Bisnes & Ekonomi

Bagaimana Pelabur Mengukur Impak Sebuah Perniagaan Sosial?

Pada zaman yang memiliki ketelusan yang lebih terbuka, pengguna dan pelabur lebih menitik beratkan syarikat yang lebih melihat jauh dari hanya keuntungan dan mahukan laporan berdasarkan impak terhadap persekitaran dan sosial.

Dengan itu, pada masa kini perniagaan sosial lebih diperbanyakan yang mana mereka ini merupakan perniagaan yang memiliki misi untuk mendapatkan keuntungan tetapi pada maas yang sama menyelesaikan masalah sesebuah komuniti.

Walau bagaimanapun, timbul persoalan bagaimana seseorang pelabur boleh menilai kejayaan perniagaan sosial ini jika ia tidak berdasarkan keuntungan semata-mata?

“Ianya seperti sebuah seni gelap untuk mengukur sesuatu impak,” kata Jessi Baker, pengasas dan ketua eksekutif Provenance, sebuah syarikat perniagaan sosial Britain yang menggunakan teknologi blockchain untuk memperlihatkan rantai bekalannya lebih terbuka.

Syarikat besar seperti Unilever dan juga syarikat perniagaan sosial yang kecil seperti Farafena yang mengeluarkan makanan Afrika berpangkalan di Kanada adalah antara syarikat yang menggunakan perisian dari Provenance untuk menunjukkan pada pengguna bagaimana, bila dan di mana produk mereka dikendalikan.

Sebagai sebuah perniagaan sosial sendiri, Provenance juga harus mengeluarkan laporan impaknya kepada para pelabur. Oleh itu perisian mereka telah membantu syarikat-syarikat mengukur impak mereka.

 

Sukar Untuk Mengukur Impak!

Namun, Jessi mengakui syarikatnya sendiri mengalami kesukaran untuk mengukur impak yang melibatkan pelbagai aspek.

“Kami boleh membantu pembeli memilih sesebuah produk yang memberi impak yang lebih positif tetapi hanya kepada produk dan jenama yang kami bekerjasama,” katanya.

Kebanyakan peniaga sosial akan mengeluh apabila para pelabur mereka mahukan data untuk menunjukkan impak yang mereka telah hasilkan.

Menurut mereka melaporkan impak ini mengambil masa yang lama dan memakan masa tugasan mereka yang sememangnya sudah sukar untuk memastikan perniagaan mereka berada dalam keadaan mampan yang pada masa yang sama harus menyelesaikan sesuatu misi.

Menurut sebuah tinjauan di Britain pada tahun 2017, lebih dari tiga suku perniagaan sosial di Britain telah mengukur impak syarikat mereka.

Berdasarkan tinjauan itu juga mereka dapati 37% dari perniagaan sosial itu telah mengukur impak mereka pada “sebahagian besar”, 40% “sehingga satu tahap” manakala 9% tidak mengambil sebarang langkah untuk mengukurnya.

Sememangnya mengukur sesuatu impak dalam perniagaan sosial adalah sangat rumit lebih-lebih lagi apabila mereka mungkin memiliki beberapa pelabur yang mahu melihat laporan diberikan pada dasar yang berbeza.

“Ianya menjadi sangat “bahaya” apabila impak menjadi sesuatu perkara yang harus senantiasa dilaporkan kepada pelabur sehingga ia telah meleset dari perkara utama yang harus dilakukan iaitu memikirkan perkara yang harus dilakukan untuk membuat perubahan yang lebih baik,”kata Jeremy Rogers, ketua pegawai pelaburan Big Society Capital, sebuah pelabur sosial.

 

Mengukur Impak Tidak Seharusnya Terlalu Rumit

Big Society Capital yang melabur kepada dana yang menyokong perniagaan sosial dan pertubuhan amal telah pun mengambil langkah untuk mendapatkan laporan impak “seringan yang boleh” menggunakan metrik tunggal.

Contohnya, perniagaan sosial yang mahu mengurangkan masalah pengangguran hanya perlu melaporkan berapa ramai orang mereka telah menerima kerja.

Menurut Jeremy, ukuran impak sesebuah perniagaan sosial juga boleh dilakukan berdasarkan kualitatif.

Contohnya, cerita kemanusiaan tentang bagaimana perniagaan tersebut telah membantunya.

“Mengukur impak adakalanya boleh menyebabkan kebuntuan dan menyebabkan anda kehilangan arah ke atas tujuan asal perniagaan sosial tersebut. Walhal tujuan utamanya ialah untuk memahami misi utama sesebuah perniagaan sosial tersebut,”katanya.

 

Kebaikan Mengukur Impak Perniagaan

Memahami sesebuah impak membolehkan seseorang lebih memahami perniagaan tersebut dan bantu mereka mengembang dengan lebih baik tetapi tidak semua perniagaan berminat untuk melakukannya.

Malah terdapat banyak perniagaan sosial yang tidak berminat untuk berkembang dan melihat impak sebagai sesuatu yang mengganggu fokus mereka, ujar Jeremy.

Tetapi sebuah aplikasi telefon di Britain bernama Giki berpendapat dengan kebolehan mengukur impak, mereka dapat memahami lebih minat pelanggan dan ini membantu untuk membina perniagaan mereka berdasarkan data tersebut.

Namun begitu Jeremy menegaskan bahawa perniagaan sosial yang belum berpengalaman dalam bidang ini tidak perlu khuatir tentang idea pengukuran impak.

 

Model Impak Harus Diperincikan Pada Awal Perniagaan Untuk Memudahkan Perniagaan Sosial Di Masa Hadapan

Jessi pula menasihatkan perniagaan sosial yang baru mahu bermula untuk melihat pelan pengukuran impak dari awal perniagaan dan bukannya setelah semuanya berjalan.

Jessi mencadangkan untuk perniagaan sosial yang baharu untuk mewujudkan sebuah “model impak” dengan memperincikan bagaimana perniagaan mereka akan mengukur impak untuk manfaatnya tersendiri.

“Ia tidak perlu terlalu perinci seperti model kewangan tetapi ia akan menyebabkan anda mempersoalkan impak yang bakal diberikan dari awal penubuhan sesebuah perniagaan sosial,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button