Isu SemasaTempatan

Projek ECRL Sah ‘Dihidupkan’ Semula!

Kerajaan telah mengesahkan bahawa projek Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) diteruskan dengan pengurangan kos pembinaan sebanyak RM21.5 bilion, iaitu hampir 1/3 daripada kos asalnya.

Kini, kos pembinaan baru ditetapkan pada RM44 bilion, pengurangan sebanyak 32.8% berbanding RM65.5 bilion sebelum ini.

Utusan Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin yang mengetuai perundingan ECRL dengan China berkata, anggaran kos terbaru ini memudahkan kerajaan untuk menguruskan pinjaman.

“Ia memerlukan jumlah pinjaman yang lebih kecil daripada Exim Bank, yang akan mengurangkan lagi faedah yang perlu dibayar,” katanya.

Dengan harga baru tersebut, kos pembinaan ECRL pada masa ini bernilai RM68 juta per kilometer, berbanding RM98 juta per kilometer yang terdahulu.

 

RUNDINGAN MENGAMBIL MASA 9 BULAN

Pasukan perundingan Malaysia mengambil masa 9 bulan untuk berunding dalam usaha mengurangkan kos pembinaan ECRL.

Daim menyatakan bahawa beliau “berpuas hati” dengan hasil rundingan bersama China itu.

Difahamkan, beliau telah mewakili negara dalam pelbagai perundingan sejak tahun 1981 lagi.

Namun, bekas Menteri Kewangan itu menyifatkan tugasnya dalam perundingan ECRL sebagai “perjanjian yang terpanjang, paling rumit dan mencabar” yang pernah beliau terlibat.

“Ia bermula pada Julai tahun lepas dan Alhamdulillah, kita berjaya mencapainya. Perundingan bilateral (dua hala) tidak mudah, amat rumit, mencabar dan pelbagai perkara perlu dilakukan dalam prosesnya,” jelas Daim.

 

MENGAPA CHINA SETUJU UNTUK MENGURANGKAN HARGA?

Apabila ditujukan soalan tersebut, Daim menjelaskan bahawa kos yang dipersetujui oleh kerajaan terdahulu adalah “terlalu tinggi”, dan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) lebih “berhati-hati dengan perbelanjaan.”

“Kita membawa pakar, kita menunjukkan mereka (China) kos-kosnya,” katanya sambil menyifatkan kejayaan mencapai perjanjian baru ini adalah hasil daripada kemahiran perundingan yang bagus oleh pasukannya.

Memandangkan 2019 menandakan ulang tahun ke-45 hubungan Malaysia-China, beliau berharap penyambungan semula ECRL akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur-pelabur China di Malaysia.

“Kita berharap untuk melihat lebih ramai pelabur dan pelancong China datang ke Malaysia,” ujarnya.

 

PANJANG REL ECRL DIKURANGKAN

Pada Jumaat 12 April 2019, Syarikat Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd telah menandatangani sebuah perjanjian tambahan bagi membuka jalan untuk penyambungan semula projek ECRL, yang telah digantung selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Perjanjian ini turut menyaksikan sedikit perubahan pada laluan dari Kota Baru, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor, di mana panjang relnya dikurangkan sebanyak 40 kilometer, daripada 688 kilometer kepada 648 kilometer.

“Tetapi, ia masih akan menjadi landasan berkembar,” kata Daim.

Walau bagaimanapun, beberapa perhentian, iaitu Bentong, Pahang dan Gombak, Selangor, dilaporkan tidak akan diteruskan susulan pengurangan kos.

Laluan baru akan bermula di Kota Bharu, ke Mentakab (Pahang), Jelebu dan Kuala Klawang (Negeri Sembilan), dan kemudian berterusan sehingga ke Bangi, Kajang, Putrajaya, dan berakhir di Pelabuhan Klang.

Jelas Daim, kerja-kerja pembinaan akan bermula dalam masa terdekat dan projek ini dijangka akan siap pada tahun 2026, iaitu dua tahun lewat berbanding tarikh siap asal.

 

40% SUB-KONTRAKTOR ADALAH RAKYAT MALAYSIA

Daim yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) berkata, 40% daripada sub-kontraktor bagi projek ini adalah rakyat Malaysia.

Bercakap tentang pinjaman dan kadar faedah pula, beliau berkata ia masih dalam proses perundingan.

“Memandangkan kos sudah berkurang, pinjaman juga akan menjadi lebih rendah,” katanya.

Namun begitu, Daim enggan mendedahkan perincian projek berkenaan memandangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan sidang media berhubung ECRL pada Isnin ini.

CHINA GEMBIRA ISU ECRL DISELESAIKAN SECARA BAIK

Jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang berkata bahawa kerajaannya gembira untu melihat isu ECRL ini diselesaikan menerusi rundingan secara baik.

Ujarnya, China dan Malaysia adalah “jiran dan rakan yang baik,” dan saling melihat kepentingan hubungan di antara satu sama lain.

China juga berharap agar projek ini dapat dimulakan dalam masa terdekat.

 

Sumber: The Star

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button