Bisnes & Ekonomi

Penjimatan Kos ECRL Selamatkan Malaysia Dari Perangkap Hutang China

Kejayaan Malaysia dalam merunding semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China adalah penting kerana ia menyelamatkan Malaysia dari perangkap hutang China seperti yang berlaku kepada Sri Lanka, tulis Forbes.

Dalam satu kolum pendapat, Profesor Ekonomi Panos Mourdoukoutas berkata perjanjian baru itu merupakan kejayaan besar bagi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam berurusan dengan China, Malaysia telah berani melakukan sesuatu yang Sri Lanka, Pakistan, dan Filipina tidak lakukan iaitu membawa Beijing kembali ke meja rundingan untuk mengurangkan kos projek pelaburan yang diberikan kepada kontraktor China,” katanya.

Mourdoukoutas berkata perjanjian asal ECRL memberi manfaat yang lebih banyak kepada Beijing berbanding Kuala Lumpur.

Beliau menjelaskan bahawa projek infrastruktur China yang berkembang di seluruh dunia adalah sebahagian daripada usaha negara itu untuk “meluaskan kuasa dan memajukan agenda geopolitik Beijing”.

Walau bagaimanapun, banyak projek infrastruktur China tidak berdaya maju, kerana ia dibina dengan kos yang melambung dan meninggalkan negara-negara yang terbabit dengan hutang kepada Beijing.

Memetik laporan Current History Journal, Mourdoukoutas menulis bahawa beberapa projek infrastruktur China di Sri Lanka, iaitu projek pelabuhan Hambantota, kompleks Bandar Port Colombo dan Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa, adalah projek yang menjatuhkan Sri Lanka ke dalam perangkap hutang China.

“Projek yang terlalu mahal meninggalkan hutang berharga AS$8 bilion (RM32 bilion) atau kira-kira 10 peratus daripada hutang Sri Lanka. Ia adalah hampir dengan jumlah hutang Sri Lanka kepada Jepun dan India. Tetapi apa yang membimbangkan adalah bagaimana pinjaman China telah digunakan untuk membiayai projek yang menjana pendapatan yang sedikit.”

“Keadaan ini telah menimbulkan tuduhan bahawa China berusaha untuk menarik negara-negara yang berlokasi strategik (termasuk Djibouti dan Maldives) ke dalam perangkap hutang yang kemudiannya memanfaatkan mereka untuk mengawal infrastruktur utama negara.”

Mourdoukoutas berkata Dr Mahathir telah berusaha untuk mengelak daripada terjebak dalam perangkap yang sama yang dilakukan oleh Sri Lanka dan beliau melakukannya dengan jayanya dalam merundingkan semula kos ECRL.

Malaysia berjaya menurunkan kos pembinaan ECRL sebanyak RM21.5 bilion, iaitu hampir satu pertiga daripada kos asal. Harga baru ditetapkan pada RM44 bilion, turun 32.8% daripada RM66 bilion sebelumnya.

Dengan tag harga baru, kos pembinaan untuk projek itu kini berada pada RM68mil setiap km, berbanding RM98mil setiap km pada asalnya.

SEBAHAGIAN BAYARAN PENDAHULUAN AKAN DIPULANGKAN

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini memaklumkan bahawa China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bersetuju memulangkan sebahagian daripada RM3.1 bilion bayaran pendahuluan Fasa 2 ECRL, Landasan Berkembar dan Jajaran Utara berdasarkan kontrak asal.

“Sejumlah RM500 juta akan dipulangkan dalam tempoh seminggu dari 12 April, 2019 dan RM500 juta lagi dalam tempoh sebulan dari sekarang membabitkan RM1 bilion,” kata Perdana Menteri.

Bakinya akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas potongan bagi tuntutan yang disahkan susulan kerja-kerja yang terbantut, penggantungan, serta pembatalan jajaran utara, katanya pada sidang media susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara CCCC dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd pada 12 April.

SA itu meliputi Fasa Satu dan 2 kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian ECRL pada harga yang dikurangkan kepada RM 44 bilion.

Ini merupakan pengurangan sebanyak RM21.5 bilion atau 32.8 peratus daripada kos asal sebanyak RM65.5 bilion.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker