di Indonesia memandangkan perkara berkaitan kaum dan ideologi adalah isu yang terlalu sensitif.

Sementara itu, Syarikat Facebook pada bulan lepas telah ‘mengharamkan’ iklan-iklan politik dari luar Indonesia menjelang pilihan raya presiden.

Facebook berkata, ia sudah mula menyekat sebarang bentuk “bahan/iklan berbayar yang berkaitan ahli politik, parti, atau cubaan menghasut orang ramai untuk tidak keluar mengundi” daripada pengiklan yang berpangkalan di luar Indonesia.

“Kita mahu menyukarkan campur tangan dalam pilihan raya di platform ini (Facebook), dan memudahkan orang ramai untuk memastikan suara mereka didengari secara sah dalam proses politik,” kata Facebook dalam satu kenyataan.

Facebook juga menyatakan bahawa ia akan menggunakan gabungan automasi dan manusia untuk membuang sebarang iklan yang sensitif berkaitan Indonesia.

Indonesia sedang berjuang menentang gelombang ucapan kebencian atas talian yang berleluasa, memandangkan terdapat pelbagai kumpulan konservatif yang mengeksploitasi media sosial untuk menyebarkan fitnah dan menyasarkan golongan minoriti.

Pihak berkuasa turut meluahkan kebimbangan kerana bahan-bahan radikal yang diterbitkan di atas talian berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama pada pilihan raya.

Pada bulan Februari, Facebook telah menghapuskan ratusan akaun dan laman yang berkaitan dengan kumpulan siber Indonesia, Saracen yang dituduh menyebarkan berita palsu dan ucapan kebencian.

 

JOKOWI BERADA PADA KEDUDUKAN SELESA, TETAPI…

Walaupun kebanyakan tinjauan pendapat mendapati bahawa Jokowi berada pada kedudukan selesa untuk menang dan mentadbir Indonesia sebagai Presiden buat penggal kedua, peluang beliau dilihat menjadi semakin tipis.

Penganalisis politik berkata, kemungkinan Prabowo untuk menewaskan Jokowi semakin meningkat.

Pasukan kempennya juga mendakwa sebuah tinjauan dalaman yang dilakukan oleh mereka menunjukkan bahawa Prabowo dijangka akan memperoleh 60% undian.

Justeru, kedua-dua calon dilihat memiliki peluang yang boleh dikatakan sama rata untuk menang, namun hanya seorang sahaja yang akan muncul sebagai pemenang.

Bak kata pepatah Bahasa Inggeris, ‘May the best man win.”

Sumber: BBC, CNBC, SCMP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker