Isu SemasaTempatan

Penjualan Rokok Haram Tertinggi Di Dunia Adalah Di Malaysia?

Statistik pada tahun lepas menunjukkan bahawa lebih daripada 12 bilion batang rokok haram telah dijual di Malaysia.

Menurut Pengarah Pengurusan Jt International Bhd (JTI) Cormac O’Rourke, Malaysia merupakan antara negara di dunia yang menyaksikan peningkatan penjualan rokok haram, di mana situasi ini sudah melepasi “tahap krisis”.

O’Rourke berkata, masalah ini hanya boleh ditangani dengan adanya penguatkuasaan strategik yang lebih besar dan berterusan untuk membendung bekalan dan permintaan rokok-rokok berkenaan.

“Sementara Jabatan Kastam ditugaskan untuk mengetuai penguatkuasaan itu, kira-kira 12 bilion batang rokok haram yang dijual setiap tahun (di Malaysia) menunjukkan bahawa lebih banyak usaha dan pendekatan secara kolektif oleh pelbagai agensi amat diperlukan untuk memperbaiki keadaan,” katanya.

Jelas beliau, kekurangan penyelarasan dan keberkesanan penguatkuasaan adalah salah satu sebab utama mengapa usaha-usaha penguatkuasaan gagal membendung dan menghentikan penjualan rokok haram.

“Ini membolehkan penyeludup-penyeludup rokok untuk memanipulasi kelemahan dalam dasar sedia ada dan mengambil kesempatan terhadap sempadan yang ‘longgar’ sebagai laluan penyeludupan utama untuk memasuki negara ini,” tegasnya.

Sementara itu, sebuah kajian oleh pusat penyelidik Nielsen dan Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) mendapati bahawa penjualan rokok haram yang paling meluas adalah di Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Bukan itu sahaja, malah 58.9% daripada penjualan rokok keseluruhan di Malaysia adalah penjualan rokok haram.

Justeru, O’Rourke mencadangkan beberapa langkah untuk menangani perkara ini secara menyeluruh, termasuk memperkenalkan moratorium eksais ke atas harga rokok bagi tempoh tiga tahun akan datang untuk memastikan perokok tidak membeli rokok haram.

“Kita perlu melihat kepada pengharaman pemindahan kapal untuk rokok di pintu-pintu masuk di Malaysia dan memperkenalkan hanya satu sahaja pintu masuk bagi pengimportan rokok ke dalam Malaysia.

“Perkara ini telah dimanipulasi oleh penyeludup di mana penghantaran rokok tersebut yang sampai di sini sepatutnya adalah untuk negara lain, tetapi ia sebaliknya terus kekal di sini dan kemudian dijual di pasaran tempatan,” tegasnya.

Tambah beliau, sebuah badan bebas yang membabitkan pelbagai agensi kerajaan, termasuk wakil industri juga perlu ditubuhkan untuk mengetuai pasukan petugas khas dalam menangani penjualan rokok haram yang berleluasa.

 

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button