Sukan

Kelantan Bukan Penganjur Sukma 2022 Tetapi Sukma 2024?

Walaupun sebelum ini terdapat ura-ura Kelantan akan menganjurkan Sukma pada tahun 2022 setelah Johor menjadi tuan rumah pada Sukma 2020, tetapi hari ini Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan menganjurkan Kejohanan Pra Sukan Malaysia (Sukma) 1 hingga 3 Ogos depan sebagai persediaan untuk menjadi tuan rumah bagi sukan dwi tahunan itu pada 2024 tulis SinarHarian dan UtusanMalaysia.

Pengarahnya, Muhammed Imran Mansoor berkata, satu kertas cadangan telah dikemukakan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kelantan untuk membina sebuah kompleks sukan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Sepertimana yang telah diketahui, kerajaan negeri sudah mengemukakan tawaran untuk menjadi tuan rumah Sukma pada 2024. Perkara tersebut sudah dibincangkan di peringkat jawatankuasa tertinggi Sukma.

“Menteri juga (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) telah memberi jawapan berhubung perkara itu, namun kita belum mengetahui berapa jumlah peruntukan yang akan disalurkan,” katanya.

Menurutnya, MSN Kelantan juga akan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan dana daripada kerajaan negeri bagi memastikan Sukma 2024 dapat dianjurkan.

Katanya, dana yang diperoleh dari kerajaan negeri dan KBS itu akan dicampur untuk digunakan bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan infrastruktur sukan di Kelantan.

“Buat masa ini kita masih belum mengenalpasti tapak yang sesuai untuk membina kompleks sukan berkenaan.

“Kita juga akan gunakan sebahagian daripada dana itu untuk program pembangunan atlet,” ujarnya.

Untuk rekod mantan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pernah berjanji untuk mengadakan Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kelantan jika BN berjaya menawan negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Menurut Khairy seperti dalam catatan MalaysiaKini, sudah tiba masanya perubahan dilakukan di Kelantan bagi memajukan bidang sukan di negeri itu.

Kelantan satu-satunya negeri Pantai Timur di Semenanjung yang tidak pernah menganjurkan temasya sukan yang dianjurkan dua kali setahun itu.

Pahang menjadi tuan rumah Sukma 1996, sementara Terengganu pada 2008.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker