AntarabangsaIsu Semasa

Trump Selalu Kritik NATO, Tetapi Ada Juga ‘Baiknya’

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sering kali mengkritik negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana dilihat tidak mengambil serius dalam isu pertahanan membabitkan blok itu.

Malah, Trump turut mengugut bahawa sekiranya negara-negara anggota tidak meningkatkan usaha dalam aspek pertahanan, AS akan pertimbang untuk keluar daripada NATO dan membawa haluan sendiri.

Tetapi, beliau tidak boleh mengeluarkan AS daripada NATO dengan sewenang-wenangnya kerana akan mendapat tentangan hebat daripada Kongres.

SOKONGAN TERHADAP NATO MASIH UTUH

Memetik laporan The Economist, sokongan Kongres terhadap pertubuhan itu masih kekal utuh, di mana lebih daripada 50 Senator dan Ahli Dewan Perwakilan AS menghandiri Persidangan Keselamatan Munich pada Februari lalu bagi menunjukkan solidariti terhadap NATO.

Pada Julai 2018, undian Senat menyaksikan 97-2 dalam menyokong NATO. Sehubungan dengan itu, 357 Ahli Dewan Perwakilan AS menyokong NATO Support Act, yang memberi jaminan bahawa AS tidak akan keluar daripada NATO dan juga dilarang untuk menggunakan dana persekutuan untuk meninggalkan pertubuhan itu.

Malah, sebuah tinjauan pendapat mendapati bahawa NATO terus mendapat sokongan padu daripada rakyat dalam kalangan negara-negara anggotanya.

Di Amerika juga, walaupun Trump kerap ‘menyerang’ pertubuhan itu, kajian Pew Research Centre menunjukkan bahawa 64% rakyat menyokong kewujudan NATO.

TIDAK PERLU BIMBANG PASAL TRUMP

Sementara itu, optimis-optimis di dalam NATO memberi tiga sebab mengapa mereka tidak perlu terlalu bimbang tentang kelakuan Trump.

Pertama sekali, NATO sudah biasa dalam menghadapi dan menangani pelbagai krisis besar, termasuk penceraian Perancis daripada pertubuhan itu pada 1966 sehinggalah Perang Iraq 2003.

Kedua, sejak dilantik menjadi Presiden AS, Trump berkata bahawa pertubuhan berkenaan “tidak lagi ketinggalan zaman”, dan beliau komited dengan Artikel 5 di dalam perjanjian NATO bahawa Amerika akan terus kekal di dalamnya secara 100%.

Tidak dinafikan bahawa beliau kerap ‘menyerang’ NATO kerana negara-negara anggota lain gagal memainkan peranan mereka dalam menyumbang dana pertahanan yang secukupnya.

Namun pada hakikatnya, negara-negara anggota lain memang perlu meningkatkan bajet pertahanan masing-masing, jadi ‘teguran pedas’ Trump itu sebenarnya tidak salah dan diperlukan demi kebaikan NATO sendiri.

Yang ketiga, NATO perlu melihat kepada tindakan Trump berbanding kenyataan-kenyataannya di laman Twitter.

Di bawah pemerintahannya, beliau telah meningkatkan usaha-usaha pertahanan di Eropah, dengan menyediakan lebih banyak peralatan, anggota tentera, dan juga dana.

Pembiayaan bagi kehadiran tentera AS di Eropah di bawah program ketenteraan European Deterrence Initiative, telah meningkat sebanyak 40%.

Ini adalah sebahagian besar tindak balas NATO terhadap ancaman Rusia yang semakin meningkat pada zaman ini.

Sumber: The Economist

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button