Isu SemasaTempatan

“Mereka Boleh Cuba, Tetapi Pasti Akan Gagal” – Tun M

Minggu lalu, kerajaan secara mengejut memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), sedangkan mereka sebelum ini dilihat amat bersemangat untuk meratifikasikannya.

Mengapa tindakan itu diambil secara tiba-tiba?

Menurut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, keputusan Kabinet (Jemaah Menteri) untuk menarik diri daripada perjanjian antarabangsa itu adalah kerana kebimbangan kemungkinan berlakunya cubaan ‘kudeta’ atau rampasan kuasa yang akan dilakukan oleh ‘deep state’.

Deep state merujuk kepada kerajaan atau rangkaian rahsia yang beroperasi secara bebas dalam kepimpinan politik sesebuah negara untuk agenda peribadinya.

Dalam erti kata lain, deep state ini adalah ‘kerajaan dalam kerajaan.’

Kata Saifuddin, tidak mustahil isu Statut Rom untuk dimanipulasi sehingga menyebabkan rakyat turun ke jalanan untuk membantahnya, akibat dipengaruhi oleh deep state ini.

BERHATI-HATI MENANGANI ISU BERKAITAN ORANG MELAYU

Beberapa hari yang lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menasihati kerajaan agar berhati-hati dalam menangani isu berkaitan orang Melayu dan institusi diraja memandangkan perkara itu boleh dimanipulasi untuk kepentingan tertentu.

Ujar beliau, langkah berjaga-jaga ini penting dalam usaha mengelak daripada berlakunya sebarang insiden ‘kudeta’ atau rampasan kuasa oleh orang Melayu, yang merupakan kaum majoriti di Malaysia, kerana terpengaruh dengan propaganda kedudukan istimewanya terancam.

“Tiada apa yang mustahil (berlaku kudeta di Malaysia), terutamanya 70% rakyat negara ini adalah orang Melayu, serta wujud pengaruh yang cukup hingga mereka percaya kononnya kedudukan orang Melayu terancam.

“Polis dan tentera juga adalah institusi yang majoritinya orang Melayu. Jadi, adalah penting untuk kita menguruskan isu ini dengan berhati-hati,” katanya.

Khalid juga tidak menolak kemungkinan akan kewujudan deep state memandangkan pertukaran kerajaan baru berlaku buat julung kalinya di Malaysia selepas tempoh lebih 60 tahun.

Ini bermakna, pengaruh kerajaan terdahulu yang sudah memerintah negara dengan lama mungkin masih wujud, di mana mereka juga sebenarnya membantah pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Kerajaan lalu ada pengaruh bagi tempoh lama dan akan ada kumpulan (dalam kerajaan) yang tidak bersetuju dengan pertukaran kerajaan ini.

“Mereka mungkin wujud sebagai entiti dalam kerajaan. Jadi, kita perlu berhati-hati dalam keadaan identiti kita sebagai kerajaan dan prinsip pentadbiran masih belum difahami sepenuhnya oleh rakyat,” jelas Khalid.

“IA TIDAK AKAN BERJAYA, IA AKAN GAGAL”

Baru-baru ini pula, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa rancangan-rancangan yang didakwa ingin menggulingkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan gagal kerana PH dipilih secara demokratik oleh rakyat Malaysia.

Tegasnya, individu-individu yang berkomplot boleh meneruskan perancangan mereka, tetapi ia tidak akan berjaya.

“Terdapat pelbagai cubaan untuk membuatkan Raja-Raja tidak senang dengan kerajaan…mereka menggunakan isu Statut Rom dan perkara-perkara seumpamanya.

“Tetapi, ia tidak akan berjaya, ia akan gagal. Mereka boleh terus mencuba,” jelas Dr Mahathir dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Ahli Parlimen (MP) Langkawi itu lagi, ia tidak mudah untuk sewenang-wenangnya “menggulingkan kerajaan dan menggantikannya” dengan parti lain.

Sumber: Malay Mail, Bharian

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button