Isu SemasaTempatan

Mengapa Amerika Syarikat Letak Malaysia Di Dalam Senarai ‘K’?

Sejak beberapa tahun yang lalu, Pantai Timur Sabah telah dikenal pasti sebagai ‘kawasan panas’ kerana sering menjadi sasaran kumpulan penjenayah dan militan untuk mencari mangsa untuk dijadikan sebagai tebusan.

Sebagai contoh, seorang pengurus terkanan ikan warga China bernama Yang Zai Lin telah diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di Pulau Baik, Lahad Datu pada 6 Mei 2014.

Namun begitu, beliau berjaya diselamatkan oleh pihak polis pada 9 Julai tahun yang sama dan kemudian dihantar pulang ke negara asalnya.

Pada 14 Mei 2015 pula, Bernard Then Ted Fen diculik oleh Abu Sayyaf di sebuah restoran makanan laut di Sandakan bersama pengurus resotran itu, Thien Nyuk Fun.

Nyuk Fun berjaya dibebaskan hasil daripada rundingan selama beberapa bulan, tetapi Ted Fen dibunuh oleh kumpulan pengganas tersebut dengan kepalanya dipenggal di Pulau Jolo, Filipina pada 11 November 2015.

Antara kes lain yang pernah berlaku adalah:

1 April 2016: Empat kru kapal tunda, Wong Teck Kang, Wong Hung Sing, Wong Teck Chii, dan Johnny Lau Jung Hien, diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Lingitan berhampiran Semporna. Mereka dibebaskan pada 8 Jun 2016.

9 Julai 2016: Tiga pekerja bot ikan warga Indonesia diculik lima lelaki bersenjata di perairan Sahabat 16, Lahad Datu.

18 Julai 2016: lima kru kapal tunda warga Malaysia diculik di perairan Lahad Datu.

Berikutan pelbagai kes penculikan yang telah berlaku, Amerika Syarikat (AS) telah meletakkan Malaysia di dalam senarai ‘K’.

Senarai ‘K’ ini merujuk kepada negara-negara yang berisiko terhadap “penculikan dan diambil menjadi tebusan” oleh penjenayah serta pengganas, di mana terdapat 34 buah negara yang tersenarai termasuk Malaysia.

Di Malaysia, Pantai Timur Sabah dikenal pasti sebagai kawasan yang mempunyai risiko penculikan yang tinggi.

Walau bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap agar Amerika akan mengeluarkan Malaysia daripada senarai itu.

Beliau berkata, Sabah adalah negeri yang selamat untuk dikunjungi dan pelancong-pelancong dari China dan Eropah juga terus melawat negeri tersebut, termasuk di pulau Sipadan dan Semporna.

“Saya berharap permohonan yang dilakukan oleh Kementerian Luar untuk mengeluarkan Malaysia (daripada senarai itu akan dipertimbangkan oleh AS), dan kawasan tersebut (Pantai Timur Sabah) selamat untuk dikunjungi.┬áSituasi terkawal dan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“Insiden-insiden (penculikan) pernah berlaku sebelum ini. Tetapi kami sedang berusaha keras untuk memastikan keselamatan bukan sahaja diperketatkan lagi, tetapi juga untuk meningkatkan pengawasan di kawasan berkenaan,” katanya.

Jelas Mohd Shafie lagi, pihak berkuasa AS juga akan berkongsi sebarang maklumat perisikan dengan Malaysia mengenai potensi bahaya di kawasan-kawasan tersebut.

PENILAIAN AS “TIDAK OBJEKTIF”

Sementara itu, kerajaan Malaysia membantah secara keras keputusan AS meletakkan Malaysia dalam senarai tersebut seperti yang diumumkan oleh Jabatan Negara AS pada 9 April lalu, menerusi nasihat perjalanan antarabangsa.

Kementerian Luar (Wisma Putra) turut menggesa AS untuk mengeluarkan Malaysia daripada senarai itu dengan segera.

Menurut Wisma Putra, nasihat perjalanan baru tersebut dilihat kurang objektif dan tidak mencerminkan hakikat sebenar situasi keselamatan di wilayah timur Sabah yang kekal selamat dan terkawal bagi pelancong.

“Ini bersandarkan kepada fakta bahawa angka ketibaan pelancong di Sabah meningkat kepada 5.5 peratus, iaitu memcecah 3.87 juta tahun lalu. Malah, angka insiden penculikan telah menurun secara ketara kepada hampir sifar,” kata kementerian itu.

Jelas Wisma Putra, kawasan timur Sabah terus menarik penyelam bertaraf dunia dan kejayaan itu adalah hasil daripada langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan Malaysia.

Antara langkah yang telah diambil termasuk meningkatkan rondaan, kerjasama keselamatan erat dengan negara-negara jiran dan pengaturgerakan strategik aset-aset keselamatan.

“Berdasarkan fakta-fakta ini, Malaysia menggesa Amerika Syarikat supaya lebih objektif dalam penilaiannya. Kami menggesa Amerika Syarikat segera mengeluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’ itu,” tegas Wisma Putra.

Sumber: Malay Mail, Astro Awani

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker